Keratan Akhbar

Utusan : Veteran Lumpuh Rayu Bantuan

Dikemaskini pada .

BENTONG, 5 Disember – Serangan strok sejak setahun lalu menyebabkan kehidupan seorang veteran tentera, Abdul Rahman Safri, 72, yang juga peneroka Felda Chemomoi di sini kini melihat dia terlantar dan terpaksa mengharapkan bantuan orang ramai.

Kehidupan Abdul Rahman menjadi semakin sukar kerana dia tidak dapat menguruskan diri sendiri selepas kematian isteri hingga memaksa anaknya, Z. Rasmizam, 39, yang bekerja sebagai juruhebah radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Seremban berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi menjaganya.

Menurut Rasmizam, dia membuat keputusan nekad untuk berhenti kerja bagi memberi perhatian sepenuhnya menguruskan bapanya yang terlantar sakit. Namun katanya, tanpa pekerjaan tetap dan hanya bekerja sendiri, beban sememangnya terasa dalam menyediakan ke­perluan harian bapanya.

“Tanpa bantuan pada masa ini, sememangnya agar sukar bagi saya yang hanya mengharapkan kepada elaun sara diri bapa sebagai peneroka Felda untuk menampung segala perbelanjaan. Pada masa ini saya terpaksa meminjam kerusi roda daripada hospital dan duit yang ada digunakan untuk keperluan asas terlebih dahulu seperti membeli lampin dan juga untuk kos rawatan.

“Meskipun bapa disarankan menggunakan susu khas tetapi kerana tidak mampu saya hanya memberikan bapa susu biasa pada masa ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chemomoi di sini hari ini.

Menurut Rasmizam, setakat ini bapanya tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak termasuklah daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat dan juga pihak Jabatan Veteran Angkatan Tentera.

“Saya pernah memohon bantuan JKM tetapi mereka menyatakan ayah saya tidak layak mendapat bantuan kerana dia adalah peneroka Felda,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi talian 014-5375978 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank milik Rasmizam bin Abdul Rahman, 2-00-6321-00095559-4.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Cetak