Keratan Akhbar

Bernama: JDT, Frenz United Bakal Jalin Kerjasama Bagi Pembangunan Bola Sepak

Dikemaskini pada .

 

 

JOHOR BAHARU, 12 Jan (Bernama) -- Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak tempatan, Frenz United bagi tujuan pembangunan bola sepak kedua-dua pihak.

Pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah kerjasama itu bertepatan dengan usaha JDT untuk meningkatkan mutu sukan berkenaan sekali gus melahirkan pemain profesional serta berintegriti.

"Kita sudah mencapai 99.9 peratus untuk bekerjasama dengan Frenz United dan dengan apa yang dicapai oleh Frenz United selama ini, maka JDT cuba buat perkara yang sama dalam program akar umbi.

"Keputusan ini juga amat tepat bagi mewujudkan hubungan yang akrab antara kedua-dua pihak demi masa depan bola sepak tanah air," titah Tunku Ismail kepada pemberita, di sini hari ini.

Turut hadir, pemilik Frenz United Rashid Maidin dan Pengarah Sukan kelab JDT Alistair Edwards.

Tunku Ismail bertitah kerjasama itu menunjukkan JDT bukan sahaja berhasrat menjalin kerjasama dengan kelab luar negara, tetapi juga kelab dalam negara, lebih-lebih lagi baginda dan Rashid mempunyai minat begitu mendalam terhadap bola sepak.

Baginda bertitah menerusi kerjasama itu, Frenz United yang mempunyai akademinya di Janda Baik, Pahang, menerima pelbagai manfaat untuk menggunakan kemudahan milik JDT II dan JDT III termasuk Stadium Perbandaran Pasir Gudang tanpa dikenakan bayaran.

"Di Akademi Bola Sepak JDT yang akan dibina di Kulai, katakan ada 20 padang, kita akan simpan 18 padang dan beri dua padang kepada Frenz United untuk kegunaan kelab itu termasuk mempunyai bangunan sendiri.

"Kita juga akan membangunkan pemain di peringkat akar umbi sehingga satu hari nanti akan ada perjanjian untuk pemain Frenz United mewakili kelab JDT," titah Tunku Ismail.

Untuk rekod, JDT sebelum ini sudah menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak terkemuka di Jerman, Borussia Dortmund dalam pembangunan bola sepak.

Kelab JDT juga meraih tiga piala musim lepas apabila merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, Piala Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kejayaan cemerlang itu menyaksikan JDT membolot lapan daripada 17 anugerah pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 pada Disember, termasuk anugerah khas di atas kejayaan mereka menjadi wakil pertama Malaysia muncul juara Piala AFC sejak ia diperkenalkan pada 2004.

-- BERNAMA

Cetak