Artikel

SIARAN MEDIA - Travel Thru History

Dikemaskini pada .

 

Sejarah Bandar Utama Dunia Dalam “Travel Thru History” di TV1 

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2017 – Amerika Syarikat merupakan antara negara yang mempunyai bandar-bandar menarik dan terkenal di mata dunia. Namun, sejauh mana pengetahuan kita tentang sejarah bandar-bandar ini? Selami sejarah bandar-bandar utama dunia bersama RTM dalam dokumentari menarik “Travel Thru History” yang sedang bersiaran di TV1 menerusi slot “Special On 1”, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.30 malam.

Dokumentari 30 episod ini memulakan episod pertama dengan menyelusuri sejarah Bandar Las Vegas di gurun Mojave, Nevada. Kawasan ini dahulu didiami penduduk asli Amerika Pahyut sebelum pihak Mormon ke kawasan itu dan mendirikan penempatan pertama mereka pada tahun 1855. Kawasan ini juga telah digunakan untuk menjalankan ujian-ujian nuklear oleh tentera Amerika Syarikat mulai tahun 1945. Daripada permulaan pertama itu, bandar Las Vegas seterusnya berkembang dengan pesat menjadi sebuah bandar pusat hiburan utama di Amerika Syarikat.

Dalam episod seterusnya, penonton dibawa ke Toronto, Canada. Toronto merupakan bandar terbesar di Canada dan bandar keempat terbesar di Amerika Utara. Ia terletak di tepi Danau Ontario dekat sempadan Amerika Syarikat. Bandar ini ditubuhkan dalam tahun 1776 oleh rakyat Amerika yang memilih untuk berpindah ke Canada yang merupakan kawasan di bawah pemerintahan British kerana tidak ingin hidup di bawah pemerintahan Presiden Amerika. Antara tempat yang menarik di bandar ini ialah Canada's National Tower, Castle Loma dan juga Muzium sukan hoki ais ('Ice Hockey Hall of Fame').

Menyusul pula episod di California yang memaparkan sejarah bandar Los Angeles. Bandar ini telah berkembang dengan pesatnya setelah California mendapat kemerdekaannya daripada negara Mexico pada tahun 1846. Hollywood dan juga bintang-bintang filemnya menjadikan nama Los Angeles tersohor di seluruh dunia. George C. Page Museum La Brea Discoveries merupakan antara tempat pelancongan menarik di Los Angeles yang mempamerkan fosil-fosil binatang yang berumur sekitar 40,000 tahun dahulu.

Menyelusuri sejarah bandar St. Petersburg yang terletak di Florida dalam episod seterusnya. Bandar St. Petersburg diberi nama oleh seorang lelaki bernama Peter Demens yang berkerja sebagai ketua pembina landasan kereta api di kawasan kerana beliau lahir di St. Petersburg, Rusia. St. Petersburg kini ialah bandar keempat terbesar di Florida dengan populasi penduduk sebanyak 1 juta. Bandar ini terkenal sebagai satu bandar pelancongan yang mencatatkan sekitar 14 juta pelancong melawat kawasan ini setiap tahun. Bandar ini juga terkenal dengan pantai-pantai indahnya serta sebuah muzium yang mempamerkan lukisan-lukisan pelukis terkenal Selvador Dali.

Penonton juga didedahkan dengan sejarah bandar Baltimore, Maryland. Bandar ini terletak di Timur Amerika Syarikat di antara bandar-bandar Washington D.C. dan Philidelphia. Baltimore terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan kerana penulis sastera terkenal Edgar Allan Poe pernah tinggal di bandar ini dari tahun 1833 – 1835. Di sini juga terdapat sebuah muzium Cryptology yang mengisahkan bagaimana kod-kod rahsia dihasilkan serta bagaimana tentera Amerika telah berjaya memecahkan kod-kod rahsia tentera German dan Jepun semasa Perang Dunia Kedua dan mengalahkan kedua-dua negara itu.

Kemudiannya dipaparkan sejarah bandar Ottawa, Canada. Ottawa ialah ibu negeri Canada dan terletak di tepi Sungai Ottawa. Nama asalnya ialah Bytown dan namanya telah ditukar kepada Ottawa pada tahun 1855. Merupakan bandar kedua terbesar di negeri Ontario selepas Toronto. Terdapat empat tempat menarik di bandar ini iaitu Terusan Rideau, Diefenbunker Nuclear Bunker, Canada War Muzium dan Canadian Museum Of History.

Bandar seterusnya ialah sebuah bandar yang terletak di California iaitu San Diego. Bandar ini telah ditubuhkan oleh seorang penjelajah, Juan Rodriguez pada tahun 1542. Beliau menamakan bandar ini San Miguel. Pada tahun 1602, penjelajah Sepanyol bernama Sebastian Vizcaino telah menamakanya San Diego. Peneroka-peneroka Eropah mula tinggal di kawasan ini pada tahun 1742. San Diego kini ialah bandar ketujuh besar di Amerika Syarikat.

Diteruskan dengan paparan sejarah bandar Montreal, Canada. Bandar ini telah ditubuhkan oleh penjelajah Perancis bernama Jacques Cartier pada tahun 1535 dan diberi nama Mount Royale. Namanya kemudian ditukar ke Montreal pada tahun 1605. Bandar ini telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar raya dalam tahun 1832. Montreal ialah bandar yang terbesar di negeri Quebec. Setiap tahun semasa musim panas akan diadakan Pesta Muzik Perancis terbesar di dunia.

Bandar terakhir yang difokuskan dalam dokumentari ini ialah bandar Boise, Idaho. Merupakan ibu negeri Idaho dan mendapat namanya daripada Sungai Boise yang mengalir melintasi bandar itu. oise ialah bandar ke 99 terbesar di Amerika Utara. Penduduknya berjumlah sekitar 214,000 orang. Antara tempat menarik yang menjadi tumpuan pelancong ialah Idaho State Capital Building dan Basque Museum & Cultural Centre.

Beberapa lagi bandar menarik turut dipaparkan dalam dokumentari ini. Pastikan anda meyaksikan keseluruhan program ini di saluran TV1.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

- ### -

 

 

 

Cetak