Keratan Akhbar

Bernama: TPPA Tidak Jejas Hak Kontraktor Bumiputera - Mustapa Mohamed

Dikemaskini pada .

 

 

KUALA LUMPUR, 4 Januari (Bernama) -- Hak kontraktor bumiputera akan terus dipertahankan sekiranya Malaysia bersetuju memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Ketika menegaskan pendirian itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan tetap akan mengekalkan serta mempertahankan dasar kepentingan 30 peratus kontrak bumiputera dalam pemerolehan kontrak kerajaan.

Dalam teks TPPA mengenai aspek pemerolehan kerajaan, jelas menyatakan bahawa 30 peratus diperuntukkan untuk kontraktor bumiputera yang tendernya turut dibuka kepada negara anggota TPP.

"(Sehubungan itu) kontraktor bumiputera boleh meneruskan projek mereka, termasuklah dalam pembinaan sekolah, klinik dan hospital," katanya dalam program Dialog Khas 'Pencerahan TPPA' yang disiarkan di RTM, malam ini.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas kebimbangan kontraktor bumiputera bahawa kepentingan serta hak mereka akan terjejas berikutan kehadiran kontraktor dari luar negara, khususnya daripada kalangan negara anggota TPPA berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, walaupun teks perjanjian TPPA diagihkan kepada umum pada 5 Nov, 2015, kerajaan akan terus melaksanakan usaha pencerahan mengenai TPPA kepada rakyat.

Menurutnya, pada peringkat awalnya, terdapat pelbagai andaian meleset mengenai TPPA termasuk tuduhan bahawa kerajaan tidak lagi dapat melaksanakan dasar memperkasakan (agenda) bumiputera serta dakwaan bahawa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak dapat mempertahankan peraturan mengenai keperluan logo halal.

-- BERNAMA

Cetak