Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Bernama: Pembangunan Kampus Uniciti Alam UniMAP Tarik Minat Politeknik

Dikemaskini pada .

 

 

PADANG BESAR, 10 Jan (Bernama) -- Kejayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan Kampus Uniciti Alam dilengkapi penginapan pelajar di Sungai Chuchuh di sini menarik minat Politeknik untuk melaksanakan konsep seumpama itu dalam rancangan pembangunannya.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Mohlis Jaafar berkata konsep itu sesuai dilaksanakan dengan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menampung bilangan pelajar yang ramai.

"Saya kagum dengan konsep UniMAP Sungai Chuchuh yang lengkap dengan kolej kediaman dan berharap konsep sama dapat dilaksanakan di 33 Politeknik seluruh negara," katanya.

Mohlis yang mengetuai pegawai-pegawai kanan Jabatan Politeknik berkata demikian semasa berucap selepas melawat Uniciti Alam yang dibina di atas tanah seluas 19.34 ekar (7.82 hektar), Sabtu.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Eksekutif Proven Holding Berhad merangkap Profesor Adjung UniMAP Datuk Dr Yusof Jusoh.

Proven Holding Berhad merupakan syarikat pemaju Uniciti Alam.

Sehubungan itu, Mohlis berharap UniMAP dan Politeknik dapat bekerjasama membangunkan kolej kediaman atau asrama seperti Uniciti Alam.

Terdahulu, Kamarudin berkata UniMAP bersedia berkongsi pengetahuan membangunkan infrastruktur Politeknik bagi memenuhi konsep TVET dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)(PPPM-PT).

Katanya pendekatan perkongsian pintar sektor awam-swasta dan penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) menjadi faktor kejayaan pembangunan Uniciti Alam yang dibangunkan pada 2012.

Uniciti Alam dilengkapi 480 apartmen berkeluasan 860 kaki persegi yang mampu menampung 3,840 pelajar Program Pengajian Teknologi Kejuruteraan dan pelajar Diploma.

Kampus itu juga mempunyai 92 kedai dan pejabat untuk usahawan dalam kalangan warga UniMAP termasuk pelajar menjalankan perniagaan, katanya.

-- BERNAMA

Cetak Emel

offcanvas