Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Utusan: TAK TAKUT DIBENCI

Dikemaskini pada .

 

Adeline Tsen sering bawa watak jahat kerana karakter itu mencabar

KEBANYAKAN drama lakonan Adeline Tsen, 30, sering menampilkan dia sebagai wanita penggoda atau jahat dan karakter itu menyebabkan dia dibenci.

Adeline tidak kisah dirinya dibenci kerana kebencian penonton merupakan kejayaan kepadanya dalam melakonkan watak antagonis, seperti lakonannya dalam drama Rindu Awak 200% sebelum ini. Jelasnya, untuk menjadi jahat bukanlah mudah kerana apa yang ditonjol itu bukanlah dirinya yang sebenar.

“Sebenarnya susah tau nak berlakon jadi jahat ni. Saya sendiri tidak tahu kenapa sering diberi watak sebegitu. Sebagai pelakon yang masih baharu, saya tidak pernah menolak kerana bila ditawar watak antagonis, itu tandanya kebolehan saya dalam membawa watak itu diyakini pengarah.

“Bagi saya apa sahaja watak yang ditawar, jangan ditolak kerana itu adalah rezeki kerana ini adalah sumber pendapatan. Saya hanya akan menolak kerana tawaran itu bertindih kerana saya tidak mampu untuk melakukan dua kerja dalam satu masa kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain,” jelasnya yang menyambut Tahun Baharu Cina di Kota Belud, Kota Kinabalu, Sabah.

Dia yang berada di kampung halaman selama seminggu berkata, selain melakonkan watak jahat yang biasa-biasa sahaja seperti busuk hati atau penggoda, Adeline juga dambakan watak antagonis yang lebih mencabar seperti psiko.

“Biarpun watak antagonis, saya suka kerana dek watak begitulah orang mengenali saya. Kalau bawa watak jahat, kita bebas untuk melakukan apa sahaja kerana ia berbeza dengan watak baik-baik sebab perlu titik beratkan soal kesopanan.

“Sekarang ini saya tunggu tawaran untuk watak psiko kerana karakter begini memang sukar. Mana taknya, dalam beberapa saat saja orang itu boleh kelihatan ketawa, menangis, marah dan semua itu tidak dijangka. Watak begini memang mencabar dan itu yang saya nanti-nantikan,” jelasnya.

Selain idam watak psiko, Adeline juga tidak sabar untuk menerima lebih banyak tawaran berlakon adegan aksi. Setakat ini, dia berkesempatan berlakon Genggam terbitan Platinum Walk Production tetapi filem yang mula menjalani penggambaran sejak 2013 belum ditayangkan.

“Saya suka juga kalau ada tawan berlakon aksi kerana karakter begitu amat agresif. Dalam filem Genggam, kebanyakan aksi saya lakonkan sendiri. Itulah saya pun tak sabar nak tengok lakonan sendiri tapi hingga kini belum ada khabar berita bila ia akan disiarkan.

“Satu lagi watak yang ingin saya lakonkan ialah sebagai orang kurang upaya (OKU). Watak begini nampak mudah tapi sebenarnya susah dan banyak perkara yang perlu diteliti untuk tampak hidup. Setakat ini saya terima apa sahaja tawaran kerana kalau terlampau memilih tak ada orang pula nak panggil saya berlakon,” katanya tersenyum.

Dalam pada itu, Adeline Tsen yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Hotel Mania sebagai Emilia terbitan KRU Studio pada 2010 berkata selain berlakon, dia juga berhasrat untuk mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

“Untuk tahun ini saya rancang untuk fokus pada bidang nyanyian pula. Sebenarnya berlakon dan menyanyi adalah dau bidang yang saya suka, cuma sebelum ini peluang saya lebih kepada lakonan. Kali ini saya nak menyanyi pula secara serius.

“Mungkin ramai yang tidak perasan, sebelum ini saya pernah menyanyi lagu Kau Bagiku untuk lagu tema drama Antara Laut China Selatan. Drama 26 episod yang disiarkan di RTM pada 2013. Sebagai permulaan langkah serius dalam bidang nyanyian, saya bakal tampil dengan single baharu, awal Mac ini,” katanya yang lebih suka genre R & B dan soul.

Keluar duit angpau

Mengikut masyarakat Cina, orang yang belum berumah tangga tidak digalakkan untuk mengeluar wang, sebaliknya mereka masih layak menerima angpau.

Bagaimanapun Adeline telah melanggar adat itu kerana baginya pada musim perayaan, tidak salah jika seseorang itu mempunyai rezeki lebih untuk dikongsi dengan saudara mara.

“Kalau ikut adat, orang bujang macam saya ni boleh terima angpau walaupun sudah besar panjang. Bagi saya pula, sebagai anak yang telah bekerja, saya gembira untuk kongsi dengan keluarga dan anak-anak saudara. Lagipun bukan selalu saya bagi ang pau, setahun sekali saja.

“Bila kita memberi, tentu kita juga akan menerima kerana hidup ini perlu saling bantu membantu. Tambahan pula dengan adik beradik atau saudara mara kerana mereka sentiasa ada sewaktu kita senang atau susah. Jadi setiap tahun, saya akan beri angpau pada mereka,” katanya.

Kalau ikutkan kata Adeline, tahun ini selepas beraya di kampung, dia akan bercuti ke Shanghai, China. Namun percutian itu terpaksa dibatalkan kerana seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, dia kurang sihat.

“Saya terpaksa batal percutian ke Shanghai kerana keadaan cuaca di sana amat sejuk, saya takut nanti badan saya jadi lemah. Mungkin saya terpaksa atur percutian ke sana hari lain, tapi bila tu tak pasti kerana selepas ini saya sibuk di lokasi,” katanya.

Enggan cerita soal cinta

Bercerita dengan Adeline Tsen tidak lengkap kalau tidak ditanya soal hati dan perasaan kerana wanita itu dilihat sebagai seorang yang berfikiran terbuka.

Bagaimanapun sewaktu ditanya kisah hubungannya dengan model Sherzod Yusuf yang sebelum ini sering menjadi hiasan di laman Instagram miliknya, ternyata kali ini Adeline lebih senang mengambil sikap menepis.

“Fasal hubungan cinta, saya memang tak nak ulas sebab tahun ini saya nak fokus pada karier. Kalau ada jodoh adalah, kalau tak terpaksalah terima dengan hati terbuka. Saya malas nak ulas soal hubungan kerana saya nak tumpu pada kerjaya,” katanya mengelak secara halus.

Dia yang pernah memuat naik gambar percutian dengan Sherzod di Bangkok, Julai tahun lalu, ternyata enggan membuka mulut bila diusik tentang hubungan mereka itu.

Apa yang Hits dapat tahu, Sherzod sekarang ini berada di Samarkan, Uzbekistan dan gambar terakhir yang dimuatnya bersama Adeline adalah lapan minggu lalu.

Malah Adeline menerusi Instagramnya juga tidak ada lagi kata-kata rindu kepada teman istimewanya itu sepertimana yang pernah dimuat naik sebelum ini. Apa-apa pun kita tunggu sahaja cerita selanjutnya daripada Adeline tentang perjalanan kisah cintanya nanti.

- Rujukan: http://www.utusan.com.my

Cetak Emel

offcanvas