Keratan Akhbar

Utusan : Rakaman Program Hari Raya Meriah

Dikemaskini pada .

KOTA TINGGI, 23 Mei - Meriah. Itu gambaran di pekarangan Wetlands Resort Kampung Belukar Durian, Sedili Kecil dekat sini yang dipenuhi orang ramai pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Mereka berpakaian segak de­ngan baju Melayu dan baju kurung menyaksikan rakaman program Mesra Aidilfitri Parlimen Kota Tinggi yang dikendalikan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) untuk slot Selamat Pagi Malaysia@Cuti-Cuti Raya.

Suasana gamat dengan gelagat penduduk setempat itu adalah untuk program berkenaan yang bakal ditayangkan di TV1 pada hari raya puasa ketiga nanti.

Menampilkan pengacara Reydwin Robin dan Suhaimi Moha­med diserikan dengan kehadiran artis popular tempatan seperti Noranizah Idris dan Saiful Apek serta pencipta lagu Farhana di Bumi Kenyalang iaitu Raden Rd. Razif.

Meskipun rakaman berkonsepkan rumah terbuka hanya berlangsung selama tiga jam, hadirin yang terdiri daripada penduduk kampung sekitar memberikan ker­jasama sepenuhnya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid berkata, rakaman program hari raya itu bertujuan merapatkan silaturahim selain memberi peluang mempromosikan produk industri kecil sederhana (IKS) dan pelancongan di kawasan itu.

“Saya amat terharu dengan sam­butan serta semangat goto­ng-royong yang ditunjukkan ma­syarakat kampung sepanjang program ini berlangsung.

“Inilah petunjuk masyarakat kita sentiasa bersatu dan ini yang hendak kita tunjukkan pada anak cucu kita bahawa budaya pada hari raya puasa yang murni mesti diperkukuhkan,” katanya.

Terdahulu rakaman dilakukan di pusat kraftangan, pusat ternakan belangkas di Sedili Kecil dan kawasan rekreasi sukan Extreme ATV Park di Felda Air Tawar 2 di sini.

 

 

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Cetak