Hakikatnya, Rodi mahupun Kristal tidak ke mana-mana. Kemunculan mereka menerusi single terbaharu, Yang Ku Cinta menjadi ubat kerinduan peminat yang selama ini menantikan ‘kepulangan’ kumpulan yang satu ketika dahulu pernah menjadi kegilaan ramai.

Kunjungan Rodi ke ibu pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini membuka banyak cerita, sekali gus menjawab spekulasi perpecahan Kristal yang pernah menular dan heboh diperkatakan ramai. Jelasnya, hubungan antara mereka masih seperti dahulu, tiada masalah.

“Kristal masih di sini (industri). Komitmen terhadap kehidupan masing-masing telah mengehadkan pertemuan kami. Namun, kami masih berjumpa dan bermain muzik bersama apabila ada undangan untuk membuat persembahan.

“Jadi, cerita perpecahan itu tidak benar sama sekali. Ini kami buktikan menerusi Yang Ku Cinta. Lagu ini bukti kami telah muncul semula dalam industri. Alhamdulillah, lagu ini diterima baik peminat,” katanya ceria.

Sesungguhnya, Yang Ku Cinta memperlihatkan sisi berbeza Kristal dengan melodi yang lebih segar dan menggamit jiwa. Menerima 76,637 tontonan di YouTube, lagu itu sekali lagi membuktikan kredibiliti Kristal sebagai antara band tempatan yang masih relevan.

Mengulas tentang lagu tersebut, Rodi memberitahu lagu itu adalah ‘buah tangan’ untuk peminat yang selama ini menantikan kemunculan semula mereka di pentas seni tempatan.

Katanya, konsep rock balada diketengahkan dalam lagu itu, tidak jauh beza dengan lagu-lagu mereka sebelum ini. Namun yang pasti, lagu berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Lagu ini dihasilkan oleh Harry Khalifah, manakala liriknya ditulis Iman Imran. Ia mengisahkan cinta yang tidak berbalas. Pasti dalam kalangan kita, ramai pernah mengalami pengalaman seperti diceritakan dalam lagu ini,” ujarnya sambil mengucapkan syukur kerana peminat masih menyokong dan menerima positif karya terbaharu kumpulannya.

Menurutnya, penerimaan itu menandakan mereka (peminat) masih setia bersama Kristal.

Selain sibuk mempromosikan lagu baharu bersama Kristal, anak muda ini mengakui tidak menang tangan dengan komitmen peribadi dan kerja di belakang tabir. Dalam masa yang sama, Rodi kini mengambil langkah setapak ke hadapan dengan mencuba nasib sebagai pengacara.

“Ini merupakan percubaan sulung sebagai hos dalam rancangan travelog yang akan ditayangkan di RTM pada tahun hadapan. Program berjudul Cedoku berkonsepkan dokumentari itu bakal ditayangkan dalam 13 episod yang mengetengahkan empat kartunis tempatan. Rancangan ini telah membawa kami menjelajah ke setiap negeri untuk mengkaji tentang mitos dan cerita rakyat.

“Sebagai hos, banyak pengalaman diperoleh menerusi penglibatan dalam rancangan ini terutama sewaktu sesi penggambaran dijalankan. Antara paling menarik adalah mengembara ke setiap kawasan, bertemu dengan orang-orang lama yang cukup berpengalaman dan mendengar perkongsian mereka tentang mitos Melayu.

“Pada awalnya, memang agak kekok beraksi di hadapan kamera sebagai pengacara. Namun, saya merasa cukup seronok dan akan cuba lagi jika diberi peluang untuk mengacarakan rancangan berkonsep sama selepas ini,” ujarnya. – AL FAIZAL/ ZAKARIA IDRIS