Artikel

SIARAN MEDIA - Telemovie Pilihan Malam Raya di RTM

Dikemaskini pada .

 

Telemovie Pilihan Malam Raya di RTM

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2017 – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi pilihan kepada penonton setia salurannya menonton tiga telemovie menarik mengangkat tema berbeza yang disiarkan malam raya ini menerusi TV1, TV2 dan TVi.

TV1 memilih menghiburkan penonton dengan tayangan telemovie komedi bertajuk “Dengan Beetle Kami Beraya”, pukul 12.30 tengah malam. Kongsikan kisah lucu dan mencuit hati menggandingkan pelakon utama Ajak Shiro, Sharifah Sakinah, Normah Damanhuri, Farzana Latiff dan adik Adam.

Kisahnya berkembang dengan watak Salman sudah dua tahun tidak pulang beraya di kampungnya kerana kerja. Tok Wan, ibu kepada Salman, merajuk dengan anaknya sekeluarga jika tidak dapat pulang beraya di rumahnya pada tahun ini. Salman memujuk isterinya Munirah untuk pulang ke kampungnya. Walaupun Munirah tidak bersetuju tetapi akhirnya akur setelah mendengar rayuan Tok Wan. Salman sekeluarga merancang untuk pulang.

Baru nak keluar rumah kereta mereka menghadapi masalah. Oleh kerana malam raya, tiada satu mekanik pun mahu membantu Salman sekeluarga dan memaksa Salman untuk menggunakan kereta lamanya Beetle.

Munirah ternyata tidak setuju. Pelbagai masalah yang mereka hadapi di sepanjang perjalanan pulang terutamanya di setiap hentian rehat dan rawat. Walaupun kereta Beetle Salman kelihatan uzur tetapi masih bertahan untuk perjalanan yang jauh. Dengan meredah pelbagai rintangan sepanjang malam adakah mereka berjaya pulang ke kampung dengan selamat? Mampukah raya kali ini diraikan mereka dengan meriah?

 

Penonton TV2 pula usah ketinggalan meluangkan masa menyaksikan telemovie bertajuk “Sana Aidil Sini Fitri”, pukul 10.00 malam yang menampilkan lakonan mantap Haleeda Mazlin, Ozlynn Wati, Rashid Jaafar, Anne Abdullah dan Taufik Hanafi.

Ikuti kisah Azhar yang telah di berhentikan kerja tetapi telah di beri peluang oleh En Zamzuri, seorang usahawan berjaya. Bimbingan oleh En Zamzuri akhirnya menjadikan Azhar seorang usahawan air mineral yang berjaya.

Dulu Azhar tidak di endahkan kerana miskin tetapi sekarang semua orang berebut mendapatkan perhatian Azhar. Malang bagi Azhar apabila Shamsul telah melarikan duit syarikat. Jatuh Azhar tidak lama setelah Shamsul di tangkap polis tiga hari sebelum Aidil Fitri. Baru lah Azhar sedar betapa hati manusia boleh berubah dalam masa yang singkat.

Sementara itu bergelak ketawa dengan telemovie komedi “Kecoh-Kecoh Raya” disiarkan pukul 9.00 malam menerusi saluran TVi. Telemovie lakonan Nadiya Nisaa di samping Fizz Fairuz, Jasmin Hamid, Rusdi Ramli, Faezah Elai dan Nasir Bilal Khan ini berkongsi kisah Sham yang tidak dikurniakan anak setelah 7 tahun mendirikan rumahtangga. Satu hari bapanya mengaturkan perkahwinan dengan seorang gadis kampung bernama Murni, rancangan Sham hendak kahwin satu lagi bocor dan berlaku pergaduhan besar di pagi raya.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 

 

tele1

 

tele2

tele3

tele4

Cetak