Keratan Akhbar

Utusan: 4 tokoh kongsi pandangan, idea

Dikemaskini pada .

 

 

 

KUCHING 26 Jan. – Empat tokoh akan berkongsi pandangan dan idea mengenai isu politik, sosio ekonomi serta keperluan rakyat Sarawak dalam forum sempena Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama akhbar Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan dekat sini esok.

Penolong Pengurus MPN, Mohd. Adli Ismail berkata, program jelajah berkenaan yang memasuki kali ke-9 diadakan memilih forum bertajuk Sudah Sejahterakah Rakyat Sarawak? untuk dibincangkan pada kali ini.

Beliau berkata, Unimas selaku penganjur bersama kali ini turut menampilkan dua pensyarahnya sebagai panel iaitu Prof. Madya Dr. Neilson Ilan Mersat dan Prof. Madya Dr. Jeniri Amir yang juga merupakan penganalisis politik terkenal di Sarawak.

“Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan akan menjadi pemudahcara dalam forum tersebut, manakala Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan menjadi panel pertama.

“Panel kedua pula ialah wakil dari MPN iaitu Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz diikuti Neilson Illan dan Jeniri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Unimas merupakan lokasi pertama untuk siri jelajah program berkenaan pada tahun ini.

Katanya, dianggarkan 200 peserta terdiri daripada pelajar dan kakitangan Unimas menghadiri forum yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif itu.

Tambahnya, sebelum Unimas, program sama diadakan di Universiti Teknikal Melaka di Melaka pada 17 Disember tahun lalu yang membincangkan forum bertajuk Media Sosial, positif atau negatif.

 

Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

Cetak