Bagi bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam, Nadia Hasnan turut mengakui jika dia juga tidak terlepas daripada menghadapi situasi tegang seperti orang lain.

Mengambil sikap positif dan rasional, Nadia menganggap keadaan itu mengajar dia dan pasangan yang kini sudah bergelar suaminya sebagai fasa mematangkan.

“Gaduh itu perkara biasa. Sama sahaja seperti pasangan bercinta lain yang kadangkala ada pasang surutnya.

“Tak semua hubungan itu indah, tapi saya dan suami akan selesaikan masalah itu secepat mungkin. Tak elok biarkan perkara itu dibiarkan berpanjangan.

“Masa bertunang pun dulu banyak juga cabaran tapi semua itu mematangkan kita untuk melakukan persediaan mental sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

“Alhamdulillah, keluarga sentiasa beri sokongan moral dan tak pernah putus berikan nasihat,” tutur penyampai sambilan di radio Era FM ini.

Nadia, 26, selamat bergelar isteri kepada seorang pengurus pusat gimnasium, Hafiz Hamdan, 29, pada 16 Julai lalu dengan hanya sekali lafaz.

Dalam majlis yang bertemakan country sunflower itu Nadia atau nama penuhnya Nadia Haswani Hasnan dinikahkan oleh Imam Masjid Jamek Kampung Baru, Azizi Ab. Hamid.

Nadia menerima mas kahwin berjumlah RM5,000 dan wang hantaran bernilai RM20,000 serta berbalas lima dulang hantaran.

Majlis pernikahan yang disusuli dengan acara resepsi itu berlangsung meriah di Dewan Campbell, Dang Wangi, Kuala Lumpur turut dihadiri rakan artis.

Ditanya rutinnya selepas bergelar isteri, pelantun lagu Kamu Aku Satu itu berkata, tidak banyak yang berubah melainkan kini dia perlu menjaga keperluan harian suaminya.

“Kalau dulu sewaktu tinggal serumah dengan keluarga, ada jugalah saya tolong sediakan sarapan dan kemas rumah. Jadi bila dah kahwin dan tinggal sendiri, urusan itu jadi lebih mudah dan tak kekok.

“Sekarang ini saya kenalah lebihkan suami dalam segala hal seperti pakaian dan makan minum dia,” ujarnya yang bertunang pada April 2015.

Sementelah itu, ketika ditanya tentang karier seni pula, Nadia bersyukur kerana suaminya itu tidak menghalang minatnya itu.

“Kami dah berbincang sebelum kahwin dulu kalau boleh tidak mahu menyekat kerjaya masing-masing. Saya bersyukur dihadirkan seorang suami yang sangat memahami.

“Lebih-lebih lagi saya jenis yang tak boleh melekat dan duduk diam di rumah tanpa buat apa-apa kerja. Hujung minggu saya akan buat persembahan di kelab malam sekitar Kuala Lumpur bersama band N The Boys.

“Kalau suami ada masa terluang, dia sendiri akan temankan saya buat persembahan atau di lokasi penggambaran,”ujarnya yang akan tampil sebagai pengacara Travelog musim ke-3 hingga ke-5 bagi siaran RTM.

Dalam pada itu, Nadia kini yang selesa bergerak solo tanpa diuruskan mana-mana syarikat rakaman akur dengan arus industri tempatan yang kini dipenuhi dengan wajah baru hingga menenggelamkan penyanyi lain.

“Saya tetap teruskan minat dalam dunia nyanyian dan masih terima undangan untuk menyanyi juga.

“Walau saya sering lakukan banyak kerja, tapi asalkan masih di dalam lapangan seni rasanya bagus juga untuk mengemaskini profil peribadi saya.

“Kali terakhir saya bernaung di bawah label Maestro Talent tujuh tahun lalu. Sebenarnya seronok juga bila tidak terikat dengan mana-mana syarikat.

“Tapi saya tidaklah menolak kalau ada tawaran yang hadir asalkan ada hitam putih supaya kedua-dua belah pihak memahami rangka kerja yang telah dimeterai dari awal,” katanya.