Dengan penuh rasa syukur, Awang menzahirkan  sembah tahniah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah diijabkabul bersama pengacara RTM, Norashikin Abdul Rahman pada 31 Ogos lalu.
Buat sekian lama, sejak 1997,  akhirnya baginda menemui wanita pilihan hati buat dijadikan permaisuri.   
Ia suatu kejutan yang menggembirakan terutama buat rakyat di negeri Selangor. Selain kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, rupa-rupanya tarikh itu juga menjadi hari istimewa buat pasangan tersebut melayari bahtera perkahwinan. Detik  tersebut sudah lama dinanti-nantikan dan baginda bertemu jodoh lagi selepas dua perceraian sebelum ini.
Pernikahan baginda adalah berita paling menceriakan minggu ini selain Hari Kebangsaan 2016 yang mendapat sambutan luar biasa dengan bahang patriotisme lebih menyerlah.
Awang tumpang gembira apatah lagi rata-rata menerima maklum balas positif daripada rakyat yang teruja dengan perkembangan baharu ke atas Sultan Selangor. Berita tersebut viral dengan begitu pantas sekali. Ternyata perkahwinan sultan atau raja, lebih-lebih lagi dengan wanita rakyat biasa, mudah mengundang perhatian masyarakat.
Kini tumpuan ramai kepada Norashikin. Perawakan, keanggunan, kisah keluarga dan latar belakangnya  serta bagaimana cinta mereka berputik, hangat diperkatakan. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.  Ini kali kedua dalam sejarah negara, personaliti stesen televisyen berkahwin dengan seorang Sultan.
Berita perkahwinan itu buat seketika mengalih perhatian rakyat yang sudah penat dan sendat dengan isu-isu semasa terutama politik, bagaikan terapi kecil. Semoga Sultan Sharafuddin dan Norashikin dikurniakan kebahagiaan dan keberkatan. Menjunjung kasih Tuanku.

FAM BERSIH?

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah menyerahkan pemacu pena yang didakwa mengandungi maklumat rasuah dan salah guna kuasa dalam urusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Khairy berbuat demikian demi ketelusan dan memandangkan pelbagai andaian telah dibuat ekoran dakwaan yang serius oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap FAM.
Awang setuju, biarlah SPRM yang membuat penentuan sama ada berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa. Lagi cepat penentuan dibuat lagi baik kerana telah menjadi isu kepentingan awam.
Berdasarkan maklumat, yang turut disahkan oleh Khairy, kandungan pemacu pena itu hanya mengandungi laporan teknikal 279 muka surat. Difahamkan sebahagian daripada laporan itu yang dibocorkan oleh orang dalam FAM, boleh ditafsir sebagai kelemahan pengurusan persatuan bola sepak tersebut.
Namun yang menarik perhatian Awang, maklumat sulit itu yang diserahkan sendiri oleh TMJ kepada Khairy, tidak menemukan elemen rasuah dan salah guna kuasa.
Jika benarlah begitu maka FAM dan sesiapa sahaja yang dibabitkan oleh TMJ, perlu dibersihkan nama mereka. Kelemahan dan salah guna kuasa adalah dua perkara yang berbeza. Setiap persatuan bola sepak sama ada di dalam mahupun luar negara  mempunyai kelemahan masing-masing sama ada kecil atau besar.
Sebelum ini reputasi FAM terjejas teruk dengan dakwaan TMJ tanpa persatuan itu dapat membela diri. Awang simpati dengan pengurusan FAM yang menghadapi beban dan tekanan berhubung isu tersebut. Dalam hal ini, sesiapa sahaja termasuk putera raja tidak terkecuali daripada prinsip keadilan dan bertanggungjawab atas apa yang dikata supaya tiada pihak serta individu menjadi mangsa. Jika rakyat biasa yang membuat dakwaan sebegitu yang kemudian terbukti tiada rasuah dalam FAM, tentu ia tidak boleh lepas tangan begitu sahaja. Paling tidak, memohon maaf sebagai mengambil tanggungjawab.   
Dalam kita semua mahukan pembaharuan dalam FAM bagi  melonjakkan pencapaian pasukan bola sepak kebangsaan di arena antarabangsa, janganlah sampai ia membawa mudarat lebih besar.
Apa pun, Awang boleh faham di sebalik kesungguhan TMJ untuk memberikan impak menerusi 'siri serangan kritikan' terhadap FAM meskipun adakalanya terlalu keras dan tersasar. Itu menuntut keberanian untuk bertindak di luar norma dengan andaian permasalahan bola sepak negara, sudah lama berlarutan dan  masih tiada formula penyelesaian. Walaupun pemacu pena itu hanya mengandungi laporan teknikal, Awang yakin FAM akan  mengambil perhatian serius bagi mengatasinya. Semua ini ada hikmah demi masa depan bola sepak Malaysia. Semoga kemelut pemacu pena ini dapat diselesaikan dengan baik dan diambil iktibar oleh semua yang berkenaan, termasuklah TMJ sendiri.

TAMPARAN AZMIN

Azmin Ali
Azmin Ali

Satu lagi isu sukan yang panas ialah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang presidennya disandang oleh Menteri Besar, Azmin Ali sejak dua tahun lalu.
Awang dapat tahu baru-baru ini majoriti exco FAS bertindak meninggalkan mesyuarat yang sedang dipengerusikan oleh Azmin.
Ini kerana mereka membantah sikap angkuh beliau dalam menerajui persatuan itu dan membelakangkan perlembagaan FAS serta exco dalam membuat keputusan besar.
Pertama kali dalam sejarah, Exco FAS bertindak sedemikian ke atas Presiden FAS yang kebiasaanya disandang Menteri Besar. Awang lihat ini satu lagi tamparan kepada Azmin selain memperlihatkan kegagalan beliau menerajui FAS.
Ini berbeza dengan presiden-presiden terdahulu termasuk bekas Menteri Besar, Khalid Ibrahim yang dilihat lebih efisien, mematuhi  perlembagaan dan menghormati barisan exco. Banyak lagi isu yang melingkari FAS masa kini seperti campur tangan keterlaluan, peranan tangan ghaib, isu penswastaan FAS yang tidak telus, pembaziran jutaan ringgit kerana memecat sesuka hati jurulatih belum tamat kontrak dan kegagalan mengadakan kongres dalam tempoh dua tahun.  
Mesyuarat exco pun hanya dua kali beliau hadir, kali pertama selepas dilantik Disember 2014 dan kali kedua, baru-baru ini, yang menyaksikan exco meninggalkan mesyuarat. Ini ekoran   kata dua beliau tidak mahu membiayai FAS jika exco enggan mengikut arahan beliau.
Memandangkan Selangor pasukan yang hebat, mempunyai ramai pemain berbakat dan saiz penyokong yang besar, adalah merugikan jika ia tidak ditadbir dengan harmoni. Awang mencadangkan dicari jalan keluar mengatasi kemelut tersebut antaranya melantik Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menjadi Presiden FAS. Baginda telah memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan yang boleh dimanfaatkan dalam persatuan sukan. Itu juga langkah terbaik bagi selamatkan FAS daripada dipolitikkan secara keterlaluan. Persoalannya bersediakah Azmin memberi laluan kepada Tengku Amir?

MESEJ RAKYAT
Di sebalik pelbagai usaha memburuk-burukkan kepimpinan negara, serangan politik dan ancaman militan Daesh, rakyat memberikan mesej yang jelas pada Hari Kebangsaan 2016, Rabu lalu.
Upacara sambutan peringkat pusat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dibanjiri 450,000 orang, tertinggi dalam sejarah penganjuran sejak 59 tahun lalu.
Ia turut menarik perhatian para diplomat asing yang teruja dengan respons positif orang ramai terhadap sambutan kali ini.
Sama ada di Dataran Merdeka mahupun di peringkat negeri-negeri, apa yang lebih ketara adalah semangat patriotisme yang jauh lebih menyerlah.
Awang percaya selain tarikan kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Rio 2016 dan perbarisan yang mencerminkan masyarakat majmuk serta progresif, ada dorongan lain yang membuatkan rakyat lebih mahu mempamerkan solidariti demi kedaulatan.
Antaranya rakyat memberikan mesej menolak tekanan dan campur tangan asing dalam hal ehwal dalam negara dan  mempertahankan kerajaan yang dipilih secara demokrasi sebagaimana dibuktikan rakyat Turki dalam mematahkan cubaan rampasan kuasa.
Seperkara lagi adalah bagi memastikan kestabilan dan keamanan, sekali gus menggagalkan usaha pihak yang mahu menangguk di air keruh. Awang bersyukur. Inilah simbol jiwa merdeka dan kematangan rakyat biarpun dilingkari pelbagai isu serta sentimen negatif yang sentiasa dibakar.
Tahniah buat rakyat Malaysia.

JODOH KHIR
Perkahwinan kedua bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo bersama seorang penjawat awam, Christine Zanitrah Abdullah baru-baru ini mengejutkan ramai. Viral dan heboh diperkatakan.
Pendirian Awang mudah. Kalau sudah jodoh, apa salahnya. Jodoh adalah ketentuan Allah SWT.  Lebih-lebih lagi Dr. Khir telah mendapat restu dan tidak menyembunyikannya. Setidak-tidaknya beliau ada keberanian untuk mengisytiharkannya kepada awam ketika ramai lagi termasuk orang kenamaan yang memilih untuk berahsia atas pelbagai alasan. Dalam pada itu apa yang Awang sedari rupa-rupanya Dr. Khir masih mempunyai ramai penyokong terutama di Selangor. Walaupun terpalit dengan kontroversi tertentu dan pernah dihukum penjara, ramai masih meletakkan keyakinan kepada beliau untuk bangkit kemudian hari. Entahlah, dalam politik segala-galanya berkemungkinan