Yang pasti setiap pertemuan akan terisi dan sikap terbuka untuk sama-sama berkongsi apa jua cerita ‘menghidupkan’ suasana. Hampir 16 tahun bergelar wartawan penyiaran, nama Rosli Mohd. Nordin bukan asing apatah lagi dia sering diberi tugasan berkaitan isu-isu ‘panas’.

Gembira dan teruja dengan kerjayanya hari ini, Rosli asalnya tidak pernah termimpi untuk terjun dalam dunia kewartawanan.Memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada penghujung 2001, kini dia boleh berbangga dengan pencapaian sebagai penerbit rancangan di stesen sama.

Ini memandangkan jurusan yang diambil ketika menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) ialah Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial, pengkhususan penerbitan buku dan pengiklanan serta seni persembahan.

Begitupun, anak kelahiran Kampung Gajah, Perak, ini berbangga kerana kerjaya tersebut telah menjadikan dirinya seorang serba boleh dan berpengetahuan luas.

“Tidak dinafikan, bidang kewartawanan baik elektronik mahupun cetak mempunyai kesukaran dan cabaran masing-masing. Bagaimanapun, semua itu boleh diatasi dengan perancangan teliti, selain kerjasama padu daripada rakan-rakan setugas.

“Yang pasti, persiapan dan persediaan diri itu perlu agar kita tahu apa yang hendak dilakukan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai kerjayanya itu, Rosli berkata dia perlu mempersiapkan diri setiap hari selain perlu bersedia untuk dihantar bertugas luar daerah pada bila-bila masa.

Setakat ini, dia telah ditugaskan hampir ke 40 negara termasuk Jepun, Pakistan, Filipina, Korea, Indonesia, Dubai, dan Amerika Syarikat. Sepanjang bergelar wartawan penyiaran, anak ketujuh daripada sembilan beradik ini telah memenangi pelbagai anugerah, sebagai bukti bahawa apa yang dilakukan adalah sesuai dengan jiwanya.

Walaupun masanya terisi dengan pelbagai tugasan, Rosli bijak membahagikan masa apabila masih sempat menjadi pengacara majlis apabila khidmatnya diperlukan.

“Itu adalah sebahagian daripada minat saya, selain menjadi model sambilan dan pelakon iklan komersial. Sementara usia masih muda, tidak salah kalau merebut apa juga peluang ada asalkan bijak menguruskannya,” kata Rosli.

Bukan setakat itu, jejaka berusia 39 tahun ini juga pernah menghasilkan buku bergambar (coffee table), seperti Catatan Sebuah Perjalanan (2007), Merentas Zaman (RTM-2010), dan Gemilang 50 Tahun Orkestra RTM (2011).

Ternyata pencapaiannya hari ini adalah berkat usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa, malah dia bersyukur kerana pengorbanannya selama ini berbaloi.

“Insya-Allah sekiranya diberikan peluang saya ingin menerbitkan buku dalam bidang penyiaran pula. Saya ingin memberi kembali apa yang telah saya peroleh selama ini agar dapat dimanfaatkan orang lain,” katanya yang turut bercita-cita mengusahakan perniagaan restoran suatu hari nanti.

 

 

Sumber : http://www.utusan.com.my