Pada waktu yang sama, ada seorang lagi penyanyi baharu yang mendendangkan lagu dengan judul yang sama iaitu, Salimey Abu Bakar.

Jelas Salimey, persamaan judul lagu dendangannya dengan nyanyian Shaa yang kedua-duanya berentak balada, bukan masalah kerana semua itu berlaku secara kebetulan.

“Kawan-kawan banyak juga bertanya, kata mereka bila cari lagu Pertama Kali dendangan saya di YouTube akan keluar lagu dendangan penyanyi wanita. Terpaksalah pula saya beritahu mereka, taip nama saya dulu, barulah keluar lagu dendangan saya.

 

“Saya tak rasa tercabar atau apa kerana semua itu berlaku secara kebetulan. Lagipun setiap daripada kita ada rezeki masing-masing. Mungkin awal-awal ini orang keliru sikit, tunggulah lama sikit nanti orang tahu juga yang saya adalah penyanyi untuk lagu Pertama Kali,” katanya.

Menariknya lagu Pertama Kali dendangan Salimey, ciptaan Lieynur Liey dan Fauzi Aisunam itu bakal menjadi lagu latar untuk empat buah drama, antaranya, Hola Hermosa, sebanyak 26 episod yang dijangka disiarkan di saluran RTM.

“Sesungguhnya saya sangat bersyukur kerana sebagai orang baharu, lagu sulung saya dipilih untuk menjadi lagu latar beberapa buah drama, antaranya, Air Mata Di Bumi Matador, Seharum Mawar dan Surat Panjang Untuk Mak yang disiarkan pada bulan puasa lepas.

“Semoga peluang yang saya peroleh itu dapat membantu saya untuk memantapkan nama dalam bidang seni. Bagi orang lain mungkin mereka tidak ada halangan kerana bergelar penyanyi pada usia muda, sedangkan saya bila sudah mencecah 40 tahun baru ada kesempatan,” katanya tanpa berselindung.

Meskipun minat peminat kadang-kadang kepada artis yang muda dan ada rupa, bagi saya itu semua bonus kerana saya percaya sesiapa sahaja yang tampil dengan lagu ‘sedap’ dia juga boleh maju.

“Sebenarnya saya sendiri tak sangka dalam usia sekarang boleh ditawar untuk menjadi penyanyi kerana saya bukanlah orang baharu dalam bidang ini. Saya sering bergaul dengan artis kerana saya sebelum ini pernah menjadi jurufoto dan wartawan untuk majalah hiburan.

“Selepas 13 tahun saya tinggalkan bidang tersebut, tiba-tiba saja pada tahun lalu, Fauzi bagi tahu dia ada lagu tapi tak ada penyanyi. Saya pun cuba dan dia kata suara saya sesuai dengan lagu itu. Siapa yang nak tolak tawaran begitu,” katanya.

Jelas Salimey, dia mengenali Fauzi kerana pernah jadi pegawai perhubungan awam untuk syarikat Zanzibar dan Fauzi pula anggota kumpulan FGI ketika itu.

“Biarpun kami mengenali antara satu sama lain, tapi saya tetap uji suara. Begitu juga apabila lagu itu saya bagi kepada pihak radio THR dan tak sangka lagu itu disiarkan. Saya memang ada kawan di sana tapi kata kawan tu, lagu itu disiarkan selepas beberapa tapisan bukan kerana kami mengenali antara satu sama lain.

“Sebab itu saya percaya, kalau kita tampil dengan produk yang bagus, orang pasti membantu. Saya tak mahu memikirkan siapa saingan saya kerana setiap orang ada rezeki masing-masing. Bagi saya untuk berjaya, saya perlu bekerja keras,” akuinya. - UTUSAN ONLINE