Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Utusan: Tingkatkan pembangunan Sarawak

Dikemaskini pada .

 

27 Januari 2016 1:23 AM
 
PUTRAJAYA 18 JANUARI 2016 - Wawancara bersama Profesor Fakulti

PROGRAM Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini, bertujuan membincangkan sejauh mana kemajuan telah dicapai setelah negeri berkenaan menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Dalam wawancara dengan wartawan, NIZAM YATIM di Putrajaya baru-baru ini, Profesor Fakulti Sains Sosial Unimas, PROF. DR. SPENCER EMPADING SANGGIN menegaskan bahawa lebih banyak pembangunan diperlukan oleh rakyat negeri itu.

UTUSAN: Apakah sebab tajuk ‘Sudah Sejahterakah Rakyat Sarawak?’ menjadi pilihan?

SANGGIN: Memang sudah tiba masanya untuk menilai sejauh mana tahap kesejahteraan rakyat Sarawak setelah lebih 50 tahun ne­geri itu menyertai Malaysia.

Pemilihan tajuk tersebut juga mungkin ada kaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang. Satu isu penting yang perlu dilihat sejauh mana kemajuan yang telah dicapai di negeri berkenaan.

Boleh senaraikan pembangunan yang telah dinikmati setakat ini?

Saya secara kebetulan lahir pada 1957 iaitu tahun kemerdekaan di Semenanjung. Jadi apabila saya masuk darjah satu, itu tahun Malaysia ditubuhkan. Jadi saya boleh­lah ceritakan tentang kemajuan dicapai sejak 1963 hingga sekarang.

Ketika mula-mula menyertai Malaysia memang pembangunan tidak seberapa. Tetapi sekarang ini boleh dikatakan kemajuan di Sarawak telah meningkat. Kemudahan jalan raya telah ada, walaupun taklah sebaik yang ada di Kuala Lumpur. Kemudahan ini bermula dari Lundu hinggalah ke Miri dan Limbang.

Dari segi bekalan air bersih, setakat ini 70 peratus daripada penduduk telah menikmati kemuda­­h­an itu. Yang 30 peratus itu adalah kawasan pedalaman dan hulu su­ngai yang belum ada jalan raya sehingga menyukarkan paip dibawa dan dipasang bagi menyalurkan air.

Sebanyak 80 peratus daripada isi rumah juga telah mendapat bekalan elektrik. Tinggal 20 peratus yang belum menikmati kemudah­an ini dan sebabnya adalah sama kerana mereka tinggal di kawasan pedalaman.

Apakah masalah yang masih dihadapi rakyat Sarawak?

Pertama melibatkan jalan raya. Walaupun telah ada tetapi se­perti yang diketahui umum belum mencapai tahap memuaskan.

Keseluruh­an panjang jalan raya di Sarawak setakat ini hanya 30,000 kilometer dan ini bukan sahaja menghubungkan bandar besar malah termasuk jalan raya ke pekan kecil di negeri itu.

Kalau dilihat saiz Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung, panjang jalan raya ber­kenaan adalah nothing.

Sebab itu Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sebahagiannya telah dimulakan. Projek ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut fasa dan saya difahamkan sasaran projek berkenaan siap adalah pada 2022.

Kedua, berkaitan bekalan air bersih. Misalnya rumah panjang di mana saya dilahirkan, baru tahun ini bekalan air bersih dimasukkan setelah sudah lebih 50 tahun. Rumah panjang saya di tepi jalan, yang jauh ke hulu, itu memang belum ada lagi bekalan air bersih.

Apa yang mereka ada mungkin bekalan air tidak dirawat dari su­ngai dan kawasan bukit yang di­salurkan dengan menggunakan kaedah graviti.

Ketiga, oleh kerana Sarawak terlalu luas kawasannya sama dengan keseluruhan Semenanjung, maka kalau peruntukan bajet untuk pembangunan di peringkat Pusat diagihkan secara sama rata mengikut negeri maka sudah tentu tidak cukup.

Dianggarkan Sarawak hanya menerima kira-kira lapan peratus daripada peruntukan bajet Malaysia dan angka itu boleh dikatakan pembahagian sama rata mengikut negeri.

Kalau boleh kita mahu peruntu­k­an bajet lebih banyak lagi. Alasan kita adalah mudah iaitu kalau nak buat jalan raya sudah tentu perlu lebih peruntukan kerana kawasan yang luas.

Keempat, dari segi kadar ke­miskinan, Sarawak agak tinggi dan kini berada di kedudukan ketiga selepas Sabah dan Kelantan.

Masalah lain melibatkan harga rumah yang mahal di bandar-bandar dan pengangguran. Bagi saya, Sarawak masih lagi di belakang kalau dibandingkan dengan Semenanjung. Nak kata terlalu jauh ketinggalan tak lah juga, tetapi memang ada jurang antara kedua-duanya.

Apakah kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus diberi kepercayaan oleh rakyat?

Bagi saya keperluan itu memang ada. Maksudnya penduduk yang memerlukan kemudahan infrastruktur masih mengharapkan kerajaan BN.

Orang ramai sudah tentu mahu memastikan wujud hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Ini hanya boleh dicapai jika parti yang memerintah di negeri adalah sama dengan parti di peringkat Pusat.

Pendirian kebanyakan rakyat Sarawak ini selaras dengan hakikat bahawa peruntukan untuk pembangunan itu kebanyakannya datang daripada bajet Kerajaan Persekutuan.

Sebab itu, kalau dilihat dari segi keputusan PRN yang lepas, BN lebih berkemungkinan besar untuk menang di pedalaman kerana rakyat di luar bandar masih mengharapkan bantuan dan sokongan kerajaan BN.

Oleh kerana kira-kira 70 peratus kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sarawak terletak di kawasan luar bandar, maka saya sependapat dengan beberapa peng­­analisis politik yang menyatakan BN akan menang pada PRN akan datang.

Keyakinan ini juga kerana dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Ke­tua Menteri, Tan Sri Adenan Satem disukai oleh rakyat seperti mewujudkan negeri bebas tol dan memberi tumpuan kepada pembangunan di pedalaman.

Adakah BN berpeluang untuk merampas kembali kerusi di kawasan bandar?

Saya rasa agak susah sedikit ke­rana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertanding di kawasan bandar menghadapi masalah dalaman.

Parti majoriti kaum Cina ini yang kalah teruk pada pilihan raya lalu kini berpecah dua dengan wujud satu parti baharu iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang mempunyai nama hampir sama yang sudah tentu boleh menimbulkan kekeliruan.

Pengundi bandar yang majoriti kaum Cina saya lihat tidak akan mudah mengubah pendirian mereka walaupun kerajaan negeri telah menunaikan beberapa tuntutan mereka.

Ini kerana penduduk bandar tidak kisah siapa yang memerintah kerana mereka tetap akan terus membangun kerana pembangunan di situ tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan sebaliknya akan digerakkan oleh sektor swasta.

Saya juga melihat mereka meng­undi berasaskan kepada isu yang dimainkan di peringkat nasional dan bukan sepenuhnya isu negeri, jadi BN mungkin boleh me­rampas balik satu atau dua kerusi sahaja.

SEMPENA PROGRAM ADVOKASI ILMUWAN MPN DI UNIMAS HARI INI

MUKADIMAH PROGRAM Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) hari ini, bertujuan membincangkan sejauh mana kemajuan telah dicapai setelah negeri berkenaan menyertai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Dalam wawancara dengan wartawan, NIZAM YATIM di Putrajaya baru-baru ini, Profesor Fakulti Sains Sosial Unimas, PROF. DR. SPENCER EMPADING SANGGIN menegaskan bahawa lebih banyak pembangunan diperlukan oleh rakyat negeri itu.

 

 

Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

 

Cetak Emel

offcanvas