Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Keratan Akhbar

Utusan : Turun Padang Beri Kesan Positif

Dikemaskini pada .

KAMPAR, 8 Mac - Lebih 10,000 pengunjung khususnya penduduk sekitar kawasan Tualang Sekah dan Malim Nawar dekat sini hadir memeriahkan Program Negaraku, Jom Singgah-Sehati@Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Tualang Sekah Fest di Arena Rakyat, Malim Nawar dekat sini baru-baru ini.

Pogram selama dua hari bermula Jumaat lalu tersebut telah dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri. Dr. Zambry Abd. Kadir. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Ke­senian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Datuk Mustafa Kamal Abdul Razak dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Khairul Amir Mohd. Zubir.

Disebalik kemeriahan dengan pelbagai acara yang dirancang, program berkenaan turut memberi kegembiraan kepada 10 penduduk kurang berkemampuan di Kampung Seri Malim dekat sini apabila rumah mereka yang uzur dan usang dibaik pulih.

Meskipun bagi sesetengah orang, bantuan berkenaan amat kecil nilainya, namun tidak bagi seorang pembantu kedai makan, Salbiah Ngah Saari, 60, dan suaminya, bekas pemandu bas, Ahmad Razali Taharin, 72.

Salbiah berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan negeri itu dalam membantu membina semula bahagian dapur dan tandas rumahnya yang uzur sejak lebih lima tahun lalu. Ini kerana, kata Salbiah, setiap kali hujan, pasti dapur dan tandas rumahnya dimasuki air akibat dindingnya bocor.

“Setiap kali hujan, kami berdua amat resah dan risau memikirkan keadaan dapur serta tandas yang bocor. Apatah lagi pada waktu malam, tidur pun tidak lena.

“Sebelum ini saya menampal beberapa kali dengan menggunakan papan atau kayu yang saya kutip di tong sampah, namun ia tidak bertahan lama dan bocor kembali. Nak baiki sendiri kami tidak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Zambry turut meluangkan masa hampir 20 minit membantu kerja-kerja membaik pulih yang sedang dijalankan di rumah Salbiah. Menurut Salbiah, keadaan bertambah rumit apabila sejak setahun lalu, Ahmad Razali tidak lagi mampu berjalan secara normal disebabkan pernah terkena strok.

“Syukur, selain membaiki dinding dapur yang bocor, tandas baharu juga dibina di bahagian bawah menggantikan tandas lama yang terletak di tingkat atas.

“Ini secara tidak langsung memudahkan saya untuk menguruskan suami. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu,” katanya.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya ketika merasmikan program berkenaan mengharapkan inisiatif turun padang yang diamalkan kerajaan negeri itu dapat memberi kesan yang positif kepada rakyat.

Beliau berkata, lawatan turun padang mendekati rakyat melalui Program Negaraku, Jom Singgah-Sehati@Radio Te­levisyen Malaysia (RTM) dan Tualang Sekah Fest di Arena Rakyat Tualang Sekah itu merupakan agenda dirancang kerajaan negeri bagi memboleh­kan rakyat mengetahui pelbagai perancangan untuk memajukan negeri ini.

“Alhamdulilah, kita (kerajaan negeri) merancang pelbagai pembangunan di setiap kawasan. Kita buat perancangan, umumkan dan lancarkan. Buat sikit-sikit kerana itu cara yang betul.

“Kampar sendiri mempunyai pelbagai produk pelancongan dan kita sedang berusaha melaksanakan pelbagai acara khusus untuk membawa seberapa ramai pelancong ke sini,” katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, selain aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membaiki 10 rumah di Kampung Seri Malim tersebut, pelbagai acara lain turut diadakan antaranya jualan bazar tempatan, food truck, bengkel robo­tik, jualan but kereta dan beberapa pertandingan yang melibatkan penduduk setempat.

Menurutnya, melalui acara itu, kerajaan negeri juga melancarkan Kampung Karyawan sebagai salah satu ikon pelancongan daerah Kampar sempena Tahun Melawat Perak 2017.

“Hari pertama program di­mulakan dengan Program Rau­dhah iaitu sesi ceramah daripada penceramah bebas, Haslin Baharim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haslin Bollywood pada pukul 9 malam dan seramai 3,000 penduduk sekitar telah hadir.

“Selain itu, pengunjung berpeluang berkunjung ke pelbagai gerai pameran seperti Agro Tani, Jom Singgah dan Kreatif Inovasi sebelum diakhiri dengan Konsert X-Presi Nasional FM dengan menampilkan barisan artis tempatan seperti Hail Amir, Nassier Wahab, Zur Eda, Suffian Suhaimi dan Naj­wa Latif.

“Diharapkan program yang diatur ini secara tidak langsung mempromosikan lagi kawasan sekitar Kampar sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rashidah Mamat, 36, berkata, program tersebut secara tidak langsung menjadikan kawasan tersebut tumpuan masyarakat.

“Hanya beberapa kilometer dari sini ada Gua Tempurung, begitu juga Pekan Undang Galah di Tanjung Tualang. Ini semua me­rupakan destinasi menarik untuk pelancong.

“Secara tidak langsung, program ini dapat mempromosikan lagi kawasan ini kepada masyarakat luar,” katanya.

Norshahida Mohamad, 32, pula berkata, program tersebut juga membantu perkembangan perniagaan tudung yang diceburinya sejak tiga bulan lalu.

“Ini kali pertama saya menyer­tai program sebegini. Alhamdulilah, sambutan sangat me­ng­galakkan,” katanya.

Ismail Ariffin, 20, dari Pekan Kampar berkata, lebih banyak program perlu dirancang di kawasan itu khususnya pada hujung minggu.

“Jarang-jarang program besar macam ini dijalankan di sini. Sebenarnya ia amat baik terutama mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk pelbagai kaum,” katanya.

 

 

sumber : http://www.utusan.com.my

 

Cetak Emel

offcanvas