Presiden MANIS, Anwar Muttaqin berkata, program itu bertujuan menjalin ikatan silaturahim antara para mahasiswa di samping menghargai kerjasama serta sokongan daripada agensi kerajaan dan swasta serta pengamal media de­ngan pihaknya.

Beliau berkata, penganjuran program kali kedua itu juga merupakan platform bagi semua persa­tuan mahasiswa anak Negeri Sembilan bertemu serta mencetuskan program yang berimpak tinggi apabila mereka pulang di kampus masing-masing.

“Kami mengambil peluang untuk bersama dalam majlis ini di mana para mahasiswa boleh mengenali satu sama lain di sam­ping bertukar pandangan dan pada masa yang sama merapatkan lagi hubungan antara mereka.

“Sebelum ini, ramai dalam kalangan mereka hanya berhubung di laman sosial memandangkan berlainan kampus dengan jadual pembelajaran yang padat untuk mereka bersua muka.

“Selain itu, pihak kami juga meng­hargai jasa agensi kerajaan dan swasta serta media yang ba­nyak membantu kelancaran se­suatu program dan menyalurkan maklumat kepada orang ramai dalam bentuk riadah dan pertandingan kerana ia memupuk semangat kerjasama berkumpulan,” katanya.

Yang turut menyertai program itu, wakil agensi kerajaan dari Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) serta wakil agensi media iaitu Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis penyampaian hadiah te­lah disempurnakan oleh Penasihat MANIS, Prof. Datuk Ir. Dr. Othman A. Karim dan diiringi oleh Pre­siden MANIS serta Pegawai YNS, Muhammad Zahier Suaidy Abdul Samad.

Pada pertandingan itu, juara kategori kumpulan lelaki dimenangi oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan 1,325 jatuhan pin manakala johan kategori wanita ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyaksikan 908 jatuhan pin.

Bagi kategori berkumpulan agensi kerajaan, swasta dan media pula diungguli oleh SAINS di tempat pertama, RTM di tempat kedua dan ketiga, Utusan Malaysia yang masing-masing membawa pulang hadiah sebuah hamper dan plak penghargaan daripada pihak pe­nganjur.