Keratan Akhbar

Utusan : Bergabung Demi #QuranHour

Dikemaskini pada .

BERGABUNG bagi menjayakan sesuatu program adalah perkara yang jarang berlaku dalam kalangan pengamal industri media di Malaysia. Namun, penganjuran majlis bacaan al-Quran secara serentak seluruh negara, #Quranhour pada 19 Jun bagi Malaysia#Quranhour dan World#Quranhour, 31 Ogos ini menyaksikan hampir semua agensi media arus perdana negara menyatakan sokongan penuh terhadap usaha murni itu.

Ternyata, walaupun membawakan agenda tersendiri, namun bukan alasan bagi pengamal media sama ada cetak atau elektronik untuk tidak bersatu atas nama Islam. Antara yang terlibat adalah Kumpulan Utusan, Media Prima, Astro, Karangkraf, The New Straits Times Press, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Program yang memasuki tahun ketiga anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) itu bertujuan menggalakkan umat Islam di negara ini untuk mempelajari, memahami seterusnya mengamalkan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran.

Menurut pengasas Yayasan WUI,Datuk Hussamuddin Yaacub, beliau yakin menerusi sokongan padu semua agensi media itu mampu membentuk gelombang bagi menjayakan program satu jam bersama al-Quran tersebut dengan lebih meluas.

“Jika kita lihat hari ini, ramai dalam kalangan orang Islam tidak faham Islam itu sendiri. Inilah punca berlakunya pelbagai gejala sosial, keruntuhan akidah dan sebagainya. Oleh itu, inilah tujuan kita menggerakkan #Quranhour bagi membudayakan al-Quran kepada umat Islam dan menyelamatkan ummah.

“Kita akui, tidak mampu untuk menggerakkan misi ini seorang diri, oleh itu saya sangat berbesar hati dengan penglibatan dan sokongan yang diberikan oleh semua agensi media.

“Setiap media mempunyai kekuatan masing-masing dan apabila semua bergabung kita yakin mampu membentuk gelombang luar biasa bagi menggalakkan umat Islam mendekati dan memahami al-Quran” katanya pada majlis taklimat dan pemeteraian persepakatan media utama tempatan sempena penganjuran program #Quranhour.

Pada majlis itu, Utusan Malaysia diwakili Pengarangnya, Datuk Zulkifli Hamzah dan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan, Ainol Amriz Ismail. Yang turut hadir, pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang; Ketua Pengarang Kumpulan Astro Awani, Suhaimi Sulaiman; Pengarang Berita Kanan II Kosmo!, Samsor Junet dan Ketua Pegawai Eksekutif #Quranhour, Marhaini Yusoff.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, dalam menjayakan usaha tersebut, pihaknya telah membuka lebih 1,400 Rumah Ngaji sebagai pusat pengajian al-Quran percuma bagi meningkatkan cinta dan melahirkan masyarakat celik al-Quran.

“Malaysia#Quranhour atau sebelum ini dikenali dengan #MalaysiaNgaji turut diikuti di #IndonesiaNgaji dan #MakkahNgaji pada tahun lalu. Sasarannya adalah semua rakyat Malaysia sama ada dalam atau luar negara. Alhamdulillah pada tahun kedua pelaksanaannya telah tular sebanyak 27 juta reaksi positif di media sosial.

“Manakala, bagi World#Quranhour pula menjadi wadah kempen untuk umat Islam seluruh dunia merefleksi diri tentang hubungan dengan al-Quran seterusnya mengatur langkah untuk berubah mengikut akhlak al-Quran dan menjadi Muslim sejati,” ujarnya.

 

Sumber : http://www.utusan.com.my

Cetak