Gabungan itu merupakan satu inisiatif yang julung kali diadakan di negara ini dan di peringkat dunia bagi menggalakkan orang ramai khususnya umat Islam me­luangkan masa selama satu jam untuk membaca, memahami ser­ta menghayati al-Quran sela­in mengadakan interaksi atau perbincangan mengenainya.

Selain Utusan Malaysia, turut terlibat dalam usaha mempromosikan kempen berkenaan adalah Kumpulan Media Karangkraf, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, Astro dan Kumpulan Media Prima selain penglibatan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selaku sekretariat kempen.

Ketua Pegawai Eksekutif Ya­yasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, kempen tersebut merupakan satu usaha murni yang bukan hanya untuk memartabatkan al-Quran sebagai panduan dan rujukan utama bagi umat Islam semata-mata.

“Kempen ini turut berperanan sebagai wadah kepada penyatuan ummah di serata dunia dan berinteraksi dengan al-Quran yang memfokuskan kepada kecintaan dan kesyukuran. Kita memilih 9 Zulhijah atau 11 September kerana bersamaan dengan tarikh umat Islam seluruh dunia berkumpul di Arafah.

“Kita harapkan dengan adanya kempen ini dapat menyemarakkan lagi kegiatan dakwah selain menjadikan amalan membaca, memahami, menghayati dan per­bin­cangan mengenai al-Quran se­bagai satu budaya hidup bagi umat Islam seluruh dunia,” katanya selepas majlis taklimat WORLD #Quran­Hour, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr. Husamuddin Yaacub, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang; Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan Timbalan Rektor Pengantarabangsaan dan Hubungan Industri serta Komuniti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Abdel Aziz Berghout.

Tambah Marhaini, bagi kempen WORLD #QuranHour di Malaysia, pihaknya akan mengadakan simbolik pelancarannya di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM selama satu jam bermula 9 pagi pada 11 September ini yang dijangka dihadiri 6,000 umat Islam.

“Bagi kempen WORLD #Quran­Hour di luar negara, kita turut melibatkan sukarelawan rakyat Malaysia di serata dunia dengan membantu memperluaskan kempen ini bersama komuniti mereka termasuklah masjid di negara masing-masing.

“Malah, kita juta turut mendapat kerjasama UIAM yang mempunyai 31 bahagian di luar negara, Madrasah Tahfiz Sulaimaniyah di lebih 156 negara selain gabungan pertubuhan bukan kerajaan Islam di seluruh dunia,” ujarnya.