Saiz Teks

A- A A+

Pilihan Warna

A A

settings

A- A A+
A A

Artikel

SIARAN MEDIA - Puncak ASEAN

Dikemaskini pada .

 

Cabaran Menjelajah Puncak Tertinggi Negara ASEAN Dalam “Puncak ASEAN” di TV1

KUALA LUMPUR, 26 Julai 2017 – Program travelog terbaharu menjelajahi beberapa lokasi menarik di lima negara seperti Laos, Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ternyata berbeza. Ini kerana program 13 episod bertajuk “Puncak ASEAN” ini membawa penonton melawat negara-negara di rantau Asean dan mendaki gunung-gunung yang tertinggi dan terkenal di ASEAN.    

Menariknya bersama hos Jack Hafiz, penonton dapat berkongsi perjalanan dan cabaran dilalui semasa perjalanan beliau ke kawasan-kawasan pergunungan dilawati. Bukan itu sahaja, beliau juga melalui bandar-bandar yang penting dan sempat bersinggah di tempat-tempat yang merupakan destinasi pelancongan.

Sedang bersiaran setiap Jumaat, pukul 2.30 petang di TV1, ikuti pengembaraan hos bersama Filipina untuk mendaki Gunung Pulaq iaitu gunung yang tertinggi di Pulau Luzon. Ianya merupakan destinasi yang popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara khususnya mereka yang suka mengembara ke kawasan luar dan menikmati keindahan alam semulajadi. Semasa perjalanan menuju ke gunung tersebut beliau telah singgah di Baguio City dan melawat beberapa tempat yang penting seperti Tugu Peringatan Colonel Lyman W. Kennon, Kepala Singa besar yang anggap sebagai mercu tanda Bandar Baguio serta Kem Tentera Filipina iaitu satu-satunya pusat latihan tentera di Filipina.

Episod seterusnya mengunjungi Vietnam untuk mendaki Gunung Mao Son yang terletak di utara Vietnam yang digelar sebagai bumbung utara Vietnam. Dalam perjalanan ke destinasinya beliau melawat bandar Lang Son dan singgah di Tugu Peringatan Ho Chi Minh, kubu lama tentera Perancis, gua-gua lama yang menjadi tempat ibadat orang Vietnam sekarang. Beliau juga telah mengambil kesempatan ini untuk melihat penternakan ikan salmon di kawasan pergunungan ini.

Perjalanan diteruskan ke Thailand mendaki Gunung Doi Inthanon juga di gelar sebagai ‘Roof of the World’. Dalam perjalanan beliau ke puncak gunung ini, beberapa tempat menarik dan unik kepada negara ini juga telah dilawati. Di antaranya ialah Tembok Tha Phae Gate, Masjid Islam Ban Ha dan Pasar Malam Chang sepanjang 1 kilometer di Jalan Besar Chang Khan.

Jack Hafiz turut mengunjungi Jogjakarta di Indonesia dan mendaki Gunung Merapi, salah satu daripada gunung berapi yang aktif di negara itu. Sebelum mendaki gunung beliau telah melawat beberapa tempat seperti Tugu Jogjakarta dan Jalan Malioboro. Beliau juga sempat menikmati makanan dan minuman tradisional seperti Gudeg dan Kopi Arang. Kemudian beliau telah mendaki gunung dan sampai ke Pasar Subrah namun agak malang bila pihak berkuasa telah menetapkan bahawa pendakian tidak dibenarkan atas sebab-sebab keselamatan.

Masih di Indonesia, pendakian diteruskan mendaki Gunung Bromo juga salah satu daripada gunung berapi yang aktif di Indonesia. Dalam perjalanan ke Gunung Bromo beliau telah singgah di Bandar Malang, satu bandar yang digelar Kota Pendidikan kerana bandar ini merupakan pusat bagi hampir lima puluh universiti dan politeknik. Selain dari itu, hos rancangan juga telah melawat Muzium Tentera Brawijaya, Alun Alun Malang (dataran riadah), Tugu Malang, Air Terjun Madakarpura. Beliau bermalam di Perkampungan Wonokarto dan kemudian mula pendakian dengan kenderaan dahulu sebelum berjalan kaki bagi 200 meter terakhir.

Jack Hafiz nyata teruja mengembara ke bandar Benquet di Filipina untuk mendaki Gunung Ugo yang menjadi tumpuan pendaki selepas kejadian kapal terbang terhempas gunung ini pada tahun 1987. Dalam perjalanan ke kaki gunung ini beliau telah singgah di Barangay Hall, Perkampungan Soyu dan Sekolah Komuniti Lusod dan melihat cara hidup masyarakat tempatan. Beliau juga sempat melihat aktiviti perlombongan emas oleh penduduk tempatan di sepanjang Sungai Alno.

Episod melawat Laos dengan melakukan aktiviti mendaki Gunung Pha Nguyen yang merupakan gunung batu kapur juga dikenali sebagai ‘Silver Cliff’ atau Tebing Perak. Pendakian gunung ini dilakukan melalui jalan tangga yang di buat dari batu-bata. Dalam perjalanan ke Gunung Pha Nguyen, hos telah melawat beberapa tempat istimewa di kawasan ini seperti Tugu Kemenangan Patuxi di pusat bandar Vientiane, Kuil Pha That Luang, Pasar Hua Mau, Pasar Vang Vieng, Blue Lagoon dan Gua Phu Kham.

Tambah menarik aktiviti mendaki Gunung Kewfin di Thailand terletak 49 kilometer dari bandar Chiang Mai. Dalam perjalanan ke gunung ini beliau telah melawat Kuil Doi Suthep yang telah dibina hampir 300 tahun dahulu oleh Raja Kew Naone. Selain dari itu, beliau juga telah melalui Kampung Ban Mae sebuah perkampungan ‘eko-pelancongan. Kampung ini terkenal dengan penghasilan kopi dan teh asli. Gunung Kewfin mempunyai laluan agak sukar terutama jika berlaku hujan. Memandangkan Hafiz mendaki gunung ini semasa hujan, beliau juga tercedera sedikit. Namun begitu, beliau teruskan usahanya dan berjaya sampai ke puncank Gunung Kewfin.

Ikuti juga perjalanan menjelajah ke Bali, Indonesia dan mendaki Gunung Batur yang popular bagi pendaki dan dilaporkan sekurang-kurangnya 70 pendaki cuba menawan gunung ini setiap hari. Gunung Batur merupakan gunung berapi dan kawahnya masih keluarkan asap. Kemudiannya diteruskan mendaki Gung Ijen di kawasan Banyuwangi di Java Tengah yang terkenal untuk fenomena ‘bluefire’ iaitu api yang berwarna biru pada waktu malam. Selain dari itu, gunung ini juga merupakan sumber mineral belerang atau ‘sulphur’ yang dikutip oleh penduduk kawasan ini sebagai sumber pendapatan mereka. Pendaki dinasihatkan memakai topeng khas dan sentiasa berjaga-jaga mengenai risiko keracunan bau dan asap belereng. Dalam perjalanan menuju ke Gunung Ijen, hos rancangan juga sempat melawat Kampung Wisata, Pantai Boom Banyuwangi, pusat penjualan cenderamata Osingdeles serta telah menikmati makanan tradisi nasi tempong.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

       

- ### -

Cetak Emel

offcanvas