Ainan Tasneem
Ainan Tasneem

Banyak menerima tempias publisiti, Ainan beruntung kerana selain punya rupa, dia juga mampu meraih populariti dengan mudah menerusi karya hits yang mengikut trend halwa telinga pendengar.

Antaranya lagu-lagu Aku Suka Dia, Hanya Padamu dan 150 Juta.

Bagaimanapun lebih dua tahun kebelakangan ini, Ainan dilihat sepi dan tidak lagi menjadi perhatian.

Ini sekali gus menarik minat masyarakat untuk melabel Ainan sebagai artis yang berada dalam kategori suam-suam kuku.

Lebih klise, Ainan dianggap sudah tak lagi laku dan kerana itulah dia dikatakan menyepikan diri daripada dunia seni.

Bertanyakan hal ini kepada Ainan, penyanyi berusia 24 tahun ini hadir dengan logik penjelasan untuk pembaca Pancaindera.

Kali terakhir anda 'bersuara’ adalah menerusi isu kritikan terhadap pramugara syarikat penerbangan sekitar Mac lalu. Itupun kemudiannya anda kembali berdiam diri. Ke mana menghilang?

Saya tahu saya agak senyap daripada dunia seni selama ini tetapi itu tidak bermakna saya sudah menghilang. Saya sebenarnya sibuk dengan aktiviti pengajian di universiti dan sekarang ini pun masih lagi mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang Biologi di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP). Saya akui memang tidak begitu bertumpu kepada kerjaya seni kerana kesibukan pengajian. Namun saya masih menerima undangan persembahan pada hujung minggu dan waktu yang tidak menganggu jadual pengajian saya.

Macam mana kendalikan waktu antara dua dunia itu memandangkan anda masih juga menerima tawaran untuk mengadakan persembahan walaupun tidak kerap?

Kalau ikutkan keadaan lebih sukar semasa saya mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda sebelum ini. Setiap hari ada kelas dan show juga hampir setiap hujung minggu jadi saya memang agak sibuk. Sukar juga membahagikan masa. Tapi lama-kelamaan saya sudah boleh biasakan diri dan apabila sambung pengajian di peringkat Sarjana sekarang, saya sudah tahu bagaimana nak susun jadual. Tambahan pula, saya mengikuti pengajian tanpa kelas kali ini, jadi lebih mudah untuk saya bahagikan masa.

Apabila lama menyepi, ramai yang buat spekulasi antaranya anda dianggap tak laku dan sudah putus asa dengan industri. Komen?

Walaupun saya senyap dari ketiadaan lagu baharu dan sebagainya, saya masih lagi aktif di media sosial. Kalau ada undangan persembahan, saya akan kemas kini informasi di laman sosial supaya mereka yang mengikuti perjalanan seni saya tahu mengenainya. Mungkin siapa yang ikuti saya di laman sosial sedar saya masih aktif manakala mereka yang tidak akan anggap saya seperti itu. Tapi terus terang saya katakan, saya tak rasa sedih atau kecewa pun kalau orang ingat saya tak laku dan sebagainya. Lagipun saya bukan tumpu kepada nyanyian saja, saya juga belajar. Biarlah apa orang nak cakap sebab saya tahu apa yang saya buat.

Secara umum apa pandangan anda bila melihat sikap sesetengah masyarakat atau peminat yang mudah meletakkan spekulasi ke atas seseorang artis itu?

Bagi saya, sebagai manusia kita tak boleh dengar atau ambil semua yang orang perkatakan. Kalau ikutkan, semua orang boleh cakap apa yang mereka nak katakan. Dari sisi artis yang terkena isu begini, yang boleh dilakukan, bersabar sahaja. Sebab itu adakalanya lebih baik berdiam diri sebab hanya kita saja yang tahu yang kita lakukan. Kita ada dalam industri ini kerana mahu mencari rezeki dan peluang yang baik. Bukan buat benda salah pun. Untuk masyarakat pula, saya fikir daripada mereka lekas meletak spekulasi, lebih baik mereka ambil tahu juga mengenai perkembangan industri atau seseorang artis itu. Artis senyap, mesti ada sebab. Tapi itulah, masyarakat memang selalu suka bercakap dan mereka akan cakap apa yang mereka suka. Kalau difikirkan sangat, sampai bila pun kita tak akan maju ke depan kalau lekas terasa hati. Bagi saya, ubahlah persepsi sebegitu dan jangan lekas menghentam.

Pernah rasa tertekan sepanjang melakar karier nyanyian?

Pernah dan waktu pertama kali saya bergelar artis. Selepas(lagu) Aku Suka Dia, 150 Juta juga menjadi hits dan jadi kontroversi kerana saya dikatakan mencuri lagu Fynn Jamal. Sedangkan hal sebenarnya ialah lagu itu diberikan oleh Fynn kepada saya. Namun Alhamdulillah... setelah mengharungi hal-hal sebegitu, saya sekarang semakin kuat. Saya tak peduli cakap-cakap orang dan tak terasa kalau mereka masih mahu mengata diri saya. Saya percaya, apabila saya berjaya juga mereka akan tetap akan bercakap (mengenai saya). Pendek kata, baik atau buruk yang kita lakukan, mereka akan tetap bercakap. Jadi lebih baik buat tak tahu saja.

Sejauh mana anda terkesan dengan pandangan negatif dilemparkan kepada anda terutama di laman sosial?

Dulu saya memang terkesan. Setiap kali. Sekarang apabila saya nampak saja komen negatif, saya akan senyum saja dan tak pedulikan. Saya perasan, mereka yang komen-komen negatif ini sebenarnya adalah peminat. Kalau tidak, mengapa mereka masih ikut saya di laman sosial dan like setiap perkara yang saya kemas kini. Itu bermaksud mereka masih ambil tahu mengenai saya dan mereka komen begitu kerana mereka nak lihat respons kita. Kadang-kadang ada yang bergurau saja dan mengutuk kerana mahukan perhatian artis itu. Terpulang kepada niat mereka. Tapi kalau jenis yang melampau, memang saya tak fikir panjang, saya block saja mereka di laman sosial. Terutama sekali yang memberi komen menyentuh isu sensitiviti atau komen berbaur lucah.

Pernah terima komen berbaur lucah?

Ya pernah! Bayangkan saya yang tidak seksi dan berpakaian muslimah begini tetap menerima komen jelik seperti itu dan kata-kata mereka memang tak senonoh. Saya anggap mereka ini 'sakit’ kerana tergamak mengeluarkan komen sebegitu. Saya akan terus block mereka kerana bimbang apa yang dilakukan mereka itu akan mempengaruhi orang lain untuk komen perkara serupa. Kita berdiam bukan bermaksud kita tidak kisah. Kalau beri komen membina tak mengapa, ini komen negatif berbaur lucah. Saya memang tak akan kompromi.

Apa projek baharu yang boleh dikongsikan?

Saya akan hadir dengan single berjudul Cuba Percayakanmu yang dicipta oleh DJ Fuzz. Baru sahaja diterbitkan dan sedang menunggu respons daripada pendengar. Selain itu, single baharu yang lain juga akan dihasilkan menjelang akhir tahun ini. Saya juga baru sahaja menerima tawaran untuk menjadi pengacara di saluran RTM untuk sebuah program berjudul Live It Up, sebuah program berbentuk motivasi. Dalam program itu saya akan bergandingan dengan Anding dan ini merupakan kali pertama saya menggalas tugas sebagai pengacara. Mungkin bidang ini akan jadi satu lagi cabang kerjaya seni saya selepas nyanyian.