Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kawasan tersebut pernah dicada­ngkan untuk pembinaan lapangan terbang sebelum ini tetapi dihentikan kerana terdapat cadangan pembangunan lain. Beliau yang enggan mendedahkan lokasi sebenar pembinaan lapangan terbang baharu itu berkata, ia dipilih kerana merupakan sebuah kawasan pertumbuhan di samping bentuk muka buminya yang sesuai.

“Kerajaan negeri sedang membuat perincian mengenai cadangan ini dan berharap tempat yang akan dipilih ini mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Selamat Pagi Perak Bersama Dr. Zambry di RTM Pe­rak, di sini hari ini.

 

Menurutnya, beberapa siri per­bincangan awal telah diadakan dengan Kerajaan Persekutuan me­ngenai cadangan tersebut.

Katanya, kerajaan negeri perlu melakukan beberapa penelitian termasuk dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pe­nerbangan Awam (DCA).

Beliau berkata, berdasarkan persekitaran dan keadaan muka bumi kawasan yang dicadangkan, ia tidak memberi masalah besar kepada tempat tersebut.

“Kawasan yang dicadangkan ini tidak terlalu dekat dengan lapangan terbang lain yang sibuk seperti di Pulau Pinang,” katanya.

Zambry berkata, pembinaan lapangan terbang itu akan dilaksanakan sama ada secara terus oleh Kerajaan Persekutuan atau kerjasama dengan pihak swasta.

“Cadangan lapangan terbang baharu ini bukan sahaja untuk sektor pelancongan tetapi juga untuk industri lain seperti baik pulih pesawat,” katanya.

Pada tahun 2011, kerajaan negeri memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan lapangan terbang baharu di Lembah Bariah, Bagan Serai tetapi dikatakan tidak sesuai kerana kedudukannya yang dekat dengan lapangan terbang Pulau Pinang.

Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak 2014 pula, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon membe­ritahu, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan membina sebuah lapangan terbang di Seri Iskandar di daerah Perak Tengah.