Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Bernama: Getaran Jiwa Berkumandang Di Tembok Besar China (Bahagian Pertama)

Dikemaskini pada .

 



Pengarah Muzik RTM Datuk Mokhzani Ismail semasa temu bual di Bernama Portal baru-baru ini.Pic: AmirulAzmi fotoBERNAMA
Oleh Salbiah Said

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Lagu gubahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee berkumandang buat pertama kali dalam sejarah pada 28 Oktober, 2015 di Tembok Besar China (Great Wall of China) dengan petikan piano Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

"Lagu ini mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa kerana melodi yang menarik, dan dipilih kerana kesesuaian bermain piano. Malah, lagu ini evergreen dan masih popular sehingga sekarang," katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama Lifestyle and Youth (LNY) baru-baru ini.


Datuk Mokhzani semasa sesi temu bual di Bernama Portal baru-baru ini. Pic: AmirulAzmi fotoBERNAMA


"Alhamdulillah, walaupun cuaca waktu itu mencecah 2 darjah selsius, saya masih boleh membuat persembahan dan harus menyempurnakan tanggung jawab," katanya. Lagu-lagu lain yang dipersembahkan ialah lagu Barat, It's Impossible, Tea For Two, Nothing's and Gonna Change My Love For You dan lagu Cina, Xin Bu Liao Qing (New Endless Love).

Komposer yang memiliki ijazah muzik dari Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat, mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi pemuzik pertama negara dilantik sebagai duta piano terkemuka jenama Hagspiel buatan Jerman yang berpusat di Shenzen, China.

BERMAIN PIANO SEJAK 8 TAHUN


Datuk Mokhzani bersama team Bernama Portal selepas sesi temu bual baru-baru ini.fotoBERNAMA



Sekaligus Mokhzani yang berasal dari Kampung Alor Lanchang, Jejawi, Perlis ini melakar sejarah dengan memecah rekod Malaysia Book of Records sebagai anak Malaysia pertama membuat video klip yang diarah oleh Ketua Eksekutif Tujuh Warisan Ray Lee dan membuat persembahan di bahagian Badaling, Tembok Besar China, salah satu dari 7 keajaiban dunia.

Di sebelah malam, Mokhzani mengadakan seminar dan pertunjukan piano di Konservatori Muzik China, di Beijing. Beliau berkata, pelantikan itu adalah di luar dugaan kerana China bukan sahaja mempunyai ramai pemuzik hebat, malah dianggarkan terdapat 30 juta rakyat negara itu bermain piano, dan mereka diberi pendedahan sejak kecil lagi.

Untuk menembusi pasaran muzik di sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk paling ramai di dunia bukanlah satu perkara yang mudah, apatah lagi dalam bidang seni muzik piano, China tidak kurang dengan bakat-bakat bertaraf dunia," ujarnya.

Kata Mokhzani, pengiktirafan itu diperoleh selepas beliau bermain piano di Yayasan Perdana semasa pihak Hagspiel menemui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang juga merupakan pemain piano.

CABARAN MEMIMPIN ORKESTRA

Komposer itu berkata, secara kebetulan beliau menyampaikan beberapa buah lagu jazz dan daripada situ pihak syarikat tersebut tertarik dan seterusnya mengundangnya mengadakan persembahan sekali gus melantik sebagai duta mereka.

Anak bongsu dari dua beradik ini mewarisi bakat bermain muzik dari bapanya yang juga seorang guru dan mula bermain piano seawal usia 8 tahun.

Pada awal temu bual tersebut, Mokhzani berkongsi kisah pengalaman beliau semasa membuat persembahan di Tembok Besar China sempena pelantikan beliau sebagai duta piano jenama Hagspiel dari Jerman.

Berikut petikan temu bual tersebut: Soalan: Tahniah Datuk kerana berjaya memecah dua rekod; satu sebagai pemuzik pertama negara dilantik sebagai duta piano jenama Hagspiel dan kedua, sebagai anak Malaysia pertama membuat persembahan di Great Wall of China. Boleh Datuk kongsi pengalaman yang mencabar ini dengan kami?

Mokhzani: Terima kasih. Sebenarnya tahun ini boleh dikatakan tahun kejayaan saya kerana berpeluang ke peringkat antarabangsa selepas beberapa tahun berkhidmat di RTM dan sepanjang kerjaya saya yang banyak di ASEAN.

PROGRAM LAWATAN DAN PERSEMBAHAN

Selepas ditawarkan sebagai duta, saya mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan kerana kerja saya sebagai penjawat awam. Di bawah perjanjian ini, saya perlu mengikuti China Tour untuk membuat persembahan, termasuk seminar dan konsert piano di beberapa tempat di China pada Ogos dan Oktober.

Pihak RTM membenarkan saya kerana ia adalah tugas saya juga sebagai Pengarah Muzik.

Di bawah program tersebut, saya mulai lawatan dan persembahan saya di Guangzhou, Tianjin dan Beijing. Saya juga diminta buat satu video clip di Tembok Besar China.

Di samping itu, saya telah memohon pengiktirafan dari Malaysia Book of Records kerana memecah rekod persembahan di Tembok Besar China. Saya pergi dengan dua misi: satu sebagai duta dan kedua sebagai anak Malaysia pertama membuat persembahan di sana. Alhamdulillah, pada 28 Oktober, saya secara rasmi memecah dua rekod tersebut.

Soalan: Berapa lama kontrak tersebut?

Mokhzani: Dua tahun. Terus terang, agak sukar untuk saya penuhi hasrat mereka sebab terikat dengan tugas hakiki saya di RTM. Alhamdulillah, program tersebut tidak menjejas tugas saya di RTM dan saya dapat penuhi jadual yang diatur oleh Hagspiel. Memandangkan saya tidak dapat meluangkah masa yang lama di China, pihak Hagspiel telah mengurangkan tempoh program dari 3 minggu kepada 5 hari. Bayangkanlah, jadualnya yang begitu padat.

PERSEMBAHAN DI CHINA

Soalan: Boleh Datuk ceritakan suasana dan mood sekitar persembahan tersebut?

Mokhzani: Pada mulanya, kita rancang nak buat persembahan tanpa membawa piano yang diberikan saya oleh Hagspiel sebagai duta. Tetapi pihak Hagspiel mahukan piano tersebut dibawa ke China. Sampai di sana, agak sukar mendapatkan kelulusan awal bagi menguruskan perjalanan piano, iaitu dengan mengangkutnya dengan lori.

Undang-undang di China ketat, dan perlu melalui pelbagai pihak dan mengambil masa yang lama, manakala saya perlu berada di di sana pada 27-28 Oktober. Sepatutnya tugas kami selesai pada 27 Oktober, tetapi proses mengangkat piano ke Tembok Besar tidak seperti yang dirancang.

Kami terpaksa tukar plan, iaitu membawa piano secara manual. Selepas rundingan dengan orang kampung, piano itu berjaya diangkut dengan kudrat dan titik peluh mereka.

Semua ini mengambil masa 8 jam, dengan mengikut lereng bukit, sesuatu yang jarang dibuat, berbeza dengan pihak Barat yang menggunakan helikopter untuk tujuan tersebut.

Semua persiapan berjaya disempurnakan waktu Subuh dan berjalan dengan lancar dan saya sudahpun berada di lokasi 2 jam sebelum pelawat tiba ke Tembok Besar itu.

Ada kerosakan pada piano tersebut selepas melalui lereng bukit tersebut. Sehingga kini, piano yang mempunyai tandatangan saya masih berada di Tembok Besar China.

Disebabkan kesuntukan masa, saya tidak dapat membuat persembahan selama sebulan seperti artis-artis lain, dan pihak Hagspiel membenarkan saya membuat persembahan selama 5 hari di setiap bandar yang ditetapkan, iaitu Beijing, Tianjin dan Disember di Shanghai.

Selepas China, mungkin negara-negara lain.

MISI DI CHINA

Soalan: Apakah misi Datuk di China?

Mokhzani: Misi saya di China bertujuan mendidik rakyat China untuk 'keluar dari kotak' kerana mereka masih bersikap inclusive. Apa yang saya perlu lakukan adalah bagaimana hendak menghasilkan sesuatu yang unik dari alat piano itu, bukan sekadar memain muzik Cina klasik sahaja, bagaimana nak menyedarkan mereka muzik ialah bahasa antarabangsa dan tidak semestinya kita belajar satu jenis muzik sahaja.

Soalan: Adakah Datuk berpuas hati dengan persembahan Datuk di sana?

Mokhzani: Ya, saya amat berpuas hati dengan persembahan saya di China. Di Malaysia, saya tidak dapat peluang mengadakan konsert sendiri kerana saya lebih di belakang tabir. Apabila berada di depan dan mengemudi konsert sendiri seperti di China, saya memperoleh sesuatu kelebihan yang tak pernah saya buat.

Penerimaan masyarakat Malaysia terhadap muzik instrumental berbeza dengan China. Masyarakat China didedahkan dengan muzik instrumental sejak kecil, manakala di Malaysia, muzik tanpa penyanyi kurang mendapat sambutan di Malaysia. Pemuzik di sini bukan seperti Kenny G. Bagi saya, ini merupakan satu peluang baik, mungkin saya akan menghasilkan album sendiri pada masa terdekat ini.

Saya pernah menghasilkan album sendiri, tetapi untuk kepuasan sendiri sahaja. Sekarang, saya dah nampak platform antarabangsa untuk melebarkan karya saya. Saya tak jangka peluang ini, kalau tahu, saya dah buat perancangan awal, sekurang-kurangnya saya dapat tunjukkan album.

-- BERNAMA

Cetak Emel

offcanvas