Mereka yang menyuntik minat penyanyi yang popular dengan lagu Bila Rindu Ku Sebut Namamu pada pertengahan era 80-an ini untuk terus meminati bidang muzik.

Ini kerana sejak kecil lagi halwa pendengaran Siti Fairuz sudah terbiasa mendengar lagu-lagu Arab.

Arwah orang tua Siti Fairuz berketurunan Arab dari Rada, Yaman. Jadi tidak hairanlah dendangan lagu sebegitu sentiasa berkumandang di kediaman mereka di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang.

Lenggok nyanyian dan bahasa yang dinyanyikan kerap menarik perhatian Siti Fairuz untuk terus mengamati lagu yang didendangkan.

“Kalau di rumah, kami selalu mendengar lagu Arab sebab arwah orang tua gemar memasang lagu-lagu sebegitu.

"Sudah terbiasa dengan keadaan itu hinggakan ada beberapa perkataan Arab yang kami gunakan di rumah.

"Tetapi kami tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantara.

“Sebab hanya arwah bapa lebih fasih berbahasa Arab berbanding arwah ibu. Sedangkan waktu itu arwah bapa lebih banyak di luar untuk mengusahakan perniagaan kainnya.

“Itu yang ruginya sebab kami tak dapat mempraktikkan bahasa Arab di rumah,” kata anak bongsu daripada sembilan beradik ini.

Terbuka

ENGGAN kisah peribadinya digembar-gemburkan selepas berkahwin dengan bekas suami, Mohd. Zainuddin Kordi, Siti Fairuz mengambil keputusan untuk menarik diri dalam bidang nyanyian pada 1988.

Menurut ibu kepada lima anak ini, dia tidak selesa jika kisah rumah tangganya itu menjadi perhatian masyarakat.

Oleh sebab itu, Siti Fairuz menyepi seketika hinggalah dia berpisah secara baik dengan lelaki tersebut pada 2008.

“Peminat melihat penampilan pertama saya ketika membuat persembahan pada Anugerah Media Islam Negara di Putrajaya pada 2010. Sebenarnya saya sudah mula kembali menyanyi selepas bercerai.

“Nawaitu saya pada waktu itu untuk mencari nafkah buat anak-anak. Saya bukannya belajar tinggi, jadi kenalah kerja lebih kuat untuk mencari duit tambahan buat mereka.

“Saya juga jaga niat itu kerana tidak mahu tergelincir daripada paksi kehidupan manusia yang sepatutnya hanya kepada Yang Maha Kuasa.

“Sebab itu saya tidak pernah menyesali takdir hidup saya kerana saya percaya pengalaman lampau itu yang menjadi kita pada hari ini,” jelasnya.

Mengulas tentang kehidupannya menjadi ibu tunggal Siti Fairuz memberitahu, dia sentiasa mengingati pesanan arwah bapanya untuk bersederhana dalam semua perkara.

Amalan itu juga yang dipegang Siti Fairuz sepanjang membesarkan anak tanpa insan bernama lelaki.

“Dulu saya hairan kenapa arwah bapa saya yang meniaga kain tidak pernah bertukar baju sedangkan dia boleh berbuat demikian.

“Sampai baju yang dipakai itu lusuh dan koyak, barulah dia memakai baju baharu. Sebenarnya itu adalah contoh terbaik yang ingin dia sampaikan kepada anak-anaknya.

“Cara yang sama saya guna sepanjang mendidik anak-anak,” katanya lagi.

Berani

Keberanian untuk tampil di hadapan khalayak banyak membantu Siti Fairuz ketika zaman persekolahannya.

Tidak dinafikan Siti Fairuz dilihat seorang kanak-kanak yang berkeyakinan setiap kali menyertai pertandingan sewaktu belajar di sekolah rendah dan menengah perempuan Methodist Kuantan.

Dengan kebolehan menghayati setiap bait syair dan puisi menjadikan Siti Fairuz dengan mudah meyakinkan juri.

Hinggakan pernah beberapa kali bergelar juara dalam pertandingan, pengalaman menyanyi depan orang ramai juga banyak membantu Siti Fairuz pada zaman persekolahannya.

“Masa zaman itu, saya sekadar memanfaatkan bakat suara saya. Saya tidak pernah merancang untuk pergi lebih jauh. Apatah lagi menjadi penyanyi profesional.

“Dorongan arwah kakak Siti Halimah yang telah membuatkan hati saya berkobar-kobar untuk menyertai pertandingan nyanyian selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1981.

“Bintang RTM 1982 adalah pertandingan nyanyian yang disertai buat pertama kalinya dalam hidup saya.

"Selang setahun kemudian, saya mencuba nasib lagi menyertai pertandingan yang sama sebab tak puas hati dan merasa juga pengalaman menyanyi di peringkat separuh akhir,” ujarnya.

Bakat nyanyian Siti Fairuz kemudiannya dikesan oleh seniman negara, Datuk Dr. Ahmad Nawab sewaktu dia membuat persembahan Pantai Timur anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1985.

Komposer itu yang bertanggungjawab membimbing Siti Fairuz dalam dunia seni suara tempatan.

Hinggakan Siti Fairuz berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 1986 menerusi lagu Usah Bertanya Lagi dan Bila Rindu Ku Sebut Namamu.

“Ahmad Nawab banyak mengajar saya untuk lebih mendalami bait-bait lagu. Bahkan saya akan diminta pulang ke rumah kalau dia tak ‘rasa’ nyanyian saya sewaktu proses rakaman lagu,” katanya.

Siti Fairuz pernah merakamkan tiga album berjudul Wajah Cinta pada 1985, Bila Rindu Ku Sebut Namamu (1987) dan Penantian Belum Berakhir (1988).

Berkongsi cerita Siti Fairuz memberitahu, kesemua adik beradiknya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian namun dia yang paling menyerlah.

Ini kerana menurut Siti Fairuz, dia sendiri tidak menyangka kebolehannya itu memandangkan dia hanya menyanyi secara suka-suka.

Arwah orang tuanya juga tidak menghalang minat anak mereka itu kecuali melarangnya menyanyi di dalam bilik air sahaja.

Itu adalah satu-satunya yang ditegah orang tuanya sejak kecil dan masih diingati sampai kini.

“Saya boleh menyanyi di mana saja. Cuma tidak boleh di bilik air sebab tempat itu hanya untuk membersihkan diri,” ujarnya.

Memandangkan rapat dengan arwah kakak, Siti Halimah, dialah orang yang bertanggungjawab meyakinkan Siti Fairuz tentang bakat nyanyiannya itu.

Sebagai orang kuat dalam persatuan belia setempat, arwah Siti Halimah kerap membawa adiknya itu menemaninya dalam pelbagai acara keraian yang dianjurkan di sekitar Kuantan.

Taman Astaka Village, Kuantan adalah tempat pertama Siti Fairuz menyanyi walaupun pada ketika itu dia tidak mengetahui langsung tentang ilmu muzik.

Dendangan Siti Fairuz itu hanyalah dari hatinya sendiri. Meskipun baru berusia sembilan tahun, Siti Fairuz mampu menghayati lagu dengan baik.

Lagu pilihan Siti Fairuz sudah pastilah daripada arwah biduanita Datuk Sharifah Aini dan arwah Rafeah Buang yang cukup terkenal ketika itu.

“Arwah kakak cakap saya ada kebolehan menghayati lagu dengan baik. Apatah lagi membabitkan lagu sedih, saya boleh mengheret perasaan sentimental penonton walaupun saya masih kecil waktu itu.

“Itulah kebolehan istimewa saya yang menyebabkan arwah orang tua saya turut memberi lampu hijau kepada saya untuk menyanyi di sekitar Kuantan.

“Arwah bapa memberi kebenaran kepada saya untuk menyanyi asalkan ditemani arwah kakak Siti Halimah. Yang penting, kena pandai jaga maruah keluarga.

“Begitu juga dengan soal penampilan diri. Saya dilarang untuk memakai pakaian seksi yang mendedahkan kulit,” ceritanya.

Arwah kakak cakap saya ada kebolehan menghayati lagu dengan baik. Apatah lagi membabitkan lagu sedih, saya boleh mengheret perasaan sentimental penonton walaupun saya masih kecil waktu itu.