Ini terbukti apabila daripada sejuta syarikat di negara ini yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2009 hanya 270,000 dimiliki oleh bumiputera dengan 90 peratus daripadanya terlibat dalam sektor mikro sahaja.

Jelas, bumiputera masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain dalam bidang perniagaan dan tidak hairanlah kenapa sasaran pemilikan ekuiti bumiputera itu juga tidak dapat dicapai.

Persoalannya kini kenapa perkara itu berlaku dan apakah punca utama yang menyebabkan keadaan ini sukar untuk diben­dung?

Bagi menjawab soalan itu dan mengupas lebih mendalam tentang isu tersebut, Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia dam Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) meng­anjurkan Program Advokasi Ilmuwan bertajuk Keusahawanan di Malaysia: Adakah Sudah Mencukupi? Program ketujuh dalam siri advokasi itu dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam pada 26 Julai lalu.

Tiga ahli panel yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor (Akademi dan Antarabangsa) UiTM, Prof. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib; Penolong Naib Canselor Keusahawanan UiTM, Prof. Dr. Razmi Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi. Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pula bertindak selaku moderator.

Bagi Razmi, faktor budaya menjadi antara punca utama kaum bumiputera kurang terlibat dalam bidang perniagaan. Hal ini kerana, katanya, kesedaran dalam kalangan mereka tentang pentingnya bidang keusahawanan masih rendah ekoran tidak didedahkan dengan bidang itu sejak kecil berbanding kaum lain.

“Ramai yang lebih suka melihat anak mereka menjadi doktor, jurutera atau sebagainya berbanding menjadi seorang usahawan. Bagi mereka, bekerja dalam sektor awam adalah pekerjaan yang paling selamat kerana kurang risiko kerugian malah ada pencen yang boleh menjadi jaminan hari tua,” ujarnya.

Justeru ada yang menganggap menolak atau berhenti kerja dari sektor awam untuk menjadi usahawan sebagai satu ‘dosa besar’. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang menghalang anak mereka menceburi bidang keusahawanan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap seperti bekerja makan gaji.

Dalam hal ini, memang pandangan itu tidak salah, tetapi jika semua kaum bumiputera tertumpu untuk makan gaji, itulah yang menjadi masalahnya.

Berbeza dengan kaum lain, anak-anak mereka sejak kecil terdidik untuk menjadi usahawan dan dibiasakan dengan alam perniagaan misalnya menjadi juruwang di kedai ibu bapa mereka.

Persepsi masyarakat bukan bumiputera pula terbalik, iaitu menganggap sektor awam bukan untuk mereka lantas tidak berminat untuk bekerja dalam sektor itu. Bagi kaum Cina terutamanya, menjadi satu kebanggaan memiliki sebuah perniagaan bahkan dalam kalangan yang makan gaji pun menyimpan hasrat untuk bergelar ‘tauke’ satu hari nanti.

Bagi Ashran, penglibatan kaum bumiputera dalam sektor perniagaan sebenarnya amat penting untuk memastikan kesaksamaan pembahagian kekayaan negara.

Beliau menegaskan dalam hal ini amat perlu ada perubahan budaya dan lonjakan minda dalam kalangan bumiputera.

“Mereka perlu ada sikap suka menyelesaikan masalah bukannya hanya mencari salah. Hal ini kerana, kalau betul cara berfikir, setiap masalah boleh mendatangkan peluang membuat duit jika kita tahu menyelesaikannya. Sikap itulah yang ada pada setiap usahawan berjaya,” katanya.

Namun, Ashran mengingatkan supaya usahawan bumiputera tidak dipupuk untuk menjana pendapatan sahaja kerana dibimbangi budaya ‘mata duitan’ akan mengelabui pertimbangan mereka. Mereka perlu dimotivasikan dengan anjakan minda dan budaya untuk menyelesaikan masalah yang akhirnya turut akan membawa nilai positif.

Suhaimi pula merumuskan sasaran ekuiti bumiputera seba­nyak 30 peratus dalam negara hanya boleh dicapai melalui bidang keusahawanan.

Sebab itu UiTM ujarnya, mengambil inisiatif menyemai budaya keusahawanan kepada setiap penuntut universiti ber­kenaan tidak kira bidang atau jurusan apa yang diambil. Penuntut kejuruteraan tidak semestinya terhad bidang kerjaya sebagai jurutera sebaliknya boleh menjadi usahawan dalam bidang kejuruteraan. Begitu juga dengan jurusan lain. Suhaimi mengi­ngatkan perlunya dibina jambatan antara pelbagai fakulti dan keusahawanan agar semua memahami aspek komersial dan pemasaran - pendekatan yang sudah dipraktikkan universiti terkemuka luar.

Beliau turut menyarankan semua agensi kerajaan bekerjasama dengan universiti dan industri untuk memperkasakan bidang keusahawanan khususnya bumiputera. Hanya apabila ketiga-tiga pihak bergerak senada seirama, gagasan keusahawanan di Malaysia pasti dapat dipertingkat dan dimantapkan.