Ini kerana drama televisyen terbitan RTM lebih menitikberatkan aspek mesej nilai-nilai murni dan kemanusiaan sejagat daripada nilai-nilai komersial. Selain itu, Unit Drama TV, RTM turut menggunakan kepakaran luar dalam banyak penerbitan drama televisyen membabitkan sewaan peralatan penggambaran, jurukamera, pengarah fotografi, jurulampu, juruaudio serta perkhidmatan penciptaan lagu tema dan muzik latar.

Dalam masa sama usaha-usaha juga sedang dilakukan untuk menambahkan penggunaan kepakaran luar yang lebih kerap pada masa akan datang bagi tujuan pendedahan kakitangan Unit Kamera, Unit Lampu, Unit Audio serta Unit Drama TV sendiri agar mereka menjadi lebih cekap, kreatif dan kompetitif dalam bidang penerbitan drama TV.

Untuk tahun 2017 pula, Unit Drama TV telah pun merancang untuk melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan kualiti drama televisyen terbitan RTM. Langkah ini dibuat dengan melaksanakan strategi mempelawa penulis skrip dan karyawan tempatan menawarkan idea serta skrip kepada Unit Drama TV dan pemilihan akan dibuat secara pitching.

Usaha ini telah pun dimulakan pada 29 November lalu melalui taklimat keperluan idea dan skrip rancangan Unit Drama TV, RTM bagi tahun 2017. Langkah ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penulis dan karyawan dalam industri penerbitan rancangan televisyen tempatan.

JABATAN PENYIARAN MALAYSIA

Kuala Lumpur