Keratan Akhbar

Bernama: Siaran TV Digital Kini Satu Trend Dan Keperluan - Pakar Penyiaran

Dikemaskini pada .

 

 

Oleh Amrizan Madian

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Siaran televisyen digital dilihat sebagai satu trend dan keperluan semasa berikutan perkembangan teknologi telekomunikasi kini, kata pakar penyiaran.

Koordinator Kursus Penyiaran daripada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohamad Razeef Shah Mohmad Rafik berkata siaran televisyen digital di negara ini juga dilihat mampu berkembang maju berdasarkan kejayaan beberapa stesen penyiaran swasta sebelum ini.

"Kalau sistem analog di RTM boleh ditukar ke sistem digital, siaran bukan sahaja boleh ditonton melalui set televisyen biasa, malah juga menggunakan telefon pintar dan mudah alih," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak baru-baru ini berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) bercadang mewujudkan saluran berita televisyen (TV) sepenuhnya apabila proses peralihan sistem analog ke digital itu lengkap.

"Kalau kita lihat awal tahun 1996 sudah ada stesyen televisyen swasta yang menggunakan teknologi ini dan sejak tahun 2005 Radio Televisyen Malaysia juga telah merancang untuk beralih kepada teknologi penyiaran digital," kata Mohamad Razeef Shah.

Beliau berkata untuk RTM bertukar ke sistem baharu itu beberapa perubahan dari sistem analog ke digital perlu dibuat untuk memastikan pengguna dapat menikmati siaran secara digital khasnya dengan menyediakan set top box (STB) untuk mendapatkan transmisi digital sepenuhnya.

Menurutnya RTM sudah pun membuat beberapa proses percubaan melalui siaran TVi yang disiar secara digital dan tidak mustahil ia juga boleh dilakukan untuk siaran TV1 dan TV2 yang sedia ada.

Katanya langkah yang telah lama dirintis oleh pengendali perkhidmatan TV satelit berbayar seperti Astro membuka laluan untuk meluaskan lagi siaran TV digital di negara ini termasuk RTM yang kini sudah berdekad dalam dunia penyiaran di Malaysia.

"Astro station TV berbayar, dan kita mahu mencari kaedah bagaimana untuk menggunakan sistem digital yang bersiaran secara percuma sebagaimana siaran analog sebelum ini," katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari sebelum ini menjelaskan kementerian itu akan membuat transformasi sistem penyiaran televisyen di negara ini dalam bentuk Siaran Televisyen Terestial Digital (DTTB) yang menggantikan sistem analog.

-- BERNAMA

Cetak