Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Bernama: TPPA Bukan Penyelesaian Menyeluruh Rapat Jurang Pendapatan Dalam Negara

Dikemaskini pada .

 

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan satu-satunya penyelesaian dalam mengurangkan perbezaan jurang pendapatan di negara ini, kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata penyertaan dalam TPPA hanyalah sebahagian daripada dasar kerajaan untuk mengurangkan perbezaan jurang pendapatan dalam negara dan perjanjian itu bukan satu penyelesaian menyeluruh.

"Kita mempunyai pelbagai lagi dasar untuk mengurangkan jurang perbezaan ini termasuk dasar membasmi kemiskinan, MEB (Model Ekonomi Baharu) dan banyak lagi dasar-dasar lain.

"TPPA bukanlah penyelesaian kepada masalah itu," katanya semasa ditemu bual dalam rancangan Dialog Khas di Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Mustapa berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai sama ada penyertaan negara dalam TPPA dapat menyelesaikan jurang perbezaan pendapatan dalam negara.

Sejajar dengan hasrat menyertai TPPA, beliau juga menekankan usaha kerajaan dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan mereka agar dapat bersaing dan berniaga di peringkat global.

Beliau turut berpuas hati dengan usaha gigih pelbagai agensi kerajaan dalam memberikan penerangan kepada umum mengenai TPPA.

Rundingan TPPA yang dilancarkan pada 2005, melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Dokumen akhir TPPA serta dua hasil kajian analisis kos faedah oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa serta PricewaterhouseCoopers Malaysia didedahkan kepada umum awal Disember lalu.

TPPA akan dibentang dan dibahaskan mengikut peraturan biasa persidangan Parlimen, iaitu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Pembentangannya akan bermula 26 Jan nanti.

-- BERNAMA

Cetak Emel

offcanvas