Keratan Akhbar

Utusan : Selamat Jalan Seniman Terunggul

Dikemaskini pada .

KUALA LUMPUR, 30 Disember 2016 - SUDAH tertulis di loh mahfuz bahawa Tan Sri SM Salim meninggal dunia pada pukul 5.45 petang semalam di sisi kaum keluarga terdekat pada usia 88 tahun.Seniman yang dianugerahkan gelaran Tan Sri pada 2001 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua.

Pemergian penyanyi lagu Melayu asli itu tidak hanya dirasai keluarga terdekat Allahyarham, bahkan segenap lapisan anak seni juga tidak henti-henti menyampaikan rakaman kesedihan sebaik sahaja mendengar khabar duka itu. Di laman sosial khususnya Facebook dan Twitter, rakaman ucapan takziah bertali arus dititipkan golongan artis yang mewakili pelbagai era serta pemimpin negara.SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros yang dilahirkan pada 30 Julai 1928 itu digambarkan oleh majoriti artis tanah air sebagai mentor dan guru seni Melayu yang tiada tolok bandingnya.

Beliau yang juga anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur itu merupakan seniman yang kekal memperjuangkan seni budaya bangsa setulen yang mungkin meskipun bertandang pelbagai budaya muzik yang baharu. Dengan pantas SM Salim akan memandu budaya baharu itu dengan memberikan irama yang setara contohnya apabila budaya rap menguasai industri muzik, beliau tidak ketinggalan berani menyahut cabaran yang sama.

Namun, sepanjang berjuang dalam seni apa yang perlu disedari ialah bekas kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 35 tahun itu mendewasakan sebilangan besar pencinta seni dengan teguran dan nasihat menerusi lagu nyanyiannya. Biarpun sudah kembali menemui pencipta, namun SM Salim telah meninggalkan industri muzik dengan legasi yang terlalu tinggi nilai seninya.

>Karya seni yang pernah dimasyhurkan Allahyarham seperti Tak Seindah Wajah, Pantun Budi dan Selamat Tinggal Bungaku akan tetap segar sepanjang musim yang berguling.Bagaimanapun, membicarakan soal karya seninya itu, Allahyarham SM Salim dalam satu temu bual dengan saya sekitar 15 tahun lalu pernah menitipkan pesanan yang saya sifatkan sebagai hal serius yang perlu diberi perhatian.

Kata legenda muzik Melayu itu, seandainya sampai masa beliau menutup usia, seniman itu tidak mahu lagunya dimainkan. “Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggal dunia. Bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan,” pesan SM Salim dalam artikel yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia pada tahun 2001 itu.

Temu bual itu akan menjadi tugasan istimewa kepada saya sebagai wartawan dan akan kekal berada di kotak fikiran kerana saya terlalu yakin ketika menyuarakan amanat itu, SM Salim sudah melakukan pelbagai pertimbangan.

Kini, tiada lagi gurau senda dan nasihat yang boleh kita dengar daripada veteran muzik Melayu itu. Terputus sudah hubungannya dengan dunia.

Selamat jalan wahai seniman terbilang. Terima kasih atas ilmu, pengalaman dan karya seni yang pernah dikongsi dengan kami. Kepada Allah SWT dipanjatkan doa agar segala khilafmu dimaafkan dan merahmati kehidupan kamu di negeri paling abadi. Al-Fatihah.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Cetak