Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, jalinan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi ini akan diperkukuhkan dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara agensi berita kedua-dua negara iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Saudi Press Agensi (SPA) hari ini.

“Kita setuju untuk melihat semula MoU tersebut kerana banyak perkembangan telah berlaku dan fokus kedua-dua negara kini adalah untuk melihat perkara yang boleh bekerjasama,” kata­nya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mene­rima kunjungan Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr. Adel Zaid Al Toraifi hari ini di pejabatnya, di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

MoU pada 1982 yang dimeterai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (kini Tan Sri) dan rakan sejawatannya Dr. Sheikh Mohammed Abdu Yamani, antara lain melibatkan pertukaran berita, filem, rancangan televisyen dan radio serta pertukaran pegawai dan wartawan radio dan tele­visyen.

Selain pertukaran berita antara Bernama dan SPA, Salleh berkata, kerjasama lain yang dipersetujui akan melibatkan pertukaran dokumentari antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen TV Arab Saudi.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my