Keratan Akhbar

Utusan : Bawa Muzik ke Peringkat Profesional

Dikemaskini pada .

KUALA LUMPUR, 7 Januari - Mempertaruhkan kemampuan vokal yang mantap, penyanyi baharu, Rosario Ninih Chamini Bianis, 22, disebut-sebut sebagai pelapis yang bakal meneruskan legasi barisan penyanyi wanita hebat dalam negara. Mana tidaknya, kebolehan anak muda berasal dari Sabah ini mendendangkan lagu bernada tinggi memukau ramai khalayak.

Namanya mula mekar setelah merangkul kejuaraan Bintang RTM tahun lalu. Bukan lagi bergelar penyanyi amatur, Rosario kini mengatur langkah membawa perjuangan muziknya ke peringkat profesional.

"Masing-masing ada kelebihan. Saya akan cuba berikan yang terbaik mengikut kemampuan dan mempersembahkan kebolehan sendiri kepada umum," katanya yang menjadikan penyanyi antarabangsa, Celine Dion sebagai idola. Apa yang pasti, penglibatan dalam industri sebenar bukan perkara mudah. Ditanya apa strategi persaingan dengan lambakan penyanyi baharu, Rosario memberikan jawapan ringkas dan mudah.

Tahun ini, Rosario bakal tampil dengan single sulung berjudul Semua Dah Terjadi. Disusun dan ditulis komposer terkenal, Ajai, lagu ini dijangka popular dan menjadi pilihan untuk diputar di radio.

"Lagu ini belum siap sepenuhnya. Namun dijangka menemui pendengar tidak lama lagi. Saya letak keyakinan lagu ini akan hits sejurus diterbitkan nanti. Sebagai penyanyi, saya akan mempromosikannya dan berharap pendengar dapat menerima dengan baik,"ujarnya.

Dilahirkan dalam keluarga berdarah seni, anak pertama daripada lima beradik ini bukan nama biasa di negeri kelahirannya. Cukup dikenali, Rosario antara nama yang sentiasa menjadi pilihan membuat persembahan di majlis atau acara besar di Negeri Di Bawah Bayu.

"Saya seorang yang aktif menyanyi. Saya tidak akan lepaskan peluang untuk sertai apa sahaja pertandingan yang dianjurkan. Mungkin disebabkan itu, saya dikenali dalam kalangan penduduk di Sabah. Sekarang, saya berulang alik dari Sabah ke KL (Kuala Lumpur). Namun, tidak lama lagi saya akan menetap di KL untuk mengembangkan kerjaya sebagai penyanyi," jelasnya.

Menjadi anak seni bukan mudah. Tambahan lagi, industri hiburan merupakan satu lapangan yang ada turun naiknya. Namun, Rosario akui cukup bersedia berdepan cabaran dan berjanji pada diri sendiri untuk tidak mudah mengalah.

"Ya, saya bersedia. Ramai memberi dorongan serta nasihat agar saya teruskan cita-cita menjadi penyanyi. Itu pembakar semangat.

"Saya sedia tahu, industri muzik ada cabarannya. Saya sedia belajar, ambil yang positif dan buang pengaruh negatif," tambahnya.

 

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Cetak