Artikel

SIARAN MEDIA - Terbaik Dari Ladang

Dikemaskini pada .

 

Kejayaan dan Cabaran Seorang Usahawan Tani Dalam “Terbaik Dari Ladang” di TV1

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2017 – Mencetuskan inspirasi kepada usahawan tani, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan majalah travelog yang berinformasi berkaitan usahawan dan kembara masakan bertajuk “Terbaik Dari Ladang”. Sedang bersiaran setiap Sabtu, pukul 6.00 petang menerusi saluran TV1, program 13 episod ini membawa penonton menjejaki kejayaan dan cabaran seseorang usahawan tani terpilih bermula dari awal pembabitan sehinggalah mampu menguasai pasaran.

Menampilkan pengacara Alif Hadi, setiap episod menampilkan lokasi ladang, usahawan dan masakan yang berbeza. Kerjasama dilakukan bersama pihak FAMA untuk pemilihan usahawan. Paparan di kawasan ladang, tempat pemprosesan, pemasaran serta paparan tips dikongsikan dalam rancangan ini.

Menariknya pengacara juga akan menemu bual usahawan dan individu terbabit untuk berkongsi maklumat perniagaan mereka. Rancangan ini turut dilengkapkan dengan perkongsian demo masakan berkaitan dengan produk terpilih untuk dikongsi bersama penonton.

Ikuti perkongsian kunjungan Alif Hadi ke ladang nanas di Rengit, Johor menemu ramah usahawan tani nanas yang berkongsi sejarah penglibatan beliau dalam tanaman nanas dan berkongsi cara penanaman benih nanas melalui sistem tugal. Alif cuba menuai nanas yang kemudiannya dijual kepada FAMA. Wawancara bersama pegawai FAMA berkaitan pembelian dan pembangunan produk berasaskan nanas. Paparan dilakukan di kilang memproses makanan berkongsi proses pembuatan jem sehinggalah ke peringkat pembungkusan untuk dieksport ke luar negara. Alif juga meninjau kedai Azhar Food untuk melihat produk berasaskan nanas yang dijual di situ. Ia diakhiri dengan demo masakan Kari Sotong Nanas.

Menarik pastinya episod kunjungan Alif ke Kg. Sg. Plong, Kuang, Selangor untuk meneroka lebih lanjut tentang penternakan arnab pedaging. Beliau bertemu penternak arnab iaitu En. Syawal yang menceburi bidang ini bermula tahun 2009. Pelbagai kursus dilalui beliau dalam bidang penternakan arnab dan juga pemprosesan makanan sejuk beku. Pelbagai maklumat dikongsi seperti pembiakan, jenis arnab, proses penyembelihan dan sebagainya melalui wawancara yang dijalankan di sekitar ladang ternakan. Alif juga melawat kedai sejuk beku serta menemu ramah pengurus kedai tersebut. Mereka berbincang tentang sambutan, permintaan dan juga pandangan para pelanggan terhadap produk sejuk beku daging arnab. Rancangan diakhiri dengan demo masakan menu Daging Arnab Panggang Black Pepper.

Penanaman cendawan tiram kelabu merupakan pilihan rancangan untuk episod seterusnya. Alif bertemu dengan usahawan cendawan tiram kelabu iaitu En. Mohd Tamizi yang membawa Alif meninjau ladang cendawan beliau yang merangkumi bilik stim, rumah suntik, rumah peram dan rumah hasil. Alif mencuba menghasilkan bongkah cendawan yang terdiri dari campuran habuk kayu, dedak padi dan kapur pertanian. Setiap bongkah boleh menghasilkan pengeluar sebanyak enam kali dan dua kali dalam tempoh sebulan. Mereka menghantar cendawan ke sebuah warung yang merupakan pembeli tetap beliau selama 7 tahun. Episod ini berkongsi demo masakan Cendawan Goreng Cheese.

Alif kemudiannya berkunjung ke Gemas, Negeri Sembilan bertemu dengan usahawan tani ladang nangka madu yang berjaya iaitu En. Zainal Abidin. Beliau berkecimpung dalam tanaman nangka madu selama 7 tahun dengan jumlah sebanyak 1200 buah pokok dengan keluasan 12 ekar. Alif melawat ladang nangka madu dan merasai pengalaman menanam anak pokok, membalut buah nangka serta mengutip nangka madu yang sudah masak. Nangka-nangka tersebut kemudiannya akan dibawa oleh lori FAMA ke Pusat Pemprosesan FAMA, Rengit untuk diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke Singapura. Rancangan diakhiri dengan demo masakan Pengat Nangka Madu.

Kunjungan di Kampung Jawa Batu 18, Ulu Langat, Selangor pula memaparkan usahawan ladang timun yang berkeluasan 1.5 ekar. Menariknya ladang tersebut diusahakan oleh dua orang wanita. Mereka berkongsi pelbagai maklumat tentang perniagaan mereka. Alif sendiri merasai pengalaman menyemai benih timun, memetik serta proses pengasingan timun mengikut gred pasaran. Puan Rusnah juga sempat menunjukkan demo masakan iaitu menu Ikan Kembung Tempoyak Bertimun serta ‘Milk Shake’ Timun. Pelbagai tips dan khasiat timun dipaparkan dalam rancangan ini untuk pengetahuan penonton.

Seterusnya Alif membawa penonton meninjau ke Kampung Gong Sawa, Pasir Puteh, Kelantan untuk bertemu dengan Usahawan Tanaman Cili iaitu En. Mohd Rani Setapha yang terlibat dengan pelbagai jenis tanaman perladangan sejak tahun 2002 dan tanaman cili pula sejak tahun 2012. En. Rani mengusahakan tanaman cili secara fertigasi setelah beliau menjalani pelbagai jenis kursus dan latihan yang dianjurkan pelbagai pihak. Beliau memasarkan cili melalui konsep ‘ladang kontrak’ dengan pihak FAMA. Temu ramah diadakan bersama Pengurus Operasi FAMA Kelantan yang berkongsi maklumat lanjut tentang program RTC FAMA. Rancangan diakhiri dengan demonstrasi masakan ‘Ayam Goreng Masak Merah’.

Ikuti juga episod menarik perkongsian Alif dengan usahawan tani ladang Rock Melon yang diusahakan oleh dua orang Usahawan Tani Muda lulusan universiti luar negara. Alif yang melawat ladang tersebut merasai pengalaman menyemai biji benih, memetik buah serta meninjau aspek pemasaran yang dilakukan di Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor. Pelbagai maklumat dikongsi usahawan tani tersebut termasuklah perit getir yang dilalui mereka sehingga berjaya sebagai sumber inspirasi individu lain. Aliff menutup rancangan dengan demonstrasi masakan menu Rock Melon Masak Lemak.

Akhir sekali Alif membawa penonton ke sebuah ladang kelapa milik En. Md Shah Tuboh yang berpengalaman selama 20 tahun di Larkin, Johor. Terdapat pelbagai jenis kelapa yang ditanam oleh beliau di ladang tersebut seperti Mawar, Pandan, Afrika, Selon dan Matag. Alif menemu ramah mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat di mana beliau dapat merasai pengalaman menanam benih kelapa Matag di ladang tersebut. Kelapa Md Shah digunakan dalam penghasilan produk Seri Kaya berjenama AgroMas keluaran FAMA dan dipasarkan di Pusat Sehenti AgroBazaar, Jalan Sultan Gate, Singapura. Temu ramah dilakukan bersama wakil FAMA, Pusat AgroBazaar dan wakil Kementerian Industri Asas Tani untuk mendapatkan maklumat lanjut. Rancangan diakhiri dengan demo masakan menu Ikan Caru Masak Pecel.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store. 

       

- ### -

 

 

 

 

 

 

Cetak