Lelaki berusia 54 tahun ini percaya berkat doa mereka, perjalanan hidup seorang anak itu pasti akan selamat dunia dan akhirat.

Lantaran itu, anak bongsu daripada dua beradik ini sama sekali tidak pernah melawan kata orang tua. Jauh sekali untuk bermasam muka sekiranya keinginannya itu tidak dipenuhi.

Begitu juga dalam bidang seni. Mokhzani bertuah kerana dia berkongsi minat dengan bapa yang merupakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Simpang Ampat, Perlis.

Bapanya itu merupakan individu paling awal yang mencetuskan rasa ingin mendalami bidang muzik. Dia juga banyak menyuntik semangat untuk menjadi pemuzik handalan satu hari nanti.

Benarlah kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Mokhzani mengakui bakat dalam bidang muzik itu sebenarnya diwarisi oleh bapa yang terkenal dengan ketegasannya.

Malah tanpa pendidikan yang formal, Mokhzani mampu untuk bermain muzik yang hanya menerusi pendengaran. Keistimewaan itu yang menyebabkan dia mampu menguasai alat muzik biola dan piano ketika kecil.

“Masa itu bapa membeli sebuah piano. Jadi setiap kali bapa bermain piano, saya hanya duduk di tepi memerhati dia dan jari jemarinya yang lincah bermain alat muzik berkenaan.

Prinsip

“Sehinggalah satu hari kawan bapa meminta saya bermain piano ketika bapa tiada di rumah. Saya memang takut sebab teringat larangan bapa. Tapi saya main juga.

“Apabila kegiatan saya itu dihidu bapa, saya bersyukur sebab dia tak marah,” kata Mokhzani berhubung kenangan ketika berusia lapan tahun itu.

Lebih memeranjatkan Mokhzani apabila bapanya itu turut berkongsi ilmu muzik. Sehinggakan Mokhzani dan abang, Yazid, 56, pernah berkolaborasi bersama-sama ayah mendendangkan lagu-lagu popular sekitar era 60-an. Dia dan abangnya bermain gitar manakala bapa bermain biola.

Tidak dinafikan pada waktu itu segala kemudahan asas dalam bidang muzik agak terhad di Perlis. Tiada institusi khusus yang boleh dijadikan rujukan utama untuk golongan yang berminat dalam bidang itu.

Pun begitu tersebut bukan penghalang utama buat Mokhzani untuk terus meminati bidang muzik. Malah dia percaya pembelajaran menerusi ‘hati’ lebih bermakna daripada pendidikan formal.

“Nak jumpa lampu isyarat di Perlis masa itu pun susah. Yang ada cuma sawah bendang dan pemandangan serba hijau terbentang luas.

“Kalau nak sekolah muzik jauh sekali,” kata bekas murid Sekolah Rendah Seri Indra (dulu dikenali sebagai Kangar English School) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis ini.

 

Menolak Tawaran

Selepas tamat peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) pada 1979, Mokhzani ditawarkan untuk menyambung belajar dalam tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak.

Pada masa yang sama dia juga ditawarkan untuk mengikuti kursus diploma dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun kedua-dua tawaran berkenaan ditolak Mokhzani selepas mendapat tawaran untuk memasuki Maktab Perguruan Ilmu Khas (kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur.

Keputusan itu dibuat kerana Mokhzani mahu menyambung tradisi keluarga yang berkhidmat di institusi perguruan di samping pekerjaan itu dipandang mulia oleh masyarakat setempat.

Nota muzik

SEPANJANG berada di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Mokhzani menyedari kekurangan paling ketara dalam dirinya apabila tidak mampu membaca nota muzik.

Biarpun kemampuannya untuk bermain muzik dari lagu-lagu tradisional hingga ke jazz tidak disangkal lagi, namun Mokhzani bangkit mengatasi kelemahan tersebut dengan segera.

“Pensyarah muzik waktu itu, Joe Chelliah dan Khoo Soon Teong menggalakkan saya untuk belajar muzik secara formal.

“Saya belajar di Akademi Muzik Alor Setar di Telok Wan Jah, Kedah pada hujung minggu. Hari-hari biasa, saya terikat dengan jadual kerja sebagai guru pula,” kata pemegang diploma persembahan piano dari Associated Board Royal School of Music (London).

Mokhzani bertugas menjadi guru muzik di hampir 13 sekolah sekitar Perlis bermula 1981 sebelum meletakkan jawatan lebih empat tahun kemudian.

Mokhzani mendapat tawaran biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk melanjutkan pengajian di Berklee College of Music Boston, Amerika Syarikat (AS) pada 1987.

“Itulah kali pertama dalam usia 25 tahun saya berjauhan dengan keluarga dan menaiki kapal terbang buat pertama kalinya,” ujar Mokhzani yang menamatkan pengajian dengan cemerlang pada 1990.

Mokhzani yang kerap dalam senarai dekan itu juga menerima ijazah sarjana mudanya daripada pemain jazz trumpet terkemuka dunia, Dizzy Gillespe dan penerbit album kumpulan Beatles, George Martin.

Selepas pulang ke tanah air, Mokhzani menyertai Orkestra RTM dan memangku jawatan pengurus pada 1995. Dia kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM ketika berusia 37 tahun.

Mokhzani merupakan pengarah muzik termuda diberi tanggungjawab menggalas jawatan itu. Sekaligus meletakkan namanya sebaris dengan Datuk Ahmad Dassilah, Datuk Johari Salleh, Gus Steyn, Alfonso Soliano dan Tan Sri Ahmad Merican yang pernah memegang jawatan yang sama sebelum ini.

Antara kejayaan bersama Orkestra RTM termasuklah merangka konsert-konsert mega antaranya Malam Simfoni Irama Malaysia 2006 dan Simfoni Putrajaya 2007.

Mokhzani juga menjadi pemuzik pertama negara yang dilantik sebagai duta instrumen piano terkemuka jenama Hagspiel dari Jerman yang berpusat di Shenzen, China pada tahun lepas.

Baru-baru ini, Malaysia Book Of Records telah memberikan dua pengiktirafan kepada Mokhzani yang menjadi anak Malaysia pertama yang dilantik sebagai duta piano antarabangsa dan membuat persembahan piano di Tembok Besar China.