Artikel

SIARAN MEDIA - Raikan Raya

Dikemaskini pada .

 

Mira Filzah Kongsi Cerita Raya Selebriti Popular Dalam “Raikan Raya” di TVi

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2017 – Pelakon cantik Mira Filzah bakal berkongsi dengan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) persiapan menjelang Aidilfitri selebriti popular tanah air dalam enam episod rancangan khas bertajuk “Raikan Raya”. Turut dibantu Muaz Mohamad yang menemu bual seorang penata gaya dalam setiap episod terdapat juga segmen mengundang chef selebriti Dr. Ezani yang berkongsi resepi menarik juadah hari raya menyelerakan untuk dicuba penonton.

Bersiaran mulai 19 hingga 24 Jun ini, pukul 11.00 pagi menerusi saluran TVi, artis terkenal yang diundang Saharul Ridzwan, Ayda Jebat, Fattah Amin, Juliana Evans, Amar Asyraf, Farahdhiya, Redza Rosli, Atikah Suhaimie, Sharifah Amani, Azlan Typewriter, Tomok dan Diana Danielle.

Artis ini tampil dalam segmen ‘Cerita Raya’ berkongsi tentang persiapan mereka menjelang raya kelengkapan raya untuk dibawa pulang ke kampung, juga juadah kegemaran mereka di pagi raya.

Dalam segmen ‘Seri Aidilfitri’, Muaz Mohamad secara santai tampil menemubual penata gaya yang berkongsi menerangkan tentang fesyen dan jenis-jenis kain serta potongan yang sesuai digayakan sempena hari raya. Seorang yang sangat optimis kerjaya dan sangat mementingkan gaya yang elegan dan cantik, pereka fesyen berbeza ditampilkan setiap episod termasuklah Faizal Harun Nasution, Zaimi Zulkafli (Pensyarah Fesyen dari UiTM), dan Marini Mat Zain.

Menariknya segmen sama turut memberi tumpuan kepada fesyen kanak-kanak oleh Scha Fadly seorang pereka fesyen dan penata gaya kanak-kanak. Scha menerangkan bahawa fesyen kanak-kanak mementingkan keselesaan. Bahan yang sesuai untuk pakaian kanak-kanak adalah kain kapas kerana tidak panas dan menyerap peluh. Potongan juga haruslah longgar supaya mereka mudah bergerak. Warna yang lembut adalah lebih sesuai untuk kanak-kanak.

Sementara itu penata gaya dari iBawal iaitu Nur Azleen Soliha menerangkan tentang jenis-jenis tudung yang sesuai digayakan sempena Hari Raya. Beliau juga menunjukkan cara-cara pemakaian serta gaya-gaya ikatan tudung. Seterusnya Hasfitri Mohd Yusof memberi pandangannya tentang fesyen warga yang lebih berusia atau warga emas. Dia menerangkan tentang pemilihan fesyen, warna dan aksesori yang sesuai bagi golongan ini.

Nantikan juga episod memfokuskan kepada suai dan padan. Pengacara segmen ini, menemu ramah Qamel Ayop seorang Pereka Fesyen dan Intan Nor Azrenda, jurucakap Senses. Qamel menerangkan bahawa konsep suai dan padan adalah bergantung kepada bentuk badan si pemakai. Warna dan corak pakaian akan menentukan kesesuaiannya. Jika seseorang berbadan besar maka warna yang sesuai adalah warna gelap. Intan pula menunjukkan cara-cara solekan yang sesuai dengan warna kulit seseorang.

Tidak ketinggalan segmen ‘Selera Syawal’, dimana Dr. Ezani menunjukkan cara-cara memasak juadah masakan untuk menyambut hari raya ataupun sebagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan iaitu ayam mentega pedas, ayam bali, daging kerisik serai, serunding lada hitam, mee rebus jalapeno dan lontong kari hijau. Dikongsikan juga resepi menyediakan pencuci mulut termasuklah seri muka mangga, bubur nangka emas, puding katira, air bandung ria, kek kukus longan dan ais krim goreng sos kastad kurma madu.    

Di akhir rancangan diselitkan pandangan masyarakat umum tentang persediaan yang mereka buat untuk menyambut Hari Raya.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 

tele1

 

Cetak