Artikel

SIARAN MEDIA - Zed Wildlife Story

Dikemaskini pada .

 

Dokumentari Keunikan Habitat Haiwan Liar Dalam “Zed Wildlife Story” di TV1

KUALA LUMPUR, 07 September 2017 – Pernahkah anda terbayangkan habitat haiwan liar yang penuh keunikan malah ada juga yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini? Justeru penggemar siri dokumentari berkaitan haiwan liar usah ketinggalan menyaksikan dokumentari bertajuk “Zed Wildlife Story” yang bakal menemui penonton Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 13 September ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang.

Mengisi slot dokumentari popular RTM, World Watch di TV1, enam episod siri ini membawa penonton menyelami pelbagai habitat haiwan liar antaranya mengikuti penyelidikan tentang kecerdikan sotong kurita, kehidupan anak-anak kucing di tempat dan persekitaran yang berlainan, kehidupan didasar tasik yang belum diterokai, kehidupan masyarakat monyet di Cayo Santiago Island, Puerto Rico dan menyingkap kehidupan haiwan liar ketika tibanya musim kemarau.  

Episod pengenalan dengan tajuk ‘Aliens of The Deep Sea’ menonjolkan kehebatan saintis-saintis dari beberapa negara membuat penyelidikan untuk mengetahui tahap kecerdikan sotong kurita. Mereka membuat ujikaji di makmal dan di laut dalam dengan menggunakan berbagai kaedah dan melibatkan sotong kurita yang berlainan bagi membukti ketepatan hasil penyelidikan mereka. Mereka mendapati sifat yang dimiliki oleh sotong kurita ada persamaan dengan sifat manusia. Sotong kurita memiliki sifat ingin tahu, berfikiran secara kognitif dan juga abstrak. Mereka mudah belajar sesuatu perkara dengan pemerhatian dan juga berkeupayaan untuk mengelakkan diri daripada pemangsa dengan cekap dan pantas melalui penyamaran.

Sterusnya dalam episod ‘Kittenhood’ memaparkan tentang kehidupan anak-anak kucing di tempat dan persekitaran yang berlainan. Sama-sama dekati tiga ekor anak kucing Mauricette, Ginger Cat dan Kurumi membesar di tempat dan suasana yang berlainan. Mauricette tinggal di sebuah ladang di Perancis, Ginger Cat di sebuah pulau di Greece dan Kurumi pula di sebuah ‘cat bar’ di Jepun. Mereka mengharungi persekitaran yang berlainan sama sekali. Ketiga-tiganya menjalani kehidupan yang begitu berlainan tetapi kucing tetap binatang pemangsa walaupun bagaimana persekitaran mereka.

Sementara itu dalam ‘Crocodiles In Dark Waters’ pula berkongsi kehidupan yang terdapat disebuah tasek yang sangat luas di Botswana, Afrika. Sekumpulan ahli biologi dan penyelam telah membuat kajian keatas kehidupan sekumpulan buaya dalam tasik tersebut. Selain daripada buaya juga terdapat hidupan lain ditasik tersebut. diantaranya ialah pelbagai jenis spesis ikan darat yang membiak dan juga menjadi makanan buaya.

Semakin menarik dalam episod yang berkaitan tentang ‘Primates of The Caribbean’, mengisahkan kehidupan sekumpulan masyarakat monyet di Cayo Santiago Island, Puerto Rico. Pulau tersebut mempunyai keluasan tanah seluas 1200 ekar. Ianya digunakan semata-mata untuk menempatkan spesis monyet sejak 75 tahun dahulu untuk dijadikan bahan kajian saintifik. Terdapat tujuh kumpulan/jenis monyet yang hidup di pulau tersebut. Sekumpulan saintis dan pengkaji masyarakat monyet di pulau ini telah membuat kajian selama dua tahun. Para saintis mendapati masyarakat monyet ini boleh berinteraksi diantara mereka walau pun dari kumpulan yang berlainan. Masyarakat monyet juga mempunyai hairaki kepimpinan sesama mereka. Ada ketua dan pengikut.

Kehidupan haiwan liar semasa kemarau ditonjolkan dalam episod akhir bertajuk 'Surviving The Drought' mengisahkan bagaimana beratus-ratus haiwan liar di kawasan Savannah di Tanzania menghadapi musim kemarau. Ianya mengambarkan pelbagai jenis haiwan liar, besar dan kecil, yang hidup di kawasan savanah di Tanzania menghadapi musim kemarau yang berpanjangan dan bergelut untuk terus hidup dalam suasana dan keadaan sekeliling yang amat rumit. Haiwan yang menghadapi kehausan dan kebuluran terpaksa pindah ke utara untuk mencari kawasan berair. Semasa perjalanan haiwan ini terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan banyak yang terkorban.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.   

- ### -

Cetak