Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Utusan: Bedah demi kesihatan

Dikemaskini pada .

 

 

Doktor beritahu Sheera mudah hamil selepas pembedahan

 

PELAKON Sheera Iskandar menafikan bahawa dirinya menghidap ketumbuhan dalam rahim hingga perlu menjalani pembedahan.

Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar, 30, ketika dihubungi memberitahu dia hanya melakukan pembedahan membuang cyst di perut dan proses itu tidak mengganggu bahagian rahimnya.

Ikuti perbualan antara Hits dan Sheera bagi berkongsi lanjut mengenai tahap kesihatannya kini. Dia yang menjalani pembedahan di Hospital Pakar KPJ Damansara kelihatan ceria saat dihubungi baru-baru ini.

HITS: Dengarnya baru menjalani pembedahan? Boleh kongsikan serba sedikit?

SHEERA: Betul, saya baru sahaja menjalani pembedahan atas nasihat doktor. Saya dinasihatkan membuang cyst di perut agar peluang untuk mengandung cerah. Atas nasihat dan sokongan semua, saya tidak menunggu lama dan terus bersetuju. Risau juga kalau ia akan memudaratkan kesihatan, jadi eloklah dirawat segera.

Sebelum ini adakah Sheera ada mengalami simptom atau sering rasa sakit hingga terpaksa berjumpa dengan doktor?

Saya tak ada rasa apa-apa pun. Sedikit pun tak ada rasa sakit. Hanya tahu diri ini sihat sahaja tapi bila saya buat pemeriksaan kesihatan, doktor terus dapat kesan penyakit ini. Itu yang saya tak lengahkan masa terus dibedah. Penyakit ini tidak terlalu serius tapi perlu segera dirawat dan ini sekadar pembedahan kecil sahaja.

Adakah ia serba sedikit mengganggu tumpuan Sheera untuk merancang kehamilan?

Sebenarnya pembedahan yang saya buat ini insya-Allah akan beri peluang cerah untuk saya hamil. Kalau saya tidak menjalani pembedahan ini, kemungkinan besar anak dalam kandungan tidak dapat ruang secukupnya. Jadi selepas saya dibedah pada 29 Disember lalu, doktor ada bagi jaminan lepas ini peluang nak ada zuriat akan dipermudahkan.

Lepas ini ada tak Sheera cuba mengawal tahap kesihatan? Mungkin dari segi pemakanan?

Orang zaman sekarang ini kebanyakannya nak cepat, sampaikan makanan pun beli di restoran makanan segera. Doktor banyak nasihatkan saya untuk jaga pemakanan. Sebagai contoh, ayam pun dah disuntik dengan hormon, jadi tak sihat apa yang kita makan tu. Bukan setakat orang perempuan sahaja kena jaga pemakanan, tapi golongan lelaki pun boleh terdedah dengan pelbagai penyakit kalau makan tak betul. Orang sekarang dah tak macam dulu dah yang sentiasa peka terhadap pemakanan mereka. Kalau nak ambil suplemen pun kena berjaga-jaga, tak boleh sebarangan. Benda-benda ini bagus sebenarnya untuk kebaikan kita dan masa depan.

Maksudnya lepas ini, Sheera pun akan selalu buat pemeriksaan berkala di hospital?

Ya, saya akan sentiasa cari ruang dan masa untuk memeriksa tahap kesihatan saya. Bukan hanya saya seorang sahaja. Semua orang kena sentiasa merujuk pada doktor dan buat pemeriksaan kesihatan supaya kita dapat mencegah segala penyakit dari awal. Nanti kalau terlewat, akan mendatangkan masalah besar pula. Jangan bila dah usia seperti saya baru nak buat pemeriksaan doktor. Lebih awal lagi bagus. Jangan tak tahu, pembedahan yang saya lakukan ini juga boleh dihidapi oleh golongan remaja.

Mungkin pembedahan ini serba sedikit mengganggu aktiviti Sheera?

Tidak mengganggu sama sekali. Sebab sekarang ini memang saya tidak terikat dengan sebarang penggambaran jadi sebab itulah saya tak fikir lama untuk buat pembedahan. Insya-Allah lepas segalanya kembali seperti sedia kala, saya akan sibuk merancang majlis resepsi saya dan suami (Doul Harun). Buat masa ini banyak tarikh yang dicadangkan iaitu mungkin bulan Mac atau April. Masa majlis pernikahan Ogos lalu hanya dihadiri sanak saudara terdekat sahaja. Majlis resepsi ini nanti kami akan menjemput rakan-rakan artis, rakan-rakan media dan kenalan rapat lain.

Dari segi perkembangan seni pula bagaimana?

Saya baru sahaja tamat penggambaran telemovie Pita Paid di Terengganu pada bulan November lalu. Telemovie ini akan ditayangkan khas di Korea atau Jepun. Semua ini adalah produksi dari RTM dan saya tidak pasti bila tarikh sebenar ia akan ditayangkan di sana. Selain dari itu, saya juga sibuk mempromosikan produk kecantikan Dara Anggun. Sebagai duta saya perlulah bagi komitmen dalam setiap program yang diatur.

Cetak Emel

offcanvas