Keratan Akhbar

Utusan: Kemajuan pesat di Semenanjung cetus sentimen dianaktirikan

Dikemaskini pada .

 

 

 

KOTA SAMARAHAN 27 Jan. – Kemajuan pesat terutama kemudahan infrastruktur yang sudah lama dinikmati oleh negeri-negeri di Semenanjung yang disaksikan anak Sarawak sewaktu belajar mahupun bekerja di Malaysia Barat dikenal pasti sebagai punca tercetusnya sentimen kenegerian yang tinggi dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Sukan) negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka melihat keadaan yang cukup berbeza di sana berbanding kampung halaman yang masih kekura­ngan daripada segi pembangunan.

Beliau berkata, apabila melihat Lebuh Raya Utara Selatan misalnya, timbul rasa cemburu yang akhirnya menerbitkan perasaan marah apabila mereka pulang ke Sarawak dan melihat jalan raya di sini yang masih teruk walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka.

“Keadaan ini menimbulkan rasa sedih kerana mereka merasakan Sarawak telah dianaktirikan sedang­kan negeri ini mempunyai banyak sumber asli yang membantu ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel dalam Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) Bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membincangkan tajuk Sudah Sejahterakah Rakyat Sarawak? di Panggung Eksperimen, Fakulti Sains Gunaan dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.

Selain Abdul Karim, program itu turut menampilkan ahli panel terdiri daripada Dekan Fakulti Sains Sosial Unimas, Prof. Madya Dr. Neilson Ilan Mersat ; Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Unimas yang juga pe­nganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir dan pakar perlembagaan dari Universiti Islam Malaysia (UIA) mewakili MPN, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz, manakala Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, perasaan kecewa itu mencetuskan sentimen Sarawak for Sarawakian dan anti-Semenanjung.

Berikutan itu, jelasnya, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem kini memperjuangkan untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan melalui kenaikan royalti minyak bagi digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak agar setanding dengan Semenanjung.

“Kalau dibiarkan (tiada tuntutan peruntukan), sambil bila pun Sarawak tidak semaju Semenanjung, tidak mempunyai jalan raya lengkap, sekolah, hospital dan kemudahan Internet di luar bandar. Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Pusat jika ingin menghapuskan sentimen berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Neilson Ilan berkata, sikap bertoleransi antara kaum dan perkahwinan campur merupakan resipi yang berjaya mengekalkan keharmonian di Sarawak.

“Saya dahulu pernah belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun hubungan etnik masih baik tetapi ia tidak dapat menandingi Sarawak apabila penduduk berlainan bangsa dan agama boleh duduk makan sekali dan tinggal serumah.

“Sikap tolerensi juga boleh dilihat apabila kerajaan negeri membenarkan penduduk Sarawak (beragama Kristian) mengekalkan penggunaan kalimah Allah yang sudah diguna pakai sejak 1970-an demi mengekalkan hubungan baik antara kaum,” katanya.

 

Sumber Rujukan: http://www.utusan.com.my

Cetak