Bekerja dalam lapangan media memerlukan persediaan mental dan fizikal yang tinggi bagi memastikan setiap individu itu bersiap siaga dalam segala situasi yang berlaku. Dari 3,000 peserta yang hadir ke sesi uji bakat IS 3, hanya 14 peserta yang layak untuk merebut gelaran juara IS.

Pastinya selain mempunyai pakej lengkap, RTM turut mencari mereka yang mempunyai ketrampilan sempurna, berpengetahuan luas dari segi isu-isu semasa serta seorang yang serba boleh dalam melaksanakan apa sahaja tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Penerbit program realiti itu, Nor Khuzaimah Abd. Aziz berkata, IS masih diteruskan penganjurannya selepas melihatkan kepada kesungguhan peserta pada musim lalu selain menimbang tara sambutan penyertaan yang diterima sebelum ini.

“IS ini bertujuan untuk mencari pelapis baharu dalam RTM, selain menyinari pelbagai program penyiaran yang kami terbitkan. Ia juga melihatkan kepada relevannya RTM ini di mata penonton generasi masa kini.

“Kalau dulu ada 12 peserta kini kami tingkatkan kepada 14 peserta. Bezanya juga dari musim lalu, kali ini kami buka penyertaan sesi uji bakat menerusi muat naik video di laman sosial Facebook selain hadir sendiri ke lokasi ujibakat sejak November tahun lalu,”ujarnya ketika ditemui di majlis sidang media IS 3 di Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Kesemua peserta kali ini terdiri daripada Amirah Hanim Hashim (27, Pahang), Andy Reza Rohadian Khairul Anwar (23, Selangor), Muhammad Azri Othman (25, Perak), Doria Rachel Jolly (28, Sarawak) Frisca Jendang Freddy (25, Sarawak), Muhammad Hasif Idris (26, Selangor) dan Nur Jaziedah Zulkifli (28, Johor)

Selain itu, turut serta ialah Mohamad Munawar Azmi (25, Sarawak), Muhammad Nadhir Nordin (28, Pahang), Siti Balqis Elias (26, Negeri Sembilan), Syafik Syukri Abdul Jalil (26, Sarawak), Syarifah Nur Farhana Syed Talib (25, Pahang), Vanessa Mering (27, Sarawak) dan Zehra Zamri (29, Selangor).

Menurut Khuzaimah lagi, 14 peserta ini juga turut didedahkan dengan dunia sebenar penyiaran selain latihan secara profesional turut disediakan.

“Latihan tersebut merangkumi etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera, penyampaian berita, pengacaraan serta latihan melaporkan berita dari lokasi secara langsung.

“Peserta akan ditempatkan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) untuk menghadiri pelbagai sesi latihan yang telah disediakan oleh pihak RTM.

“Menariknya lagi, bagi memberikan gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan, peserta musim ini agak bertuah sebab diberi peluang untuk menemu ramah beberapa orang tokoh terkenal tanah air serta diberi tugas untuk mengendalikan beberapa slot dan program kendalian RTM.

“Saya percaya ke semua peserta yang ada ini antara yang terbaik dan datang dari pelbagai latar belakang pendidikan. Sepanjang tugasan berjalan setakat ini, saya belum menerima sebarang masalah daripada peserta dan semuanya memberikan kerjasama yang baik,”katanya yang memberikan jaminan bahawa setiap peserta yang tersingkir akan diserapkan ke dalam RTM bergantung kepada persetujuan bersama.

Setiap minggu mereka akan dinilai berdasarkan sistem penjurian profesional sepenuhnya. Selain kritikan daripada juri, mereka juga tidak terlepas dengan sesi penyingkiran. Juri tetap bagi program ini ialah Datin Yusanani Yushak dan Sayed Munawar Sayed Mustar.

IS3 akan bersiaran selama 13 episod secara rakaman bermula esok pada pukul 4 petang di TV 2 dan malam Anugerah Ikon Siarawan akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri pada 14 Mei depan, pukul 9 malam. Pengacara Farish Aziz akan mengendalikan program ini bersama dengan juara IS musim kedua, Josh Sim.

Juara bagi program ini akan menerima wang tunai berjumlah RM 205,000 berserta kontrak bersama RTM.