Keratan Akhbar

Bernama: 146 Kes Demam Denggi Di Pulau Pinang Dari 27 Dis Hingga 2 Jan

Dikemaskini pada .

 

GEORGE TOWN, 7 Jan (Bernama) -- Sebanyak 146 kes demam denggi dilaporkan di Pulau Pinang pada minggu ke 52, iaitu dari 27 Dis 2015 hingga 2 Jan lepas, meningkat 24 kes atau 19.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata secara keseluruhan, terdapat peningkatan sebanyak 2,589 kes atau 85.6 peratus pada tahun lepas berbanding 3,141 kes pada tahun 2014.

"Sejumlah 19 kematian akibat demam denggi dilaporkan tahun lepas berbanding 11 kematian tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat 33 wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu di daerah Timur Laut, antaranya di lokaliti Flat Padang Tembak, Taman Green Field, Treasure Ville, Casa Impian, Desa Pinang 1, Jalan Johor, Jalan Macalister, Kampung Baru, Lengkok Jesselton Avenue dan Lengkok Mount Erskine, Lorong Jelutong, Relau Indah Condo, dan Sri Tanjung Pinang.

Dr Afif berkata bagi daerah Barat Daya pula melibatkan lokaliti D'Piazza Condominium, Flat Jalan Tengah, Bandar Baru Teluk Kumbar dan Taman Kumbar Permai manakala untuk daerah Seberang Perai Utara (SPU) di lokaliti Pangsapuri Ampang Jajar.

Beliau berkata lokaliti di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ialah Flat Taman Pelangi, Taman Jaya dan Kota Permai manakala di Seberang Perai Selatan (SPS) ialah Jalan Stesyen.

"Terdapat dua wabak tak terkawal iaitu di lokaliti Apartment Serina Bay dan Taman Seri Damai di daerah Timur Laut serta tiga kawasan titik panas di Taman Lembah Hijau dan Tingkat Paya Terubong juga di Timur Laut dan Permatang Tinggi di SPS," katanya.

Sehubungan itu, Dr Afif mengingatkan semua pihak supaya terus mengambil langkah pencegahan bagi menghentikan penularan penyakit denggi dan memberi kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah.

Masyarakat setempat turut digalakkan menggunakan repelan atau memakai baju dan seluar panjang ketika menjalankan aktiviti luar serta menyembur aerosol di dalam rumah atau memasang skrin pada tingkap, katanya.

-- BERNAMA

Cetak