Dalam dingin gerimis di awal pagi 25 Ramadan, Bahyah Mahmod atau lebih akrab dengan panggilan Bam dalam kalangan anak seni dan wartawan hiburan pergi menyahut panggilan Ilahi selepas bertarung dengan barah hempedu.

Bam pergi dengan mudah di katil wad Institut Kanser Negara, Putrajaya iaitu di pusat rawatan yang sama suami tercinta, Ahmad Idris atau Abi menghembuskan nafas terakhir pada Februari tahun lalu.

Pemergian Bam sekali gus membawa kesetiaan dan kecintaan yang mendalam beliau terhadap dunia penulisan. Yang ditinggalkan Bam kepada kita adalah nama dan sumba­ngannya sepanjang lebih tiga de­kad sebagai perakam sejarah industri hiburan.

 

Sejujurnya, tidak terjangkau kemampuan untuk mengukur betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh Bam dalam ge­langgang kewartawanan hiburan tanah air sekitar tahun 70-an hingga 90-an.

Selama tempoh itu, beliau bukan hanya sekadar menjadi pelapor, namun lebih daripada itu, Bam merupakan sahabat paling akrab kepada penggiat-penggiat seni tersohor seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Rafeah Buang, Uji Rashid dan ramai lagi.

Bukan sedikit rahsia artis-artis Malaysia yang digenggamnya tanpa pernah dilaporkannya atau dikongsi dengan rakan-rakan wartawan lain sehinggakan ketika Allahyarham Sudirman terlantar sakit, Bam dan suaminya menjadi orang yang diberi kebenaran oleh keluarga penghibur itu untuk datang menziarah.

Kepercayaan yang diperoleh daripada waris Sudirman dipegang erat sehinggakan hampir setahun lamanya Bam dan Abi sering keluar masuk kediaman Sudirman di Bangsar, Kuala Lumpur tanpa dihidu oleh mana-mana rakan wartawan mahupun pengurusan Utusan Melayu (syarikat pasangan suami isteri itu berkarya).

Bam mengunci mulut untuk berkongsi penderitaan yang dilalui oleh Sudirman. Allahyarham Bam membawa kebenaran dan kesahihan penderitaan yang ditanggung ‘adik kesayangannya’ itu sehingga ke liang lahad.

Sebetulnya, tiada sebab untuk kita menyalahkan Bam hanya kerana tidak membuat laporan mengenai kesakitan yang ditanggung Allahyarham Sudirman kerana beliau memiliki nilai-nilai persahabatan yang harganya lebih jauh daripada menulis sepotong berita semata-mata kerana mahu mengejar jualan akhbar.

Bam ialah seorang ikon ke­wartawanan hiburan yang tiada galang gantinya. Jangan sekali mengaku anda artis atau wartawan hiburan kalau tidak mengenali susuk tubuh bernama Bam.

Justeru, tidak hairan kenapa sepanjang bergelar wartawan, Bam sangat dihormati dan di­segani. Keperibadian yang menawan serta integriti yang tinggi menjadikan Bam wartawan terbilang dan disayangi ramai.

Harus diakui, Bam menjadi sumber inspirasi kepada sebilangan besar wartawan hiburan tanah air termasuk penulis yang sejak dari zaman remaja lagi membesar dengan tulisan-tulisan beliau.

Tulisan beliau dalam ruangan Syhhhh BAM di akhbar sisipan Pancaindera Mingguan Malaysia sekitar tahun 80-an hingga 90-an telah memasyhurkan namanya di dalam direktori industri kewartawanan tanah air.

Lalu, apabila kesempatan me­ngenali dan bersahabat dengan beliau menyebabkan kekaguman dan rasa hormat pada beliau semakin menggunung.

“Jangan berhenti menulis... ja­dilah wartawan yang dihormati dan disegani,” pesanan itu pula sering dititipkan buat kepada penulis.

Seperti seorang ibu menasihati anaknya, di bibir Bam tidak pernah tidak mengeluarkan ka­ta-kata yang manis dan enak untuk didengar.

Ketika menziarahi beliau enam hari yang lalu, Allahyarham ma­sih rancak bertanya penulis mengenai kehidupan sebagai wartawan.

Sambil tangan penulis erat digenggamnya, beliau menitipkan pesanan: “Jaga kerja elok-elok tau. Biar orang suka dan hormat pada kita. Kak Bam suka tengok Saharudin kerja lama di Utusan.”

Rupanya nasihat dan peringatan itu merupakan perbualan ter­akhir antara penulis dengan beliau.

Pemergiannya bukan hanya memberi kesan kepada wartawan-wartawan hiburan tetapi juga kepada anak-anak seni yang pernah mengenalinya.

Bagi pelakon tersohor, Sofia Jane, Allahyarham Bam bukan sekadar wartawan yang melaporkan perihal industri hiburan,

Sebaliknya, Bam di mata Sofia merupakan wartawan yang sentiasa menghormati kerjaya serta orang-orang di sekelilingnya.

Masih terbayang di ruang fi­kiran Sofia ketika menyertai bidang seni pada usia 18 tahun, Allahyarham Bam dan Allahyarham Abi tidak lolek berkongsi pandangan dan nasihat.

“Saya hanya berusia 18 tahun semasa mula-mula menjadi artis, terlalu muda dan sangat takut ketika itu. Namun, pertemuan dengan Kak Bam dan Abang Abi mengubah persepsi dan kebimbangan saya mengenai bidang seni.

“Arwah Kak Bam membuatkan saya berasa sangat selesa dan mencintai seni yang mana itu bukannya tugas lazim seorang wartawan. Tetapi, sikap itulah menjadi Kak Bam seorang yang sangat istimewa di mata saya,” kata Sofia mengenang tokoh wartawan yang disegani ramai itu.

Kerjaya Bam dalam bidang penulisan bermula di Singapura pada 1965 sebelum beliau berpindah ke Kuala Lumpur dua tahun kemudian.

Selain bertugas sebagai wartawan, Bam juga pernah aktif berlakon dalam filem Sri Andalas dan Sri Mersing selain menulis skrip untuk program-program hiburan RTM serta menulis lirik lagu se­perti Gelombang nyanyian Salamiah Hassan.

Tugas terakhir disandang Allahyarham Bam ialah sebagai Pengarang majalah hiburan popular, URTV sebelum bersara pada 1996.

Usai Zuhur semalam, Bam dihantar oleh kaum keluarga dan sahabat handai ke tempat berehat paling abadi. Seperti orang lain, penulis sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa sedih melihat perjalanan terakhir seorang penulis tersohor dan legenda dalam gelanggang kewartawanan hiburan.

Selamat berpisah duhai Kak Bam. Kamulah seorang ibu, kakak, guru dan sahabat sejati. Pemergianmu ke alam barzakh kami iringi dengan doa dan ingatan yang mendalam.

Terima kasih di atas ilmu dan kasih sayang yang dikongsi bersama kami selama ini. Tenang dan damailah kamu di sana.

Al-Fatihah...