Menyasarkan penglibatan pengarah baharu dan golongan pengarah muda untuk menerbitkan telefilem yang bakal dipertandingkan tahun ini, pastinya setiap aspek diperhalusi dan diberi penambah baik.

Penerbit Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Rosyam Nor berkata, meskipun masih baharu namun idea dan kreativiti mereka tetap diambil kira tambahan pula kriteria untuk pemilihan tahun ini lebih ketat bagi menghasilkan naskhah yang bermutu tinggi.

“Nama P Ramlee sendiri cukup besar sehingga ke hari ini dan pemikirannya melalui filem-filem arahannya masih dikaji. Sebab itu kita membuka peluang kepada pengarah muda mengkaji dan menterjemah apa yang mereka nampak ke dalam sebuah naskhah.

“Alhamdulillah penyertaan pada tahun ini banyak daripada pengarah baharu dan tidak boleh dinafikan mereka mempunyai idea yang kreatif dan segar berdasarkan tema diberikan,” katanya.

Tahun ini sebanyak 16 telefilem dan 12 penulis skrip terpilih untuk menyertai program berkenaan yang bakal ditayangkan pada Oktober depan dan malam Anugerah Tribute P Ramlee pula dijangka diadakan pada Januari 2017.

Terdahulu, Rosyam dan panel penilaian stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memanggil kesemua pengarah dan penulis skrip yang terlibat kali ini. Sebanyak 40 penyertaan diterima dan masing-masing memberikan konsep baharu dan idea yang menarik tetapi hanya 16 tempat sahaja dipilih ke peringkat seterusnya.

“Dalam dua penganjuran sebelum ini hanya kami yang buat pembentangan tetapi berbeza dengan kali ini pengarah dan penulis skrip perlu melalui proses ‘pitching’ idea mereka.

“Seiring dengan kematangan Anugerah Tribute P Ramlee itu sendiri, saya mahu melihat lebih banyak telefilem berkualiti diterbitkan,” tegasnya.

Dalam penganjuran kali ini, telefilem yang bertanding bukan sahaja perlu menggunakan lagu-lagu P Ramlee tetapi skrip ditulis perlu diilhamkan daripada elemen semangat, idea dan falsafah seniman itu.

16 telefilem yang menyertai Anugerah Tribute P. Ramlee 2016