Justeru keberkesanan daripada pelbagai langkah ke arah membantu menyediakan masa depan yang lebih baik bagi sebahagian besar mereka dalam kategori itu yang pendapatan purata isi rumah RM2,537 sebulan masih menimbulkan banyak persoalan.

Timbalan Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin Md Said berkata, peran­cangan khusus harus lebih terarah dengan generasi muda pewaris keluarga agar lebih bermotivasi dan bersedia melalui gerakan bersepadu termasuk peranan institusi pengajian untuk lebih bersama dengan komuniti bagi merancakkan perubahan.

“Jika pendapatan kumpulan B40 berada pada paras sekarang, jurang pendapatan dengan golongan pertengahan dan tinggi akan semakin lebar.

“Berdasarkan kajian Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, pendapatan purata isi rumah B40 sebanyak RM2,537 manakala 40 peratus lagi golongan pertengahan RM5,662 sementara 20 peratus berpendapatan tertinggi purata RM14,305 sebulan,''ujarnya.

Beliau menyatakan demikian selaku panel dalam program Advokasi Ilmuwan MPN Bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Siri forum kali ke-10 itu membincangkan isu Nasib B40 Pantai Timur: Tiada Masa Depan?, disertai Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar dan Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Zulkifli Yaacob.

Shuhaimi Mohamed dari RTM pula bertindak selaku pemudahcara, dan program itu turut dihadiri Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor di samping kalangan warga akademik dan pelajar UMT serta para pegawai jabatan dan agensi kerajaan.

Menurut Kamaruddin, sebanyak 18 peratus daripada golongan B40 tidak berpendidikan manakala sebahagian lagi berpendidikan rendah namun keadaan semakin berubah dengan pencapaian akademik generasi muda dalam keluarga.

Beliau memberi contoh Tasik Kenyir tentang ruang dan peluang yang terbuka luas terutama ternakan ikan air tawar dengan potensi yang begitu besar namun hanya segelintir yang sedia mengharungi cabaran untuk mengusahakannya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, bagi meningkatkan potensi penjanaan pendapatan isi rumah B40, usaha telah dijalankan untuk mening­katkan kualiti hidup mereka dengan menarik penglibatan dalam kegiatan ekonomi melalui program penjanaan pendapatan, dan program sokongan perusahaan.