Sultan Selangor yang akan menyambut Hari Keputeraan ke-71 pada Disember ini diijabkabulkan dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman, 45, pada 31 Ogos lalu dalam suasana ringkas dan sederhana.

Ini adalah perkahwinan ketiga Sultan Selangor selepas mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986 dan kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah tetapi bercerai pada 1997.

Dalam kelam-kabut dan persengketaan berterusan sesama ahli politik, berita perkahwinan Sultan Selangor dengan Norashikin ini bukan sahaja menyejuk malah menceriakan keadaan.

Kenyataan akhbar dari Istana Alam Shah tentang pengumuman perkahwinan itu yang dibuat kira-kira pukul 11 pagi dalam sekelip mata menjadi viral. Orang ramai kemudiannya berkongsi gambar dan cerita berkaitan perkahwinan tersebut.

Dalam beberapa jam telefon Awang pun tak berhenti-henti menerima makluman, gambar dan luahan kata-kata kegembiraan atas berita yang tidak dijangka itu.

AWANG – Tumpang gembira