Marilah kita menanamkan niat yang tulus ikhlas mencari keredaan Allah SWT dalam menunaikan ibadah haji ini. Ambil peluang keemasan ini dengan membuat yang terbaik dan menumpukan kepada kesempurnaan ibadah.

Diharapkan bakal haji telah membuat persediaan secukupnya dari aspek ilmu, mental, spiritual dan fizikal supaya dapat menyempurnakan ibadah dengan lengkap serta berada di sana nanti dalam keadaan sihat, selesa dan selamat.

Sebelum berangkat, jemaah haji seharusnya telah mempelajari ilmu-ilmu ibadah haji semasa menghadiri kursus-kursus haji anjuran Tabung Haji seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji, Kursus Khas Haji dan Kursus Perdana Haji. Kursus-kursus yang diadakan bertujuan untuk memberi suatu gambaran jelas tentang bagaimana cara untuk melakukan ibadat haji seperti diajarkan oleh Rasulullah SAW.

 

Fahamilah hukum-hakam dengan betul dengan merujuk kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) yang bertauliah semasa di tanah air dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) pula semasa di Tanah Suci. Kefahaman ibadat haji sangat penting kerana ia akan menjadi asas pergerakan jemaah di Tanah Suci dan panduan ke arah haji yang mabrur.

Ingatan dan pesanan 
kepada jemaah haji

  • Hendaklah menjaga kesihatan dengan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan termasuk mengikuti pemeriksaan kesihatan.
  • Digalakkan untuk mengambil suntikan tambahan seperti suntikan ‘Pneumococcal’ dan ‘Seasonal Influenza’ terutama mereka yang berumur melebihi 50 tahun dan sering menghadapi masalah kesihatan.
  • Tahun ini suhu cuaca dijangka mencecah 50°C ke 52°C. Sehubungan itu, jemaah dikehendaki minum air secukupnya dan tidak mendedahkan diri kepada cuaca panas.
  • Semoga dengan kesihatan yang baik dapat mempermudah segala urusan ibadah jemaah di Tanah Suci.
  • Bakal haji hendaklah sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui medium sebaran Tabung Haji seperti program Bicara Haji di akhbar Utusan Malaysia, Lambaian Kaabah di IKIM.fm dan Seruan Haji di siaran RTM, TV1.
  • Bakal haji juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Tabung Haji Cawangan mengenai perkembangan dan maklumat terkini sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Elak sertai aktiviti 
melanggar undang-undang

Dengan suasana semasa pergolakan di rantau Asia Barat, Tabung Haji menitikberatkan aspek keselamatan. Jemaah haji dilarang menyertai mana-mana perhimpunan atau aktiviti yang boleh membawa kepada perlanggaran peraturan dikuatkuasakan di Arab Saudi dan pihak berkuasa tempatan.

Oleh itu:

  • Sepanjang berada di Tanah Suci, jemaah diingatkan supaya sentiasa memakai Gelang Pengenalan Haji (GPH) dan Lencana Pengenalan Haji (LPH).
  • Selain sebagai langkah keselamatan, pengenalan diri itu bertujuan memudahkan pergerakan dan aktiviti harian seperti untuk membuat urusan pengeluaran wang di kaunter kewangan dan lain-lain.
  • Jemaah juga bakal dibekalkan dengan lanyard pelbagai warna sebagai pengenalan maktab dan bangunan hotel penginapan.

Patuhi arahan Tabung Haji

Semasa pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina, para jemaah perlu memberi kerjasama kepada Tabung Haji dengan mematuhi jadual yang telah ditetapkan dan mendengar dengan jelas penerangan serta panduan yang diberikan oleh petugas Tabung Haji.

Ia bertujuan melancarkan pergerakan jemaah haji dari satu sektor ke satu sektor.

Pergerakan semasa Masya’ir ini amat genting dengan dianggarkan hampir empat juta manusia akan bergerak pada satu masa yang sama.

Semasa di Tanah Suci, jemaah hendaklah sentiasa mendapatkan maklumat terkini bagi memudahkan urusan harian mereka.

Kemahiran kendiri perlu ditingkatkan tanpa terlalu bergantung kepada petugas Tabung Haji. Jemaah juga digalakkan untuk bekerjasama dan bertolak ansur sesama rakan jemaah.

Talian Khas 24 jam

Tabung Haji turut menyediakan kemudahan Talian Ibadat (Taib) untuk merungkai segala persoalan ibadat haji dan umrah jemaah melalui talian yang akan beroperasi selama 24 jam setiap hari. Selain itu, turut disediakan kemudahan talian Perkhidmatan Kaunseling (Peka) dan Pusat Bantuan Tanah Suci bagi tujuan menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan oleh para jemaah.

Nasihat Ketua Rombongan Haji

Tabung Haji telah memperkenal slogan ‘Hadirku Sebagai Dhuyufurrahman, Kembaliku Dengan Kemabruran.’ Slogan ini bertujuan agar semua para jemaah haji dapat menghayati falsafah ibadat haji iaitu menjadi insan yang suci, bersih seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya - bersih dan suci daripada noda serta dosa.

Menyedari peluang keemasan ini, kehadiran di Tanah Suci ini harus diisi dengan penumpuan kepada ibadah yang didasarkan dengan peradaban sebagai tetamu kepada Yang Maha Kuasa.

Semoga kemabruran ini terus segar sekembali ke tanah air. Ia dapat merubah kita semua menjadi insan yang lebih soleh yang dapat memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara yang dicintai.

Semoga dianugerahkan Allah SWT dengan haji mabrur.