Artikel

SIARAN MEDIA - Mek Minyak

Dikemaskini pada .

 

Isu Hantaran Kahwin Tinggi Dalam Telemovie “Mek Minyak” Di TV2

KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2017 – Pelbagai versi kisah mengenai hantaran tinggi yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Polemik mengenai wang hantaran terus-terusan menjadi perbualan dan perbincangan orang ramai.

Hantaran tinggi? Tidak ada masalah jika seseorang itu kaya dan mampu menyediakan wang sebanyak itu. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berpendapatan kecil? Bagi golongan muda yang baru sahaja membina kerjaya, keadaan ini pasti akan membebankan mereka.

Persoalannya sampai bilakah isu mengenai wang hantaran dan perkahwinan besar-besaran ini akan terus berlegar dalam masyarakat? Agama Islam sendiri tidak menganjurkan pemberian wang hantaran atau mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran sehingga menyulitkan sama ada di pihak lelaki atau perempuan.

Namun apakah masyarakat kita benar-benar faham dan sedar? Mengangkat sisi kisah pemuda yang tersepit bila keluarga kekasihnya menetapkan hantaran tinggi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan telemovie bertajuk “Mek Minyak” pada 11 Ogos ini, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV2.

Dibintangi pelakon utama Izzue Islam, dan Falisha Crossley, juga turut dibantu oleh Sharifah Sakinah, Lan Zailan dan Kathy Azian, kisahnya berlatarkan watak pemuda bernama Mail yang telah diberi tempoh sebulan untuk menyediakan wang hantaran sebanyak RM15,000 oleh Pak Mus untuk mengahwini anaknya, Imah.

Mail tanpa membantah terus bersetuju untuk menerima syarat tersebut namun yang jelas ianya menimbulkan kerisauan pada ibunya, Mak Munah untuk menyediakan wang hantaran yang telah ditetapkan. Mana mungkin dalam tempeh masa yang singkat mereka mampu menyediakan jumlah wang yang disebutkan.

Mail kemudiannya mendapat idea dan berpakat dengan Sunti untuk menjadi ‘Mek Minyak’ (orang minyak) versi perempuan bagi menakutkan orang kampung. Keadaan kampung menjadi kecoh apabila ramai lelaki telah menjadi mangsa ‘Mek Minyak’.

Pak Mus sebagai Pengerusi JKK mengarahkan kawalan dilakukan dan akhirnya ‘Mek Minyak’ berjaya ditangkap dan rancangan Mail terbongkar. Mail meminta maaf dan Pak Mus kesal dengan tindakannya meletakkan nilai hantaran perkahwinan yang tinggi kepada Mail. Namun adakah rancangan mereka berjaya diteruskan?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

       

- ### -

 

 

 

Cetak