Sama ada memang hati terpaut ketika di set penggambaran sementelah sepanjang masa bergandingan atau cerita cinta sekadar mengindahkan kisah-kisah di lokasi, tidak kurang juga memancing peminat untuk menaikkan rating sesebuah karya hingga tercetusnya fenomena kisah cinta di luar kamera.

Begitu juga yang dialami pelakon Hafreez Adam dan Afifah Nasir selepas bergandingan di dalam drama bersiri Pengantinku Jatuh Dari Langit.

Meskipun drama tersebut sudah pun melabuhkan tirainya di saluran Hypptv, nama mereka masih menjadi sebutan malah tak kurang juga ada yang mengaitkan mereka sedang menjalinkan hubungan cinta.

 

Menjelaskan persoalan yang hangat bertebaran di laman sesawang, Hafreez, 27, menafikan gosip terbabit malah mengakui baik dirinya mahupun Afifah yang juga adik kepada aktres Anzalna itu, masing-masing sudah mempunyai teman.

“Saya sudah ada teman wanita. Begitu juga Afifah yang sudah ada teman lelaki. Tidak timbul cerita tentang kami bercinta sedangkan masing-masing sudah ada komitmen dengan pasangan,” jelas Hafrezz.

Menurut aktor tersebut, drama Pengantinku Jatuh Dari Langit merupakan kolaborasi pertamanya dengan Afifah dan apabila setiap hari bertemu di lokasi penggambaran membuatkan mereka mudah mesra.

“Jadual penggambaran agak lama memandangkan drama 30 episod. Jadi memang setiap hari kami berada di set kerana ada babak kami. Mungkin sebab itulah kami rapat,” ujarnya.

Tambah jejaka bertubuh tinggi lampai itu lagi, dia juga akui selesa bekerja dengan Afifah yang mudah memberikan kerjasama dan mempunyai komitmen kerja yang tinggi.

“Dia tak banyak kerenah jadi memang selesa bekerja dengannya. Dia juga senang memberikan kerjasama,” kata Hafreez.

Tidak mahu dedah identiti kekasih 

Hubungan rapat selepas tamat penggambaran drama Pengantinku Jatuh Dari Langit, membuatkan Hafreez dan Afifah selesa untuk terus bekerjasama dalam beberapa projek lakonan.

“Setakat ini ada empat drama lakonan kami yang sudah selesai penggambaran.

“Yang penting persahabatan kami tidak menjejaskan hubungan dengan kekasih masing-masing,” tutur Hafreez.

Malah tanpa berselindung, dia memberitahu turut mengenali kekasih Afifah dan mereka pernah keluar bersama-sama.

“Senang cerita saya kenal teman lelaki Afifah dan Afifah juga kenal teman wanita saya. Kami pernah juga keluar lepak bersama-sama kalau tak terikat dengan jadual penggambaran,” ujarnya.

Hafreez pula ketika diusik dengan soalan apakah kekasih hatinya daripada kalangan selebriti, dia pantas menidakkannya.

“Dia bukanlah orang dalam industri seni. Kami sudah jalinkan hubungan sejak setahun lalu. Ya, memang ada rancangan untuk ke fasa lebih serius (kahwin) tapi biarlah perkara itu berlaku secara perlahan-lahan.

“Saya memilih untuk tidak mendedahkan siapa teman wanita saya sebab dulu pernah (saya) bawa bekas kekasih ke majlis hiburan tetapi hubungan itu terputus. Kalau boleh saya nak kongsikan kepada umum bila sudah ada tarikh untuk kahwin,” katanya memberikan penjelasan.

Mengulas mengenai perkembangan seninya pula, drama lakonannya iaitu Chor & Chah akan mula ditayangkan di laman YouTube rasmi Chor & Chah pada 1 Ogos ini pada pukul 12 tengah hari.

Drama mini bersiri terbitan Suhan Movies itu akan bersiaran sebanyak tiga kali seminggu pada Selasa, Rabu dan Khamis.

“Selain itu saya baru sahaja habis penggambaran telemovie Cinta Cheese Kek Leleh untuk siaran RTM dan drama Gantung dengan pelakon Randy Pagalila di Astro.

“Chor & Chah juga sedang dalam penggambaran untuk siri kedua dan dijangka akan ditayangkan Oktober depan,” katanya.