Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Bernama: Taman Hijau Di Sebalik Pondok Pembuangan Sampah

Dikemaskini pada .

 

 

 


Chong berdiri megah di taman ciptaannya Foto Bernama
Oleh Soon Li Wei

PETALING JAYA (Bernama) -- Lazimnya orang ramai hanya akan ke tempat pembuangan sampah untuk membuang sampah dan segera beredar dari situ. Namun di Pangsapuri Latan Biru Kota Damansara, pondok pembuangan sampahnya kerap dikunjungi penghuni dan penduduk sekitar.

Rupa-rupanya di belakang pondok pembuangan sampah itu, terdapat sebuah laman santai mini 'dijelmakan' oleh seorang penduduk pangsapuri itu.


Satu lagi gubahan tanaman oleh Chong di kawasan apartment itu Foto Bernama


Persekitaran kehijauan dengan pokok bunga dan tanaman herba menghiasai taman itu. Laluan pejalan kaki dan hiasan lain diperbuat menggunakan bahan serta barangan terbuang menggamit orangramai datang mengunjungi tempat itu.

Laman santai mini yang diberi nama 'Garden of Life' itu merupakan inisiatif bekas jurutera mekanikal George Chong Tuck Seng, 52, yang mahu menjadikan hobi menanam sebagai rutin hariannya.

Bagi Chong yang menggemari tanaman, oleh kerana tinggal di kawasan pangsapuri beliau tiada ruang untuk mengembangkan hobinya menanam pokok bunga, sayur-sayuran dan herba.




"Tidak seperti rumah teres ataupun rumah kampung yang mempunyai tanah untuk tanaman, rumah pangsapuri hanya mempunyai ruang di balkoni untuk menanam tanaman jenis pasu...jenis tanaman pula sangat terhad.

"Oleh itu saya memanfaatkan seberapa banyak ruang yang ada di sekitar pangsapuri itu untuk menanam pokok bunga dan tanaman herba bagi mencantikkan persekitaran dan mengembangkan hobi saya," katanya kepada Bernama.

MANFAATKAN RUANG YANG ADA

Chong, yang menghuni Pangsapuri Latan Biru sejak lima tahun lalu, berkata idea untuk mencantikkan ruang di sekitar pondok pembuangan sampah itu bermula sejak dua tahun lepas apabila melihat semak samun dan sisa-sisa binaan berselerak di belakangnya ketika membuang sampah.

"Saya tidak senang melihat persekitaran dalam keadaan berselerak dan kotor serta amat mengambil berat akan kebersihan persekitaran.

"Oleh itu saya meminta izin daripada pihak pentadbiran pangsapuri untuk mengambilalih ruang itu bagi mencantikkannya dengan menanam pokok-pokok herba," katanya yang menghabiskan masa selama lapan bulan untuk kerja pembersihan dan mencantikkan laman itu.

Kebanyakan daripada sisa-sisa binaan seperti konkrit, lebihan mozek dan batu-bata dimanfaatkan untuk membina 'laluan' serta ruang kecil untuk menempatkan tanaman herba.

"Hampir 90 peratus daripada laman herba itu dibina menggunakan bahan-bahan terbuang kerana langkah ini dapat menjimatkan wang serta mengasah kemahiran saya.

"Ketika dalam perjalanan ke pasar pagi ataupun ke mana-mana sahaja, apabila melalui tempat-tempat pembinaan MRT, saya akan mengutip bahan-bahan terbuang di tepi jalan seperti paip, tiang, wayar serta pasu," katanya.

Beliau jarang mengeluarkan wang sendiri untuk membeli pasu bunga, alat-alat tanaman serta baja kerana yakin bahan-bahan terbuang dapat digunakan.

"Saya menghabiskan tidak lebih daripada RM1,000 untuk mewujudkan laman santai di belakang pondok pembuangan sampah itu dan turut menggunakan sisa sebagai baja tanaman.

"Paip-paip terbuang serta wayar-wayar oleh TNB dan Telekom juga sebenarnya dapat diubahsuai menjadi pagar untuk menggantung dan melindungi pokok bunga serta tanaman herba saya," katanya.

ISI MASA LAPANG

Menurut Chong, akibat daripada masalah 'Cervical stenosis' (sakit tulang leher) yang alaminya sejak tiga tahun lepas beliau terpaksa bersara awal atas nasihat doktor.

"Dalam masa tiga tahun ini, saya tidak membuat kerja-kerja berat seperti mana yang dilakukan oleh jurutera mekanikal dan oleh sebab itulah saya meluangkan masa lapang untuk mengembangkan hobi menanam di sekitar kawasan pangsapuri itu," katanya.

Selain kawasan di belakang pondok pembuangan sampah, kawasan tanah di sekitar pangsapuri itu juga dimanfaatkan untuk menanam pelbagai jenis pokok bunga.

"Contohnya, di tepi kawasan letak kereta, biasanya akan terdapat ruang kecil yang saya menggunakannya untuk menanam tanaman jenis renek," katanya.

Memandangkan beliau begitu rajin menguruskan tanamannya di sekitar pangsapuri itu, beliau selalu disalahanggap oleh penghuni di situ sebagai tukang kebun.

"Mereka sering salah anggap saya sebagai tukang kebun yang diupah oleh pihak pentadbiran pangsapuri itu tapi itu sebenarnya merupakan inisiatif saya sendiri. Tiada orang lain yang membantu saya menguruskan tanaman-tanaman itu," katanya.

"Oleh kerana hobi saya yang suka berkebun dan menanam pokok bunga, hampir 200 spesies tanaman telah ditanam untuk kegunaan sendiri ataupun diberikan kepada jiran-jiran," katanya.

Setiap kali masa terluang akan dihabiskan di laman santainya untuk menghirup udara segar dan memotong rumput.

"Kerja-kerja pembersihan, memotong rumput, membuat pagar dan menanam semuanya diusahakan oleh saya sendiri.

"Setiap kali datang ke laman santai itu, saya akan berasa puas dan tenang melihat kehijauan pokok bunga serta keindahan landskap," katanya.

BERI HASIL TANAMAN, TUNJUK AJAR SECARA PERCUMA

Menurut Chong, kebanyakan biji benih pokok bunga, sayur-sayuran serta herba diperolehi daripada rakan-rakan Facebook yang dikenalinya daripada kumpulan 'Malaysian Gardener'.

"Saya bergiat aktif dalam kumpulan itu dan memuatnaik gambar-gambar hasil tanaman saya dan sering bertukar-tukar fikiran dengan mereka mengenai petua menanam.

"Kadang-kala ada juga dalam kalangan mereka yang datang berjumpa dengan saya untuk bertanyakan cara untuk menanam pokok bunga di ruang yang terhad, terutamanya mereka yang tinggal di pangsapuri atau apartmen," katanya.

Beliau sedia memberi tunjuk ajar kepada sesiapa sahaja yang mahu mempelajari akan tanaman serta penghasilan baja organik.

"Sekiranya mereka inginkan herba seperti misai kucing, aloe vera dan biji selasih untuk mengubati penyakit, mereka juga boleh mendapatkannya daripada saya," katanya.

Chong turut memberikan hasil tanamannya secara percuma kepada sesiapa yang memerlukannya.

"Kadang-kadang jiran saya mahu mendapatkan lada serta daun pandan untuk memasak dan saya akan memberikannya dalam kuantiti yang munasabah, selepas itu mereka akan berkongsi masakan mereka dengan saya," katanya.

"Ada dalam kalangan penduduk di sekitar sini serta rakan Facebook yang sanggup datang jauh dari Seremban berjumpa dengan saya untuk mendapatkan daun-daun herba untuk mengubati penyakit kencing manisnya.

"Oleh kerana sebelum ini saya mengkaji tentang khasiat daun-daun herba terhadap sesetengah penyakit kronik, maka saya akan mengesyorkan kepada mereka cara-cara penyediaannya serta kekerapan mengambilnya," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan petua daripada Chong dengan menghubunginya melalui laman sosial Facebook di bawah nama 'Geo Chong'.

BERNAMA

Cetak Emel

offcanvas