Benar, di mana-mana jua boleh memanjatkan doa, me­minta rahmat dan keberkatan Allah SWT, tetapi yakinlah, kehadiran umat Islam membanjiri Dataran Merdeka bakal memberi impak dan makna yang cukup besar agar terjelma semangat ukhuwah dan bersatu padu dalam kalangan sesama Islam yang sentiasa mencari ke­rahmatan dan kedamaian untuk semua.

Akan terpamer nilai murni umat Islam di negara ini yang sedia berganding bahu demi mengekalkan kemakmuran, ke­amanan dan kestabilan tanah air. Sekali gus memberi mesej kepada semua pihak betapa semangat sayangkan negara dan usaha mempertahankan maruah serta kedaulatan yang sedia wujud menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia.

Apa salahnya umat Islam me­nunjukkan semangat setiakawan yang tinggi, berhimpun pada suatu jemaah, tersusun rapi saf dan barisannya, menghadap kiblat yang sama, menuruti imam yang satu, lalu akan terpancar suatu manifestasi kesatuan jiwa dan harapan, dengan matlamat agar Allah memberi kesentosaan yang berpanjangan kepada penghuni dan tanah air ini.

Dan semoga tiada lagi pihak atau individu yang merasa ter­asing atau cuba mengecualikan diri daripada tanggungjawab ber­usaha dan berbakti demi Malaysia. Melalui program-program spiritual keagamaan seumpama ini, tentu membuatkan pihak-pihak yang mempunyai agenda menggugat keharmonian negara akan merasakan niat dan tin­dakan mereka ketara kontra dengan aspirasi sebenar rakyat Malaysia.

Menariknya, seperti tahun-tahun kebelakangan, program ini turut dilaksanakan oleh pihak agama lain selain Islam. Langkah ini tentulah wajar. Mereka me­ngadakan upacara mengikut cara dan kaedah keagamaan masing-masing di rumah-rumah ibadat tertentu.

Sudah tahun keempat program Doa Untuk Malaysia ini dianjurkan. Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadi peneraju program ma­nakala Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) bertindak sebagai pelaksana.

Banyak agensi dan organi­sasi lain turut membantu. Ini termasuk Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), badan-badan penyiaran (tahun ini RTM menjadi penyiar rasmi), Jabatan Penerang­an, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Rela dan lain-lain.

Tiga program yang berlalu menyaksikan sambutannya begitu menggalakkan. Ramai warga kota yang hadir walaupun hujan. Selain solat isyak dan solat hajat berjemaah serta berdoa, program turut disulami selawat dan qasidah oleh Habib Syech Abdul Qadir Abdul Rahman As-Seqqaf, Habib Ali, Al Maulid, In-Team dan kumpulan Hadrah.

Program ini akan menampilkan suatu imej menarik untuk Malaysia. Walaupun bukan niat peng­anjur untuk menjadikannya sebagai elemen untuk dime­gah-megahkan, namun dengan adanya liputan media yang akan menyebar luas ke serata dunia, tentunya nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif semakin harum.

Doa Untuk Malaysia tahun ini lebih tepat dan sesuai pada masa dan suasana. Selari dengan doa dan harapan rakyat Malaysia agar negara ini sentiasa aman dan terus memacu maju dalam segala bidang. Termasuk berupaya mengekal dan meningkatkan kedudukan ekonomi serta cekal mendepani pelbagai cabaran dan ancaman anasir sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

Antara yang menjadi harapan rakyat Malaysia juga adalah supaya negara ini kekal aman, stabil di bawah sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik dan sah. Mereka tidak mahu melihat ada unsur-unsur gangguan yang boleh menjejas atau menghalang kelancaran proses memajukan rakyat dan negara.

Juga menjadi harapan rakyat Malaysia, agar kehidupan mereka tidak dikelirukan atau ‘dilagakan’ menerusi bahan-bahan penulisan liar yang tersebar melalui media sosial saban waktu. Mereka mahu hidup harmoni tanpa fitnah dan pe­ngaruh negatif.

Dan agar media sosial bukan lagi dijadikan wadah untuk mempengaruhi fahaman ekstremisme, atau laman tipu daya untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Didoakan agar tidak wujud lagi pelbagai bentuk siaran melalui media sosial yang ber­unsur menghina dan mengganggu emosi umat Islam dan orang Melayu yang sengaja dicipta oleh ‘makhluk-makhluk perosak’ yang tidak bertanggungjawab.

Dimohon kepada Ilahi agar Malaysia tidak disulitkan dengan gejala jenayah, dadah, wabak pe­nyakit dan sebarang tindakan salah laku yang melanggari peraturan dan undang-undang negara. Juga agar berkurangan bilangan kemalangan di jalan raya. Mohon dijauhkan sebarang nahas yang dan kecelakaan yang menimpa rakyat negara ini.

Kedamaian dan kesejahteraan adalah idaman semua. Idaman setiap golongan tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan keturunan. Juga melampaui anutan ideologi politik manakala kemakmuran akan lebih ber­makna dengan terpupuknya mesra, muhibah serta perpaduan dalam kalangan rakyat seluruhnya. Dan sesungguhnya, Doa Untuk Malaysia adalah doa untuk kita!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah

Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa),

Kementerian Komunikasi dan Multimedia