Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, drama bersiri Banteras arahan Ghaz Abu Bakar yang akan memulakan penggambarannya September ini misal­nya, diharap dapat membawa mesej antirasuah yang berkesan kepada masyarakat.

Beliau berkata, drama yang merupakan kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Fantasy Films Sdn. Bhd. itu akan memaparkan usaha cekal pegawai-pegawai SPRM dalam menyelesaikan kes-kes rasuah.

“Kementerian mengalu-alukan drama seperti ini dan ia adalah selaras dengan gerak kerja SPRM ketika ini yang aktif dalam menyebar luas kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan menentang rasuah.

“Kita semestinya tidak mahu gejala rasuah ini menjadi budaya masyarakat. Pada saya, yang paling bahaya adalah rasuah di minda dan hati justeru, ia perlu dibanteras secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Drama Bersiri Banteras di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.

Drama 13 siri yang dibintangi pelakon-pelakon seperti Sangeeta Krishnasamy, Namron dan Khir Rahman itu akan disiarkan menerusi televisyen selepas penggambarannya selama tiga bulan tamat.

Drama itu berkisar tentang kehidupan seorang pegawai pencegahan rasuah dan ujian yang ditempuhnya agar masyarakat memahami skop tugas serta cabaran yang perlu dilalui seorang pegawai SPRM.

Dalam pada itu, Salleh turut menjemput penerbit-penerbit filem tempatan menggunakan media kerajaan seperti Radio Tele­visyen Malaysia (RTM) untuk menghasilkan drama atau filem berkaitan rasuah.

“Rakyat perlu memahami usaha yang telah dilaksanakan SPRM dalam membanteras rasuah. Menerusi penyiaran drama seper­ti Banteras, ia dapat membuka ruang kepada kita untuk menghargai peranan mereka dalam kerja-kerja membanteras rasuah,” katanya.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, SPRM percaya drama tersebut akan menyuntik mesej pencegahan rasuah dengan jelas sekali gus memberi gambaran tentang tugasan pegawai suruhanjaya berkenaan.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kita selepas perlancaran Gerakan Anti Ra­suah (Gerah) sebelum ini. Akan ada banyak lagi aktiviti yang kita akan buat selepas ini ke arah menyebar luas mesej antirasuah ini,” katanya.