Jelas Faezah, 34, dia sedikit pun tidak menyesal kerana terpaksa mengutamakan keluarga berbanding karier kerana anak-anak dan suami adalah segalanya.

“Saya tidak pernah pencen berlakon, masih lagi walaupun sudah ada anak. Cuma kurangkan saja sebab tak ada orang nak jaga anak-anak. Sekarang ini kalau pergi penggambaran, saya tinggalkan anak kepada mak.

“Kalau berlakon pun saya akan berlakon dengan produksi yang boleh ikut jadual saya. Setakat ni kerap berlakon drama arahan suami (Heykal Hanifah) saja sebab dia boleh ikut jadual saya. Lagipun saya terima itu pun bukan watak utama, sampingan saja,” katanya kepada HITS.

Kata Faezah, dia baru saja selesai menjalani penggambaran drama Cerita Ramadan Hazim, terbitan Layar Consult Sdn. Bhd., yang akan disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Tambahnya, selepas ini dia akan berlakon sebuah telefilem yang juga arahan Heykal iaitu Cinta PHD, sebagai seorang pelajar.

“Selain ikut jadual saya, keutamaan lain yang saya titik beratkan ialah saya tidak akan bermalam di luar. Setiap hari selepas penggambaran saya mesti pulang. Bukan masa kahwin atau ada anak baru saya perlu balik rumah.

“Sebelum kahwin lagi saya tidak akan tidur di luar kerana saya selesa tidur di rumah. Saya hanya akan tidur di luar kalau untuk filem, sebab itu memang tidak dapat dielakkan. Selagi boleh elak, saya akan cuba,” katanya.

Dalam pada itu, HITS sempat juga bertanya, tidakkah dia risau kalau kurang muncul di layar kaca atau dada akhbar kerana sekarang ini ramai pelakon baharu yang muncul.

Mudah saja jawapan Faezah, katanya, dia tidak risau biarpun kehadiran orang baharu sering berganti kerana pelakon yang mampu memberi lakonan mantap akan terus diingati.

“Memang ramai yang muncul tapi bagi saya biasalah kerana setiap orang ada rezeki masing-masing. Saya yakin kalau kita memberi lakonan yang berkesan, orang akan ingat akan kita berbanding kerap muncul tapi orang tidak ingat apa drama lakonan kita.

“Terus terang, saya memang tak ada kawan rapat dalam kalangan artis kerana ramai sangat orang baharu. Saya hanya rapat dengan artis yang seangkatan dengan saya seperti Nazim Othman. Tak apalah, mungkin saya pun sibuk dengan keluarga, jadi tak ada masa nak bersosial dengan rakan artis yang lain,” katanya.

Katanya, sebagai ibu kepada Dealova dan Aurora, tidak dinafikan sudah ada beberapa pihak yang menawarkan anak-anaknya untuk berlakon iklan atau drama.

Bagaimanapun setakat ini dia belum bersedia untuk melepaskan mereka beraksi di hadapan kamera.

“Ada tawaran untuk mereka berlakon iklan dan drama, cuma saya dan suami tak berapa nak bagi sebab kecil lagi. Tunggu apabila mereka dah besar, kalau berminat kami akan beri galakan. Setakat ini belum lagi sebab kanak-kanak, tahu sajalah apabila datang waktu meragam, apa pun tak jadi,” ceritanya mesra.

Sementara itu, sempat juga HITS bertanya pada Faezah atau Noor Faezah Md. Elai, selain berlakon apakah aktivitinya.

“Kalau tak sibuk di lokasi saya akan bantu adik jual tudung. Saya dan adik jual tudung jenama Elai’s Hijabers sejak April tahun lalu. Setakat ini kami jual atas talian sahaja, itu pun dah tak menang tangan.

“Syukur, biarpun ramai yang menjual tudung, Elai’s Hijabers masih mendapat permintaan. Tudung kami bukan yang mahal-mahal, semua orang mampu pakai,” katanya yang turut menjual produk jagaan kulit dengan jenama Purestbyfaezahelai Skincare. 
- Khadijah Ibrahim